Saturday, November 19, 2011

3 juta tong sampah percuma untuk pemilik rumah

3 juta tong sampah percuma untuk pemilik rumah
Oleh : BERNAMA
Tarikh : November 19, 2011
Tong Sampah
ALOR SETAR - Seramai tiga juta pemilik rumah yang menjelaskan cukai pintu mengikut jadual akan dihadiahkan tong sampah beroda, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.

Beliau berkata tong tersebut disediakan oleh tiga syarikat konsesi yang diberi kontrak memungut sampah dan sisa pepejal di Kedah, Perlis, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Syarikat tersebut ialah Environment Idaman Sdn Bhd (di Kedah dan Perlis), Alam Flora Sdn Bhd (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrayaja, Pahang) dan SWM
Environment Sdn Bhd (Negeri Sembilan, Melaka, Johor)
.
"Pemberian tong secara percuma ini adalah selaras dengan penguatkuasaan Akta Pembersihan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) yang dikuatkuasakan secara rasmi pada 1 Sept lepas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan majlis penyerahan tong sampah percuma di Taman Lumba Kuda di sini hari ini.

Pemberian itu akan dilakukan sehingga 31 Ogos 2014 yang bermula di ibu negeri dan diikuti di kawasan Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.
  
Chor berkata 300,000 unit tong akan diedarkan di Kedah dan 30,000 di Perlis.
Beliau berkata penerima tong sampah itu perlu menjaga tong berkenaan dan  melaporkannya kepada polis serta syarikat konsesi jika tong-tong berkenaan yang diletak nombor siri hilang.
  
Laporan kehilangan atau kerosakan tong boleh juga dibuat melalui talian bebas tol 1-800-88-7472.

Tong-tong tersebut yang berharga RM120 satu unit boleh menampung 120 liter sampah.
  
Pengarah Environment Idaman Sdn Bhd, Azmanuddin Haq Ahmad berkata penggunaan tong tersebut akan memudahkan sistem kutipan sampah dari rumah ke rumah serta mengurangkan masalah longgokan sampah dan pembuangan sampah haram.
  
Katanya syarikat itu akan turut mengedarkan risalah yang menerangkan cara menguruskan sisa pepejal di rumah dalam usaha mengekalkan kelestarian alam sekitar. - Bernama

No comments:

Post a Comment