Langkah meningkatkan penerokaan teknologi baru negara
May 19, 2011
SEBANYAK 35 tokoh terkemuka dunia
dalam bidang teknologi dipilih menjadi ahli Mesyuarat Majlis Penasihat
Sains dan Inovasi Global (GSIAC). Di Akademi Sains New York (NYAS),
Amerika Syarikat semalam, satu lagi sejarah dilakarkan apabila Malaysia
melancarkan majlis tersebut.
Penubuhan GSIAC adalah sebagai landasan untuk memberi nasihat ke arah merealisasikan kemajuan rakyat dan negara.
Menariknya, walaupun baru pertama kali
bermesyuarat sudah terhasil cadangan permulaan untuk tiga projek segera
iaitu model Bandar Pintar dan Kampung Pintar; projek rumah jimat tenaga
dan kajian menjadikan sisa kelapa sawit sebagai kuasa elektrik serta
vaksin.
Dengan GSIAC, Perdana Menteri berazam membawa Malaysia mampu meneroka bidang teknologi baru menjelang 2020.
Sebagaimana kita mengharapkan pandangan
dan nasihat daripada Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) mengenai
teknologi maklumat dan komunikasi, begitu juga kepada GSIAC dalam bidang
sains dan inovasi.
Sebagai sebuah negara membangun, kita
sedar bahawa sains dan inovasi merupakan unsur penting dalam kemakmuran
ekonomi. Malahan, negara-negara terkaya di dunia ini pun adalah negara
yang paling inovatif.
Oleh itu, kita berharap perbincangan
dalam pertemuan selanjutnya nanti akan memberikan panduan dan
menunjukkan jalan bagaimana Malaysia tidak ketinggalan dalam bidang
penting ini.
Langkah ini penting untuk mempertingkatkan keupayaan inovatif dan memperkukuhkan daya saing negara.
Kita mengalu-alukan sebarang pandangan
dan buah fikiran daripada GSIAC supaya Malaysia lebih berjaya dalam
mempergunakan sumber baru yang berpotensi berkembang ini.
Untuk Malaysia terus berkembang dan
mencapai Wawasan 2020 dengan berjaya, kita mesti menjadi lebih baik dan
terbaik dalam proses sains dan inovasi.
Malaysia akan melangkah ke tahap
berikutnya dengan Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi
Kerajaan. Jadi langkah terbaru ini juga ada kaitannya dengan usaha
meningkatkan sains dan inovasi mampu memberi faedah kepada rakyat.
Kita akui walaupun Malaysia belum
terkenal dalam bidang penciptaan teknologi baru untuk pasaran dunia,
tetapi kita perlu berusaha dan menggalakkan lebih ramai anak muda
menjadi pencipta produk yang kreatif dan inovatif.
Pada hakikatnya pembangunan teknologi
sains dan inovasi negara kini kian berkembang. Ia bukan tertumpu di
Lembah Klang tetapi jalinan rangkaiannya disebar luas ke seluruh negara.
Sekarang, banyak negara sedang bersaing
menarik pelabur asing. Kita pula tidak punya tenaga buruh yang ramai dan
murah seperti India dan China. Tetapi jika rakyat kita mempunyai
kemahiran sains, teknologi dan inovatif, yakinlah kita ada kekuatan
untuk menyaingi negara lain dalam menarik pelaburan asing.
Tumpuan kekuatan ekonomi negara kita kini
ialah pembangunan modal manusia. Dalam konteks ini kita perlu juga
membina tenaga mahir dalam bidang sains dan inovasi.
utusan malaysia
No comments:
Post a Comment