Amalkan penghakupayaan belia
DATUK SAIFUDIN ABDULLAH – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak memahami belia. Kerana itu, beliau menggunakan pendekatan
“penghakupayaan belia” (youth empowerment) dalam penggubalan dasar dan
program belia. Beliau mendengar suara belia dalam proses tersebut
melalui pelbagai bentuk partisipasi, seperti makmal, pameran, media
sosial, pertemuan dan sebagainya. Contohnya, beliau menerjemahkan
resolusi Makmal Pemuda BN, seperti skim perumahan pertama dan tabung
belia 1Malaysia, menjadi program baru kerajaan. Sabtu lalu, beliau
mengiktiraf Makmal Transformasi Pembangunan Belia anjuran Kementerian
Belia dan Sukan, dengan mengumumkan cadangannya menjadi program baru,
iaitu Parlimen Belia, taman belia, portal belia, ikon belia, sukarelawan
belia dan mentor keusahawanan belia. Datuk Seri Najib telah
melakukannya. Persoalannya ialah sejauh manakah kita yang di bawah ini,
iaitu di peringkat pelaksanaan kerajaan/institusi, benar-benar
mengamalkan penghakupayaan belia dalam merealisasikan program-program
tersebut serta dalam program-program belia (termasuk mahasiswa dan
pelajar) yang lain? Saya timbulkan persoalan ini kerana, walaupun
penghakupayaan tercatat dalam Dasar Pembangunan Belia Negara dan
pelbagai dasar yang lain, tetapi, pelaksanaannya masih tidak memuaskan.
Sebab utamanya kerana sebahagian daripada kita tidak menghayati makna
penghakupayaan belia itu sendiri.
Masalah pertamanya ialah apabila istilah
bahasa Inggeris empowerment diterjemahkan ke bahasa Melayu sebagai
“pengupayaan”. Ketika saya menerjemahkannya pada tahun 1996, tidak ada
istilah bahasa Melayu yang tepat. “Pengupayaan” tidak tepat. Justeru,
saya mencipta istilah “penghakupayaan”. Definisi penghakupayaan belia
ialah “membolehkan dan mendapatkan belia untuk berfikir dan bertindak
atas semua isu (peribadi, keluarga, sosial, budaya, ekonomi, politik dan
antarabangsa) yang menyentuh dirinya dan segala yang di sekitarnya yang
mereka adalah sebahagian daripadanya”. Ini memerlukan
kerajaan/institusi membolehkan dan mendapatkan perwakilan belia terlibat
dalam struktur dan proses membuat keputusan yang melibatkan mereka.
Penghakupayaan berada dalam satu kontinum, iaitu: “dari peluang kepada
hak” dan “dari perundingan tidak formal kepada keterlibatan secara
berstruktur dan formal dalam proses membuat keputusan”. Perspektif ini
meliputi konsep-konsep lain seperti “menjana kapasiti”, “hak asasi”,
“tanggungjawab”, “autonomi”, “pembangunan partisipatif” dan sebagainya.
Penghakupayaan mula-mulanya digunakan sebagai istilah politik oleh
aktivis mahasiswa Amerika Syarikat (AS). Kemudian, ia menjadi istilah
perniagaan yang popular. Ia satu gaya pengurusan. Ia bermakna kuasa
orang bawahan untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan. Hari ini,
telah terbukti bahawa kaki tangan yang terhakupaya dalam apa-apa
organisasi adalah lebih produktif dan efektif. Ini kerana penghakupayaan
mengizinkan keputusan dibuat lebih cepat dan tepat oleh kaki tangan
yang mempunyai kefahaman yang lebih terhadap kehendak pelanggan, kerana
rapat dengannya, berbanding pegawai atasan yang tidak rapat dengan
pelanggan. Penghakupayaan menawarkan potensi untuk meraih takungan
kapasiti sumber manusia yang selama ini tidak digunakan sepenuhnya, yang
semestinya dioptimumkan sekiranya sesebuah organisasi dan negara ingin
benar-benar maju. Kini, setelah sekian lama dipopularkan, penghakupayaan
belia mula disebut ramai. Tetapi, ramai masih tidak pasti dengan
maknanya yang sebenar. Malahan telah timbul beberapa kekeliruan terhadap
maknanya. Di antara kekeliruan tersebut ialah: n Memberikan tugasan
kerajaan/institusi kepada belia. Ini lambakan. n Melantik belia sebagai
wakil kerajaan/institusi. Ini delegasi. n Menyerahkan kuasa
kerajaan/institusi kepada belia tanpa had atau tanggungjawab. Ini
anarki. n Mengundang belia untuk membantu membuat keputusan
kerajaan/institusi. Ini pengurusan partisipatif. n Kerajaan/institusi
menggunakan belia untuk memajukan sesuatu program atau objektif tanpa
belia mengetahui tentang apa yang disertainya. Ini manipulasi. n Belia
terlibat tetapi tidak dapat membuat keputusan tentang tujuan, cara atau
tahap keterlibatannya itu. Ini tokenisme. n Belia dilibatkan untuk
menjustifikasikan sesuatu program itu adalah program belia. Ini
kosmetik. Sebab itulah penghakupayaan belia yang sebenar perlu difahami.
Penghakupayaan belia bukan bermakna memberikan kuasa kepada mereka.
Sebaliknya, ia adalah proses menyalurkan idealisme, aktivisme dan
intelektualisme yang telah sedia dimilikinya. Dalam mengamalkan
penghakupayaan belia, semua individu dan organisasi yang berkaitan perlu
bersedia untuk melakukan anjakan paradigma dari segi cara berfikir dan
berbuat. Struktur dan hirarki yang wujud perlu dinipiskan. Ini akan
melibatkan penyesuaian dalam sekurang-kurangnya tiga aspek. Pertama,
peraturan membuat keputusan diubah. Keputusan ditarik ke bawah sehingga
ke tahap tindakan. Kedua, deskripsi tugasan diperluaskan dan setiap yang
terlibat menjadi multi-trampil dan mampu membuat keputusan apabila
berurusan dengan rakan/pelanggan. Dan ketiga, komunikasi yang formal dan
berlapis-lapis digantikan oleh jaringan komunikasi yang fleksibel
dengan bantuan ICT. Peranan kerajaan/institusi perlu berubah. Organisasi
yang terhakupaya meletakkan sumber manusianya dalam pasukan-pasukan
kerja dan tidak lagi mengikut fungsi-fungsi yang rigid. Pasukan-pasukan
ini didorong oleh matlamat, bukan oleh arahan; dan ketua tidak lagi
mengawas, tetapi mengenal pasti mereka yang mampu menjalankan tugas dan
membenarkan mereka menjalankannya mengikut budi bicaranya. Ketua berubah
menjadi fasilitator. Ini tidak bermakna yang peranan kerajaan/institusi
akan hilang sebaik sahaja penghakupayaan belia dijalankan. Tetapi,
cara-cara tradisional yang “dari atas ke bawah”, “memaksa ketaatan”,
“mengekalkan conformity” dan “menghukum apabila silap” perlu ditamatkan.
Governans cara lama menggunakan kerajaan/institusi sebagai paksi.
Andaiannya ialah belia tidak mampu berfikir untuk dirinya atau negara.
Lantas mereka hanya diminta (baca: diarah) untuk sekadar menjadi
pengikut dasar dan peserta program semata-mata. Andaian ini tidak lagi
relevan dan konsisten dengan pengalaman kontemporari. Penghakupayaan
tidak menggunakan kerajaan/institusi sebagai paksi. Ia mempunyai andaian
baru, iaitu belia memiliki kemampuan berfikir untuk dirinya dan negara.
Belia hari ini mempunyai pengalaman yang amat berbeza daripada apa-apa
yang dialami oleh kerajaan/institusi. Mereka yang tidak memahaminya
bersungut bahawa sebahagian belia kurang berminat dengan, contohnya,
politik dan program kerajaan. Sebenarnya, belia melihatnya sebagai tidak
relevan, tidak menggamit imaginasi atau tidak memenuhi citarasa mereka.
Kini, ramai belia mempunyai aspirasi yang telah melampaui apa yang kita
fikirkan. Jika kita tidak menyelami minda mereka, kita akan rugi kerana
akan ketinggalan zaman. Jika kita halang percambahan minda mereka, kita
akan rugi kerana mereka akan meninggalkan kita. Justeru, kita perlu
melihat, menerima dan mengiktiraf belia dengan pendekatan baru, iaitu
penghakupayaan belia, dalam ertikatanya yang sebenar
No comments:
Post a Comment