Wednesday, November 2, 2011

Program Bantuan Rumah banyak kelemahan

Program Bantuan Rumah banyak kelemahan
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 2, 2011
SHAH ALAM - Laporan Ketua Audit Negara 2010, mendedahkan beberapa kelemahan dalam pelaksanaan Program Bantuan Rumah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama.

Laporan dari Julai hingga Oktober 2010 menyebut antara kelemahan yang didapati ialah penerima bantuan bukanlah daripada golongan sasar, rumah lama penerima bantuan tidak dirobohkan, rumah bina baru tidak didiami peserta, kualiti kerja kontraktor tidak memuaskan dan surat setuju terima lewat dikembalikan.

“Kelemahan lain ialah kerja pembinaan tidak siap mengikut tempoh ditetapkan, kelulusan lanjutan masa tidak teratur, kelewatan pengesahan dan perakuan siap kerja pesanan tempatan lewat dikeluarkan dan pemantauan kurang memuaskan,” katanya.

Menurut laporan tersebut, Kerajaan, melalui Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, peruntukkan RM500 juta bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama dan RM116.66 juta diperuntukkan kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bagi melaksanakan program itu.

“Golongan sasar bagi program itu terdiri daripada miskin luar bandar dan bandar yang mempunyai pendapatan kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan yang ditetapkan di Semenanjung Malaysia.

“Sehingga 31 Disember 2010, Risda membina 2,609 rumah bina baru dan membaik pulih 2,780 rumah dengan perbelanjaan RM116.66 juta bagi program itu,” katanya.

Laporan itu menyebut sehingga 31 Disember 2010, Risda menerima 12,708 senarai penerima bantuan daripada Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dan seramai 6,033 penerima bantuan adalah layak mendapat bantuan rumah.

Menurutnya, lawatan Audit terhadap 75 rumah bina baru dan 62 rumah baik pulih di Selangor dan Terengganu mendapati ada antara penerima bantuan memiliki kereta dan melanggan perkhidmatan Astro.
“Ini menimbulkan keraguan terhadap kesahihan pendapatan yang dinyatakan dalam borang permohonan sama ada mematuhi syarat Pendapatan Garis Kemiskinan.

“Pada pandangan Audit, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) membuat pemilihan penerima bantuan di bawah Program Bantuan Rumah hendaklah mematuhi kriteria ditetapkan untuk membolehkan golongan sasar menikmati bantuan rumah bina baru atau rumah baik pulih,” katanya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

No comments:

Post a Comment