"BIAR MATI ANAK , JANGAN MATI ADAT"
Simbolik Istiadat Penghulu-Penghulu Luak Menghadap
Oleh Kurniawati Kamarudin
KUALA PILAH (Bernama) -- Istiadat Penghulu-Penghulu Luak Menghadap yang
menjadi satu daripada warisan budaya dan sejarah dalam pentadbiran
beraja di Negeri Sembilan dizahirkan kembali setelah hampir lima tahun
tidak diadakan.
Istiadat itu, yang dimulakan sejak 1898, adalah bagi mengulang taat setia Penghulu-Penghulu Luak kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sebagai payung yang memerintah.
Penghulu Luak itu terdiri daripada Penghulu Luak Ulu Muar, Penghulu
Luak Terachi, Penghulu Luak Gunung Pasir, Penghulu Luak Jempol dan
Penghulu Luak Inas serta luak-luak kecil iaitu Luak Gemenceh dan Luak
Air Kuning.
SEJARAH AWAL
Bertempat di Bandar Diraja
Seri Menanti, kehadiran ribuan rakyat dari seluruh Negeri Sembilan serta
pelancong luar memberi peluang untuk mendekati dan memahami istiadat
Penghulu-Penghulu Luak Menghadap. Ia serentak dengan Pesta Persukuan
Adat yang diadakan di halaman Istana Lama Seri Menanti, baru-baru ini.
Generasi tua, muda mahupun kanak-kanak datang untuk bersama-sama
menyaksikan keunikan istiadat yang menjadi kebanggaan terutama pengamal
dan pendukung Adat Perpatih di negeri yang mendapat jolokan Negeri
Beradat.
Kali terakhir Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu
Menghadap diadakan pada 26 Okt, 2009 semasa istiadat Pertabalan Yang
Dipertuan Besar Negeri Sembilan sekarang, Tuanku Muhriz ibni AlMarhum
Tuanku Munawir.
Mengikut sejarahnya, keputusan mengadakan
istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap ini dipersetujui dalam
kalangan datuk-datuk penghulu luak pada zaman pemerintahan Tuanku
Muhamad pada tahun 1898.
Ketika itu diputuskan istiadat itu
akan dilaksanakan setiap tiga tahun sekali, menurut Penyelaras Adat
Istiadat Istana Besar Seri Menanti, Datuk Ibrahim Jahaya.
Ujar
beliau, ia melibatkan penghulu-penghulu luak tanah mengandung, iaitu
penghulu yang menjaga pentadbiran wilayah adat termasuk Istana Besar
Seri Menanti, tempat bersemayamnya Yang Dipertuan Besar dan Tuanku
Ampuan Besar Negeri Sembilan.
Tujuannya adalah untuk
memperbaharui taat setia dalam kalangan penghulu luak yang dipilih oleh
anak buah dalam kawasan pentadbiran adat masing-masing, katanya.
"Setelah dilantik oleh anak buah, ada istiadat menyempurnakan
perlantikan itu dengan datuk penghulu datang menghadap kepada tuanku
serta melafazkan taat setia untuk menjaga pentadbiran adat di luak
masing-masing.
"Setiap tiga tahun sekali mereka perlu datang
menghadap kepada Tuanku untuk memperbaharui ikrar taat setia itu yang
dipanggil Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap," katanya.
ATUCARA ISTIADAT
Selama tiga hari, Istana Besar Seri Menanti menerima kedatangan
pemimpin-pemimpin adat yang mewakili anak buah (rakyat), kerabat-kerabat
raja yang lengkap berpakaian istiadat, berbaju Melayu, bertanjak serta
keris di pinggang.
Ia dimulakan dengan istiadat menurunkan alat-alat kebesaran.
Menurut Ibrahim, ia menjadi satu tatacara wajib yang harus dilakukan
setiap kali berlakunya istiadat di Istana Besar Seri Menanti yang
melibatkan Yang Dipertuan Besar.
Istiadat dimulakan setelah
Yang Dipertuan Besar berkenan untuk menepung tawar dan memeriksa setiap
alat kebesaran yang diletakkan di ruang tengah Istana Besar Seri
Menanti.
Alat-alat kebesaran itu terdiri daripada lapan payung
kuning, lapan keris panjang, lapan pedang panjang, empat panji-panji
kuning, dua panji-panji merah, dua panji-panji hitam dan lapan tombak
berambu.
Setelah mendapat titah perkenan tuanku, Pegawai 99
yang diketuai Datuk Setia Bijaya kemudian akan memasang alat kebesaran
berkenaan di halaman istana.
Baginda turut sama menyaksikan istiadat pemasangan alat kebesaran itu dengan diiringi penghulu-penghulu luak.
Setelah kesemua payung kebesaran dikembangkan, tiga das tembakan meriam
dilepaskan bagi menandakan istiadat menurun dan memasang alat kebesaran
selamat disempurnakan, katanya.
ISTIADAT BERSIRAM
Pada hari kedua, Istiadat Bersiram pula dijalankan di Panca Persada yang
terletak di luar kawasan Istana Besar Seri Menanti. Selain dihadiri
Putera Yang Empat, kerabat-kerabat diraja dan kenamaan kerajaan,
masyarakat di sekitar Negeri Sembilan turut tidak melepaskan peluang
untuk menyaksikan istiadat penuh sejarah itu.
Ia dimulakan
dengan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Mukhriz dan Tuanku Ampuan Besar
Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, dihela
(ditarik) menaiki kenderaan khas Takhta Rencana dari istana ke Panca
Persada, sejauh kira-kira 400 meter.
Pegawai 99 yang didahului
Datuk Setia Bijaya bersama 20 Pegawai 99 di hadapan, 20 orang di
belakang serta 20 orang setiap kiri dan kanan ditugaskan menghela
kedua-dua baginda.
Di atas Takhta Rencana pula, tuanku berdua
bersemayam dengan diapit kiri dan kanan oleh Datuk Laksamana II yang
memegang Padang Sebarau Bujang dan Datuk Kanda Maharaja memegang keris
senawi. Manakala Datuk Mangku memegang Payung Kuning dan Datuk Bentara
Perempuan membawa kipas keemasan.
Perarakan pada pagi itu,
didahului kumpulan rebana sambil bersalawat, kemudian diikuti Pegawai 99
yang membawa alat kebesaran diraja serta dituruti pembawa cepu bedak
limau oleh Datuk Raja Penghulu bersama Datuk Menti Laksamana.
Sebaik perarakan dimulakan, tembakan meriam sebanyak lapan das
dilepaskan sehingga sampai ke Panca Persada dan tuanku berdua naik ke
singgahsana.
Upacara dimulakan dengan Datuk Raja Penghulu yang
membawa cepu bedak limau menyerahkannya kepada Datuk Menti Laksamana
untuk diletakkan di atas meja di hadapan Yang Dipertuan Besar dan Tuanku
Ampuan Besar.
Orang Empat Istana kemudian memulakan tujuh
pusingan sambil membawa cepu bedak limau dengan mengelilingi tuanku
berdua. Selesai pusingan itu, cepu bedak limau dipersembahkan kepada
tuanku berdua dimulai oleh Datuk Seri Amar Diraja, Datuk Raja Diwangsa,
Datuk Penghulu Dagang dan Datuk Akhir zaman secara bergilir-gilir dan
tuanku berdua mencelup tangan setiap kali dipersembahkan.
Selesai istiadat itu, lapan das tembakan meriam dilepaskan bagi
mengiringi perarakan keberangkatan balik tuanku berdua menaiki Takhta
Rencana.
Ibrahim berkata mungkin ramai yang beranggapan adat
bersiram itu sama seperti adat bersiram ketika majlis perkahwinan.
Hakikatnya sangat berbeza, yang mana adat bersiram semasa perkahwinan
dikenali sebagai adat bersiram mandi-manda. Manakala adat bersiram yang
dijalankan oleh tuanku berdua adalah sebagai acara simbolik bagi
menyucikan diri.
ISTIADAT MENGHADAP
Hari ketiga pula
berlangsungnya kemuncak keseluruhan Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu
Menghadap yang diadakan secara tertutup di Balairong Seri Istana Besar
Seri Menanti.
Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan yang
bersemayam di singgahsana diapit oleh Tuanku Besar Seri Menanti dan
Tuanku Muda Serting di sebelah kanan manakala Tuanku Laksamana, Tuanku
Panglima Besar di sebelah kiri.
Sebaik Datuk Bentara Dalam mengisytiharkan istiadat Penghulu Luak dizahirkan, sebanyak 11 das tembakan meriam dilepaskan.
Datuk Penghulu Luak Ulu Muar mendahului menghadap dengan berkesot naik
sebanyak tujuh tangga ke singgahsana. Apabila sampai di atas sekali,
beliau mencium tangan Yang Dipertuan Besar sebanyak tiga kali sebelum
berkesot untuk turun dari singgahsana.
Lafaz kemudian dibacakan
dengan menzahirkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada Yang
Dipertuan Besar sebagai payung adat dan negeri.
Upacara itu
kemudian dituruti oleh penghulu-penghulu Luak Terachi, Luak Gunung
Pasir, Luak Inas dan Luak Jempol serta Luak Gemenceh dan Air Kuning.
"Inilah acara kemuncaknya bagi Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak
Menghadap yang cukup istimewa serta perlu dihayati sebagai tanda taat
setia rakyat kepada raja.
"Nilai-nilai ini yang ingin
diterapkan terutama kepada generasi muda hari ini dalam usaha
memperkenalkan keindahan Adat Perpatih," katanya.
PENGALAMAN BAHARU
Bukan sahaja generasi muda, kebanyakan masyarakat di Negeri Sembilan
semakin hari meminggirkan Adat Perpatih dalam kehidupan mereka.
Tidak menghairankan, ada segelintir di beberapa daerah di Negeri
Sembilan telah hilang identii adat dan budaya yang dipegang selama ini.
Bagi Shahara Akmal Shahril, 19, dari Kampung Terachi, Pesta Persukuan
Adat dan Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap yang diadakan
itu memberi satu pendedahan baharu mengenai nilai-nilai murni serta
keunikan yang terdapat dalam Adat Perpatih.
"Saya datang ke
sini untuk mengetahui lebih lagi tentang Adat Perpatih. Saya rasa orang
di Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih patut berbangga dengan
adat dan budaya yang dimiliki.
"Persepsi negatif masyarakat
luar terhadap Adat Perpatih disebabkan ketidakfahaman mengenai adat itu.
Pendedahan melalui Pesta Persukuan Adat dan istiadat yang dijalankan
ini sedikit sebanyak boleh membuka mata dan menjelaskannya", katanya.
Sementara itu, seorang daripada pelancong dari Medan, Indonesia,
Syafizal S.Sos yang berpeluang menyaksikan istiadat bersiram turut
mengakui keunikan adat yang dirasakan dekat di hatinya.
Keramahan masyarakat di sini membuatkan beliau seperti berada di kampung
halaman sendiri selain adat dan istiadat yang tidak banyak berbeza.
"Memang tidak jauh seni dan budaya yang ada di Negeri Sembilan.
Istiadat yang ada cukup indah dan unik untuk dikongsi bersama pelancong
yang datang," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment