Monday, October 24, 2011

A vision were born and to implement it need lots of affords from a good Team!



UNDANG-UNDANG BAGI

PERTUBUHAN KAMPUNG TRADISI MELAYU WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR.
 (PKTM WPKL)

FASAL  1          NAMA

Pertubuhan ini dikenali dengan nama ;-


PERTUBUHAN KAMPUNG TRADISI MELAYU WILAYAH PERSEKUTUAN
KUALA LUMPUR.    (PKTM WPKL)                                          
Selepas ini disebut “ Pertubuhan”

FASAL 2           TEMPAT URUSAN

Alamat surat -menyurat dan tempat urusan Persatuan ialah
LOT 575-5, Lorong Satu, Kampung Padang Balang Hilir, Sentul, 51100, Kuala Lumpur.
Atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa. Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

FASAL 3           KEAHLIAN

1.         Ahli Pertubuhan

a)       Terbuka kepada Ketua / Pemimpin-pemimpin masyarakat setempat yang berdaftar dengan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia sebagai “Persatuan Penduduk” dan jumlah seramai 2(dua) orang wakil .

b)       Tiap-tiap permohonan menjadi ahli Pertubuhan hendaklah dicadangkan dan disokong oleh 2 orang ahli Pertubuhan yang lain dan dihantar kepada Setiausaha yang akan mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

c)       Ahli Pertubuhan  TIDAK DIBENARKAN memegang Jawatan bagi Pertubuhan, NGO dan Persatuan lain (kecuali Persatuan Penduduk masing-masing) yang telah berdaftar dengan Pendaftaran Pertubuhan.

d)       Semua ahli Pertubuhan DIWAJIBKAN menandatangani Perjanjian ETIKA pada surat AKURJANJI bersama “Pertubuhan”.

e)       Semua ahli Pertubuhan DIWAJIBKAN menyertai dan mengikuti Kursus-kursus Kepimpinan,Pentadbiran dan Seminar/bengkel anjuran “Pertubuhan” bersama Agensi Kerajaan dan Swasta.

f)        Semua ahli Pertubuhan DIWAJIBKAN menghadiri Mesyuarat bulanan “Pertubuhan”, kecuali alasan yang diberi lebih awal dan munasabah.

g)       Seorang Pelajar Universiti atau Kolej tidak boleh diterima menjadi ahli pertubuhan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.

h)       Kakitangan Kerajaan yang dilantik oleh ahli Persatuan Penduduk tidak boleh diterima menjadi ahli pertubuhan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Ketua Jabatan atau Ketua Pengarah Jabatan yang berkenaan.

i)         Kawasan Tadbir ahli Pertubuhan mestilah berada di Kampung atau Penempatan Orang Melayu di bawah Pentadbiran Dewan Bandaraya K.Lumpur.(DBKL)

j)         Menerima Ahli Pertubuhan yang baru berdasarkan Cadangan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pertubuhan Kg Tradisi Melayu WPKL

k)       Tiap-tiap permohon yang permohonannya telah diluluskan seperti tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran bulanan pertama yang ditetapkan, diterima menjadi ahli Pertubuhan.

Selepas ini disebut “ Ahli Pertubuhan”

FASAL 4           TUJUAN / MATLAMAT


Tujuan PERTUBUHAN KAMPUNG TRADISI MELAYU WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR. (PKTM WPKL) di tubuhkan adalah seperti dibawah;-

1)       Membantu Ahli Pertubuhan  mendaftarkan sebagai Persatuan penduduk dan menubuhkan Koperasi Kg Tradisi Melayu WPKL setiap Kampung .

a)       Menubuhkan dan menetapkan satu Jawatankuasa Khas Pertubuhan sebagai Pemegang Amanah dengan memberi perkhidmatan serta membantu mentadbir  kepada setiap Kampung ahli Pertubuhan dengan  menerima setiap ahli “Persatuan Penduduk” mereka adalah Pemilik Tanah dan Rumah berdaftar di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atau telah menetap lebih dari 3 (tiga tahun) sebagai ahli “Persatuan Penduduk” Ahli Pertubuhan tersebut, ini adalah bertujuan memudah cara pentadbiran Kampung Tradisi secara Setempat (One stop Center).

b)       Perkara berkenaan Pentadbiran, Pembangunan, Kemajuan Sosial dan Ekonomi, Kebajikan, Keselamatan, Pendidikan, Agama, Bahasa, Adat dan Adab penduduk-penduduk dan pemilik-pemilik Tanah dibawah tadbir Ahli Pertubuhan membantu mengatasi, menyelesaikan dan bertindak mengikut saluran Undang-undang terhadap Penduduk yang menghadapi masaalah kritikal tertakluk kepada kuasa dan kemampuan Pertubuhan yang dibenarkan oleh Kerajaan.

c)       Membantu Ahli Pertubuhan secara Teknikal dan Logistik mentadbir ahli “Persatuan Penduduk” Ahli Pertubuhan dengan mengunakan saluran yang dibenarkan oleh Kerajaan dengan menyalurkan kemudahan dan kebajikan kepada penduduk Ahli Pertubuhan, dengan menyedia dan menyimpan serta memberi Info-info dan maklumat pengetahuan berkenaan dan menjadi perantaraan kepada Kerajaan, memberi peluang-peluang jana pendapatan perniagaan melalui penubuhan ‘Koperasi Penduduk Kg Tradisi Melayu WPKL” setiap Kampung Ahli Pertubuhan

d)       Satu badan yang bertindak mengadakan Kebajikan dan sistem Gaya kehidupan sihat seperti sukan, senibudaya, motivasi kesihatan, kerjaya Keusahawaan, bantuan kepada Fakir miskin yang kurang mampu dan ditimpa mala petaka, penuh dengan tradisi aktiviti gotong –royong,kerjasama dalam apa-apa juga usaha naik taraf gaya hidup dan kebajikan serta pendidikan Agama untuk mengwujudkan suasana kehidupan berkampung, mengeratkan hubungan silatulrahim dan saling hormat-menghormati dikalangan Ahli Pertubuhan.

2)       Membantu NGO-ngo dan Agensi kerajaan mengadakan Aktiviti Sosial dan Ekonomi terhadap Penduduk Ahli Pertubuhan.Merancangkan untuk jangka panjang, generasi Muda dan Warga emas, ibu dan bapa tunggal, dengan Program-program Sosial, pendidikan Moral dan jana ekonomi tambahan.
Program Komuniti –
a.       Merinyu dan Mengumpul Pangkalan Data penduduk,Status pemilikan dan Reka bentuk Rumah dan Landskap.

b.       PUSAT RAHMAT / SEJAHTERA dan Khidmat Masyarakat dgn membantu keluarga miskin & memerlukan bantuan IHSAN, bantu Ringan beban tanggungan ISI rumah, Pusat Warisan Sejarah dan Pendidikan, Mini Muzium Budaya,Pusat Islam Remaja Bengkel kemahiran seperti Seni Khat untuk kanak-kanak, Aktiviti-aktiviti Pemeriksaan Kesihatan, Riadah dan Sukan ,Bengkel-bengkel dan Penceramahan Motivasi Keluarga Bahagia, Aktiviti Keselamatan bersama Kementerian Perpaduan dan POLIS

c.       Mengadakan Kursus-Kursus Kemahiran ,Pengurusan Masa, Pemantapan Daya Saing, Latihan Staf Sokongan, Pengurusan Stress, Keutuhan&Pemantapan Nilai &Etika, Kemahiran Berfikir, Teknik Komunikasi Berkesan, Bahasa Inggeris dan Arab, kemahiran kaunseling, Pengurusan Konflik, Pemantapan Motivasi Kerja, Pembangunan Kerjaya, kemahiran Menyelesaikan Permasaalah dan membuat Keputusan, Pengurusan Perubahan, Lawatan Ekonomi  kepada Remaja dan Pemuda KG Program-program Motivasi, Jatidiri, Cara atasi Konfliks, isu semasa dan sebagai pemudah cara segala urusan
Pembangunan Modal Insan Tajaan Kerajaan
a.       Menjayakan  skim Ekonomicf Transformation Program (ETP) yang disokong Kerajaan.
b.       Usaha menjadikan ICT sebagai pengerak
c.       Menjayakan  Program PERMATA NEGARA kepada remaja/wanita membina dan mengasuh Anak- anak (dibawah Umur 5 Tahun) yang Berdaya Maju dan Saing seragam kehendak dan akan melaksanakan ETP masa hadapan.
d.       Membina Kg Tradisi Bussiness Centre.mengadakan sistem Peruncitan (Retailing) mengunakan sistem ETP
e.       Menyediakan Lokasi operasi dan gerai-gerai ruang perniagaan kepada mereka yang pernah mengikuti program  ETP atau Skill Training atau peniaga-peniaga kecil  yang tiada tapak perniagaan.
f.        Membantu melaksanakan Projek-projek kecil dengan memberi peranan merancang serta Cadangan kepada Kerajaan.Infrastruktur, Baik-pulih / Bina baru , Kemudahan Asas, Bina Landskap, Penyediaan dan Perkhidmatan Kebersihan dan Keselamatan



g.       Menjaga kepentingan ahli seperti Kebajikan dan keselamatan Harta dan Nyawa penduduk.
h.       Menjadi perantara di antara penduduk dan pemaju dan badan organisasi bukan kerajaan dan ajensi-ajensi kerajaan serta pihak DBKL bertujuan memajukan kampung sebagai pemangkin pembangunan di dalam bandaraya, dengan mengusahakan program-program budaya hidup cara kampung, bersama menyertai  satu usahasama dan gotong-royong mengadakan perkhidmatan kebersihan kampung, perkhidmatan rondaan keselamatan kampung dan memberi bantuan kepada  fakir miskin.

FASAL  5  BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN.

a)       Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut;-
                    I.                        Yuran pendaftaran                                  RM
                  II.                        Yuran Bulanan                                       RM 
b)       Yuran bulanan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari pada atau selewat-lewatnya 7hb. tiap–tiap bulan
c)       Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua bulan berturut, akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh Setiausaha atau wakilnya, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya dijelaskan.
d)       Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih daripada jumlah yuran bagi tiga bulan dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli persatuan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.
e)       Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.
f)        Yuran Khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, maka wang itu dianggap sama seperti hutang yuran bulanan.



FASAL 6           PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI


1.       Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli persatuan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan hutangnya.
2.       Mana-mana ahli atau ahli Jawatankuasa yang gagal mematuhi undang-undang persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik pertubuhan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagai mana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau mengantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan  atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya secara bertulis. Pemecatan  atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.
3.       Ahli pertubuhan diwajibkan menyerahkan dan menjelaskan segala urusan berkaitan dengan “Koperasi Kg Tradisi” masing-masing kepada Ahli Jawatankuasa dan sekira perlu wajar di batalkan penubuhannya.

FASAL 7           MESYUARAT AGUNG

1.       Pengelolaan Persatuan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali  jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan menetapkan korum untuk mesyuarat.         

2.       Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang persatuan atau membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

3.       Mesyuarat Agung tahunan bagi persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31 hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa.
Kerja-kerja mesyuarat agung tahunan ialah;-

a.    Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan pertubuhan di dalam tahun lalu;
b.    Menerima lapuran Bendahari dan penyata kewangan yang telah di auditkan bagi tahun yang lalu;
c.    Memilih ahli- ahli Jawatankuasa dan melantik Juruaudit untuk tahun akan datang, dan
d.    Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

4.       Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 30 hari sebelum mesyuarat agung tahunan diadakan , satu notis dan agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan lapuran serta penyata kira-kira persatuan bagi tahun lalu yang telah diauditkan. Salinan surat-surat ini hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan persatuan.

5.       Mesyuarat agung khas bagi pertubuhan ini boleh diadakan;-

a      Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau
b    Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang daripada satu perlima (1/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha persatuan.

6.       Mesyuarat  agung khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

7.       Pengumuman satu notis dan agenda untuk mesyuarat  agung khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

8.       Fasal 7 (1) dan 7 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan mesyuarat agung tahunan hendaklah digunakan untuk mesyuarat agung khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan bagi mesyuarat agung khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan dan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh ini, mesyuarat agung khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan .

9.       Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf peringatan tiap-tiap mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung khas dengan seberapa yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.

FASAL 8           JAWATANKUASA

1.       Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan pegawai-pegawai persatuan hendaklah dilantik di dalam mesyuarat agung tahunan ;-

a. Seorang Yang Di Pertua
b. Seorang Naib Yang Dipertua
c. Seorang Setiausaha
d. Seorang Penolong Setiausaha
e. Seorang Bendahari
f.  Seorang Penolong Bendahari
g. Lima (5) orang Ahli Jawatankuasa Biasa atau penambahan tertakluk kepada
   jumlah perlantikan ahli pertubuhan kampung baru yang berlainan

2.       Jawatan Penolong Setiausaha dan Bendahari perlantikan di bawah keputusan Yang di Pertua.
3.       Pemegang-pemegang jawatan persatuan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam persatuan ini hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia.

4.       Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam mesyuarat agung tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.

5.       Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah  boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat  agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap mesyuarat agung tahunan.

6.       Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tiga bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli , 7 hari terlebih dahulu. Yang Di Pertua dengan sendiri atau tidak kurang daripada 4 orang ahli jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah(1/2) daripada bilangan ahli jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

7.       Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat tidak dapat diadakan, maka Setiausaha hendaklah mendapatkan kelulusan daripada ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai diterima;-

a)       Masaalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa .
b)       Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan tersebut itu; dan
c)       Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang keputusan yang diperolehi melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

8.       Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat jawatankuasa tiga(3) kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa .




9.       Jika seorang jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga pemilihan dalam mesyuarat agung tahunan diadakan.

10.   Jawatankuasa boleh memberi perintah kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan-urusan pertubuhan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, ingkar menjalankan keputusan Jawatankuasa atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan pertubuhan.

11.            Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas  kepada sebarang ahli Jawatankuasa

FASAL  9          KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

1.       Yang di Pertua, dalam tempoh memegang jawatannya,hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan.

2.       Naib Yang di Pertua hendaklah memangku jawatan Yang Di Pertua semasa ketiadaannya.

3.       Setiausaha hendaklah menjalankan  kerja pentadbiran Persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung dan jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan.
Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama, alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua  mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat .Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari daripada tarikh mesyuarat agung tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan persatuan kepada pendaftar pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan, 1966.

4.       Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

5.       Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan akaun berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya.

6.       Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.

FASAL 10                     KEWANGAN.

1.       Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan dalam undang-undang ini wang persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan persatuan termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai  dan kakitangan yang bergaji serta upah mengaudit akaun. Walaubagaimanapun, wang itu tidak bolah digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman mahkamah.           

2.       Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 1,500.00 ( Ringgit Malaysia ; Satu Ribu Lima Ratus sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah di masukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Akuan bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.

3.       Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada akaun persatuan hendaklah ditandatangani bersama Yang Di Pertua, Setiausaha dan Bendahari. Semasa ketiadaan Yang Di Pertua, Setiausaha atau  Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang persatuan

4.       Perbelanjaan yang lebih daripada RM 1,500.00 ( Ringgit Malaysia ;  Seribu Lima Ratus saja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa dan perbelanjaan yang lebih daripada RM 10,000.00 ( Ringgit Malaysia ; Sepuloh Ribu sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh di lakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang  kurang dari RM 1,500.00 ( Ringgit Malaysia ; Seribu Lima  Ratus saja) bagi sesuatu masa boleh di luluskan oleh Yang  Di Pertua bersama Setiausaha dan Bendahari.

5.       Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta penyata akaun bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh juruaudit yang dilantik di bawah Fasal 11 dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata akaun yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh mesyuarat agung tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan  untuk makluman ahli di alamat  tempat urusan persatuan.

6.       Tahun kewangan Persatuan ini bermula dari 1hb Januari dan berakhir pada 31 hb Disember setiap tahun.


FASAL 11         JURUAUDIT

1.       Dua orang yang bukannya pegawai persatuan hendaklah dilantik di dalam mesyuarat tahunan sebagai Juruaudit. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.

2.       Juruaudit adalah dikehendaki mengaudit  akaun persatuan bagi setahun dan membuat lapuran atau mengesahkan untuk mesyuarat agung tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Yang DI Pertua mengaudit akaun persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.



FASAL 12                     PENTADBIR HARTA


1.       Semua harta tetap persatuan hendaklah dinamakan atas nama persatuan. Pemegang jawatan semasa dalam jawatankuasa iaitu Yang Di Pertua, Setiausaha dan Bendahari hendaklah dilantik menjadi Pegawai Pentadbir Harta mengikut Seksyen 9(b) Akta Pertubuhan 1966 di mana sijil pengesahan akan dikeluarkan oleh Pendaftar Pertubuhan. Mereka akan menjalankan tugas sebagai Pegawai Pentadbir Harta selagi mereka memegang Jawatan berkenaan di dalam persatuan.

2.       Pegawai Pentadbir Harta tidak boleh menjual, memajak atau menukar milik harta tetap kepunyaan persatuan dengan tidak atau persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh mesyuarat agung persatuan.

3.       Sekiranya seseorang pegawai pentadbir harta itu tidak lagi memegang jawatan dalam persatuan maka kuasanya dengan tersendiri  terlucut.

FASAL 13        TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

1.       Diantara berlangsungnya mesyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan jawatankuasa, jika mustahak boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang.

2.       Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat agung.


FASAL 14                    PENASIHAT / PENAUNG

Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat / Penaung bagi persatuan ini dengan syarat orang-orang yang dilantik itu menyatakan persetujuan secara bertulis.


FASAL 15        LARANGAN

1.       Sebarang bentuk perjudian seperti yang ditafsirkan dalam jadual 1 dan 2, Akta Rumah Judi Terbuka 1953, tidak boleh dimainkan di dalam premis pertubuhan.

2.       Persatuan atau ahli-ahli tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definisi dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959.

3.       ‘Faedah”  seperti yang diterangkan dibawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah  boleh diberikan oleh persatuan kepada mana-mana ahlinya.
              




FASAL  16        PINDAAN UNDANG-UNDANG

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat  agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari daripada tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.


FASAL 17         PEMBUBARAN


1.       Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima  (3/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.

2.       Sekiranya persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat agung berkenaan.

3.       Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.






              

Yang Di Pertua                                                                                    Setiausaha


Tarikh ;















PERTUBUHAN KAMPUNG TRADISI MELAYU
WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR
(PKTMWPKL)



1)    PERSATUAN PENDUDUK KG PADANG BALANG HILIR,
SENTUL, KUALA LUMPUR                                                           (PPKG PBH)

2)    PERSATUAN PENDUDUK KG CHUBADAK HULU, SENTUL,
KUALA LUMPUR                                                                            (PPKG CBKH)

3)    PERSATUAN PENDUDUK KG SELAYANG LAMA, KL                        (PPKG SLY)

4)    PERSATUAN PENDUDUK KG CHUBADAK TAMBAHAN, SENTUL,
KUALA LUMPUR                                                                            (PPKG CBKT)

5)    PERSATUAN PENDUDUK KG PUAH SEBERANG, JALAN GOMBAK,
KUALA LUMPUR.                                                                           (PPKG PSBG)

6)    PERSATUAN PENDUDUK KG SUNGAI MULIA, JALAN GOMBAK,
KUALA LUMPUR                                                                            (PPKG SGMLA)


No comments:

Post a Comment