NASIB MELAYU DI BUMI MELAYU
Oleh: Dr. Mohd Redhuan Tee
Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock.
Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini.
Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar, apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini.
Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.
Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina, MCA, Gerakan dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan.
Saya tidak menafikan ada yang tidak kena dengan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.
Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar nikah yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.
Sedarkah Ketua Wanita MCA betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini.
Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan Ketua Wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah.
Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrem. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu.
Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami.
Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebaliknya. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.
Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1998. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah?
Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan Pas dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri.
Saya masih ingat pada November 2005, kononnya tahanan warga China telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa bersalah yang teramat sangat, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada kejadian tersebut.
Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrem MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga China tetapi seorang gadis Melayu. Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina.
Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.
Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikah dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita?
Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum. Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi.
Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam.
Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?
Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibadat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau.
Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini.
Logik
Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (Melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.
Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uighur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini?
Hanya kerana orang Cina itu beragama Islam, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat.
Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu murtad, berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad.
Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad.
Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi.
Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrem ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah.
Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan.
Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit.
Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Penulis ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Mingguan Malaysia, Ahad 26 Julai 2009
DR. REDHUAN TEE BUKA MATA NASIB MELAYU
SAYA berasa terpanggil untuk memberikan komen terhadap artikel ‘Nasib Melayu di Bumi Melayu’ yang disiarkan di Mingguan Malaysia pada 26 Julai lepas. Artikel tersebut yang ditulis oleh penceramah bebas yang saya minati, Dr. Mohd. Redhuan Tee Abdullah menyebabkan saya berasa hendak memberikan komen yang mungkin positif, mahupun negatif bagi sesetengah orang.
Ini merupakan kali pertama saya memberikan ulasan walaupun telah begitu banyak artikel yang saya baca. Namun saya rasa artikel daripada beliau merupakan artikel yang menarik yang membuka mata saya mengenai nasib orang Melayu di negara ini.
Terus terang saya katakan, saya bukanlah seorang yang minat pada politik. Saban hari, boleh dikatakan ada sahaja masalah politik yang berlaku di Malaysia ini. Sekiranya ada masalah atau isu, masing-masing saling menuding jari. Ini membuatkan saya yang pada ketika itu seorang pelajar universiti tempatan berasa ‘tak ingin ambil tahu’ tentang masalah politik di Malaysia.
Namun setelah saya habis belajar dan akan memasuki alam pekerjaan, saya rasakan apa yang berlaku dalam negara ini saya perlu diambil tahu.
Saya bagaikan baru ‘sedar’ dan ‘terjaga’ setelah membaca artikel Dr. Ridhuan yang menceritakan tentang nasib Melayu di negara ini. Beliau membuka mata saya tentang betapa orang Melayu seperti dianaktirikan di bumi sendiri. Ternyata orang Melayu amat lembut hati dan bertolak ansur.
Saya masih lagi teringat kes banduan wanita yang dibogelkan dalam penjara. Masa itu, berita itu cukup panas namun setelah mendapat tahu banduan tersebut adalah orang melayu, cerita itu tiba-tiba senyap. Tapi ketika itu saya tidak perasan wujudnya sebab ‘pertukaran’ kaum yang menjadikan cerita itu sepi macam itu sahaja. Tidak tahulah agaknya masa itu saya tidak mengikuti perkembangan kes tersebut ketika itu.
Kalau mahu diceritakan, memang banyak isu orang Melayu diketepikan dalam menuntut pengadilan. Namun sebagai rakyat yang hendak hidup aman di sini, saya cuma boleh pandang dan dengar sahaja apa jua situasi yang berlaku di negara ini. Tidak perlu jadi aktivis dan tidak perlu jadi ahli politik demi membela nasib kaum sendiri. Cuma berasa tanggungjawab untuk majukan anak bangsa supaya menjadi bijak pandai di negara sendiri.
Utusan Malaysia, 30 Julai 2009
BILA KACANG LUPAKAN KULIT
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
SAYA dikecam hebat, apabila salah satu laman blog menyiarkan semula artikel saya minggu lalu dalam Mingguan Malaysia, bertajuk Nasib Melayu di Bumi Melayu. Saya dituduh penulis upahan UMNO, lupa asal usul diri, lebih Melayu daripada Melayu, Cina tidak sedar diri, rasis dan berbagai kecaman dilemparkan oleh golongan ultra kiasu ini.
Saya mengucapkan terima kasih atas yang respons. Saya tidak berhasrat memberikan respons, kerana malas melayan idea-idea picisan yang menyerang peribadi dan tidak langsung menampakkan mereka ini profesional. Orang sebegini tidak layak dilayan, biarlah mereka terjun dengan labu-labunya. Lagipun saya tidak pasti sama ada mereka faham atau tidak, artikel yang saya tulis dalam bahasa Melayu, atau mungkin juga mereka lebih memahami bahasa Inggeris atau bahasa ibunda, daripada memahami bahasa kebangsaan itu sendiri sehingga mereka tidak faham apa yang saya maksudkan.
Begitu juga dengan akhbar Cina, China Press dan Nanyang Siang Pau berniat jahat dengan secara sengaja memaparkan sebahagian kecil artikel saya berkaitan Beng Hock, mengenai anak luar nikah yang dikandung oleh teman wanitanya. Sedangkan simpati dan pembelaan saya terhadap mendiang tidak disiarkan langsung. Ini menunjukkan betapa rasisnya akhbar Cina. Saya dituntut oleh keluarga mendiang untuk meminta maaf. Terus terang, saya tidak perlu meminta maaf kerana saya berkata benar. Bersekedudukan sebelum nikah adalah haram di sisi agama apa sekalipun. Kenapa agama Islam sahaja yang dipersoalkan, adakah agama lain menghalalkan perbuatan sedemikian?
Sebelum memeluk Islam, saya dahulunya pernah menganut agama Buddha dan Kristian. Kedua-dua ini mengharamkan sama sekali bersekedudukan sebelum nikah. Apakah kita mahu menghalalkan perkara ini sehingga menjadi budaya masyarakat kita? Apakah kita mahu ia turut berlaku kepada anak atau adik-beradik kita? Justeru, bila saya menulis, saya selalu meletakkan diri saya sebagai rakyat Malaysia atau bangsa Malaysia, bukannya orang Cina. Ini bertujuan supaya pandangan saya tidak berat sebelah atau bias. Jika orang Islam melakukan kesalahan saya akan tegur, begitu juga yang lain. Adakah kerana hanya saya berbangsa Cina, maka saya patut selindungkan sesuatu keburukan yang berlaku pada bangsa saya? Sudah tentu tidak kerana saya perlu berkata benar.
Jika orang Cina baik, saya akan puji sebab itu kenyataan. Begitulah sebaliknya, jika ada kelemahan, kita terpaksa terima walaupun pahit. Pada saya, hujah yang dikemukakan mesti dibalas dengan hujah berasaskan fakta clan ilmu, bukan menyerang peribadi.
Saya mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang politik dan kerajaan. Tajuk tesis saya berkaitan dengan 'persepsi orang Cina terhadap gerakan politik UMNO'. Hujah yang saya lontar itu adalah daripada sebahagian kecil kajian yang dibuat terhadap politik silang budaya kedua kaum ini secara kuantitatif dan kualitatif. Apakah yang berkokok itu pernah membuat kajian atau sekadar emosi yang menghantui diri sehingga tidak sedar diri?
Itupun nasib baik saya tidak ada rekod buruk sebelum ini seperti ahli politik dan penulis lain. Jika tidak, semua peribadi buruk akan diungkit dan digunakan sebagai senjata mengecam saya. Inilah budaya perkauman dan budaya ‘pandir' yang telah dicanangkan sejak sekian lama, terutama apabila kerajaan gagal mendidik mereka memahami sejarah sehingga menjadi manusia yang tidak mengenang budi. Malah mereka menjadi semakin ultra kiasu dan tidak mahu menerima hakikat sebenar.
Saya tidak mendapat satu sen daripada UMNO apabila artikel tersebut disiarkan. Begitu jua saya tidak mendapat satu sen pun wang zakat setelah 24 tahun memeluk Islam. Saya tidak ada banglo mewah, kereta mewah dan lain-lain kemewahan. Saya bersyukur dengan apa yang ada, hidup sebagai rakyat biasa. Malangnya, bila ada komen saya menyebelahi kerajaan/UMNO saya akan dituduh macam-macam. Bila idea saya menyebelahi pembangkang, saya akan dipuji melambung. Saya bukanlah dalam kategori yang mudah lupa diri bila dipuji. Saya sentiasa bermuhasabah apabila dikeji.
Saya menulis atas kebenaran. Saya adalah kalangan orang Cina yang celik sejarah dan celik perlembagaan. Saya tahu asal usul saya. Saya bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang saya tulis sama ada di dunia mahupun di akhirat. Saya tidak fikir tulisan sedemikian akan menyebabkan Allah SWT mencampakkan saya ke dalam neraka, berbanding mereka yang selalu mengumpat dan menyerang peribadi orang tidak sudah-sudah.
Saya tidak menuding jari terhadap siapa benar atau siapa salah. Saya tidak ada masalah bersemuka dengan sesiapa sahaja untuk berhujah secara ilmiah dan akademik, bukan berasaskan sentimen, politik sempit dan jumud. Janganlah jadi pengecut, melepaskan geram yang menampakkan kebodohan diri sendiri. Janganlah terlampau ultra kiasu kepada kaum sendiri. Tindakan ekstrem tidak akan mendatangkan kebaikan kepada semua pihak, malah mengusutkan lagi sesuatu yang telah kusut. Terus terang saya katakan, setelah membandingkan Malaysia dengan negara lain, ternyata Malaysia lain daripada yang lain. Amat unik dan toleransi amat tinggi, terutama kalangan orang Melayu. Selaku rakyat berbangsa Cina, saya amat berasa bertuah hidup di bumi bertuah ini.
Orang Cina (juga India) bernasib baik kerana kerajaan Malaysia sejak sebelum dan selepas merdeka, tidak banyak berusaha sama sekali mengasimilasikan mereka walaupun kerajaan berhak melakukannya terhadap mereka yang berhijrah. Mereka adalah seperti orang Cina seadanya seperti di negeri China. Bersekolah, berbudaya, bertutur clan semua cara hidup berasaskan kecinaan (atau keindiaan). Mana ada negara di dunia seperti ini? Berbanding dengan negara lain, seperti Thailand dan Indonesia serta lain-lain negara dunia, mereka yang berhijrah mesti diasimilasikan dahulu sebelum menjadi warga negara.
Identiti
Di Thailand, pada tahun 1930-an semua identiti kaum Cina dihapuskan termasuk meroboh semua sekolah Cina. Hari ini, orang Cina di Thailand sudah tidak seperti orang Cina. Mereka telah diasimilasikan menjadi orang Thai (Siam). Tidak ada beza antara orang Thai dan orang cina, mereka sudah tidak ada semangat Cina. Malah mereka tidak ada keinginan langsung untuk pergi ke negara China. Begitu juga di Indonesia.
Ini yang menjadikan saya sedar diri dan bersyukur. Berbeza dengan di Malaysia, sudahlah namanya bertukar daripada Tanah Melayu kepada Malaysia, keadaan masih tidak banyak berubah. Orang Cina tetap dengan kecinaannya. Lebih menyedihkan ada di kalangan mereka (ramai) tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik.
Mereka langsung tidak mahu diasimilasikan dan tidak mahu ambil tahu langsung tentang adat budaya Melayu. Malah, mereka malu berbahasa Melayu sebab mereka memandang rendah pada orang Melayu. istilah yang digunakan terhadap orang Melayu pun istilah menghina yang tidak perlu saya tulis di sini, kerana sebagai orang Cina saya tahu apa yang berlaku. Justeru, dapatan kajian saya tidak mengejut, orang Cina akan berjuang habis-habisan seberang percubaan untuk mengasimilasikan mereka dan percubaan untuk menyeragamkan sistem pendidikan kepada satu sekolah. Pendek kata, hidup mati orang Cina adalah dengan sekolah Cina dan semangat kecinaan mereka.
Saya merasa bersyukur kerana dilahirkan di kampung Melayu, tetapi dibesarkan dalam keluarga yang begitu kuat berpegang kepada tradisi Cina. Alhamdulillah, saya dapat memahami orang Melayu dengan lebih mendalam melalui pergaulan. Begitu juga dengan sahabat-sahabat saya yang lain. Saya tahu sensitiviti orang Melayu. Latar belakang sebegini, tidak semestinya menjadikan saya orang Melayu, kerana saya adalah orang Cina yang dijadikan Allah SWT, darahnya tetap, darah Cina. jika saya ditakdirkan lahir di kawasan orang Cina, saya fikir saya tidak banyak berubah, sebab saya celik sejarah, celik perlembagaan serta sedar diri. Pokoknya, kita mesti sedar diri dan memahami sejarah negara.
Sejarah Malaysia adalah berakarkan kepada sejarah Melayu. Malaysia tidak boleh dipisahkan dengan bangsa Melayu. Sejarah inilah yang tidak dapat dipisahkan juga dengan istilah ketuanan Islam dan ketuanan Melayu. Saya bukanlah menyokong ketuanan Melayu, tetapi jika istilah ini digunakan untuk menunjukkan penduduk Melayu adalah pribumi asal, pada saya ia tidak salah. Ketuanan Melayu bukanlah merujuk kepada hubungan antara `tuan' dan 'hamba'. Saya tidak fikir istilah ketuanan Melayu akan digunakan jika sekiranya nama Malaysia kekal seperti nama asalnya dahulu iaitu Tanah Melayu. Nama Malaysia tidak menampakkan identiti Melayu. Justeru, tidak salah penggunaan istilah ini jika dengan maksud dan tujuan yang baik dan bukan menghina bangsa lain.
Pada hemat saya, jika istilah ketuanan Melayu hanya digunakan untuk merujuk kepada sejarah Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu dan hak-hak istimewa Melayu dan Islam yang termaktub dalam perlembagaan dan sebagainya berkaitan dengan Melayu, saya fikir tidak salah. Apa yang penting pelaksanaan dasar mesti tidak mendiskriminasikan semua kaum. Jika ada pun diskriminasi atau ketidakadilan yang berlaku, yang patut dipersalahkan mereka yang melaksanakan dasar, bukannya menolak sesuatu dasar yang telah dipersetujui bersama. Adakah saya rasis apabila memperkatakan perkara ini?
Saya masih ingat apabila Teresa Kok dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor, perkara pertama yang beliau ucapkan adalah idea mewujudkan sebuah bandar Cina. Di situ ada kawasan perindustrian Cina dan institusi pengajian Cina untuk menarik pelabur-pelabur dari negara China. Adakah idea ini tidak rasis? Adakah saya yang membangkitkan isu ini rasis? Bila saya membela Cina tidak rasis, bila mana saya membela Melayu dan Islam, saya dituduh rasis. Jangan jadi gajah di depan mata tak nampak, kuman di seberang laut nampak begitu jelas. Bila isu menyebelahi Cina atau India, kita senyap. Bila isu menyebelahi Melayu, bagaikan nak runtuh satu Malaysia? Adakah politik sebegini tidak rasis? Saya harap kita jangan bertindak seperti kacang lupakan kulit.
Tolak ansur yang berjalan selama ini tidak ada tolok bandingnya. Saya masih tidak lupa, ketika segelintir pertubuhan Cina mahu mendirikan tugu Tentera Rakyat Malaya Anti-Jepun (MPAJA) di Taman Peringatan Nilai, sebagai memperingati pejuang-pejuang Cina yang gugur menentang jepun ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu 1942-1945. Tugu tersebut telah didirikan atas alasan memperingati mereka yang telah terkorban mempertahankan kemerdekaan Tanah Melayu. Fakta ini salah dan menyeleweng.
Ketika tugu ini sedang didirikan, beberapa pertubuhan Melayu dan juga bukan Melayu yang memahami sejarah (lihat artikel saya dalam Utusan Malaysia 26.12.2006), mahukan fakta sejarah tersebut diperbetulkan dan tugu tersebut tidak dibina. Mereka bukan pejuang kemerdekaan tetapi mereka bersekongkol dengan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menentang Jepun. Ini disebabkan oleh sejarah politik, perang, permusuhan Jepun-China pada tahun 1894, 1895 dan 1937. Jepun dan China saling berperang dan berdendam antara satu sama lain. Penentangan China terhadap Jepun dan penganiayaan Jepun terhadap orang Cina, lebih kepada isu membalas dendam bukannya perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu. MPAJA adalah alat PKM. Justeru, kita lihat apabila Jepun meninggalkan Tanah Melayu, PKM mempunyai cita-cita tinggi untuk memerintah Tanah Melayu.
Memperjuang
Dalam hal ini, tidak timbul langsung isu MPAJA memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Jikapun benar, kenapa MPAJA tidak menentang Malayan Union yang diperkenalkan British selepas Jepun menyerah kalah? Malangnya, hari ini tugu MPAJA telah berdiri megah di Taman Peringatan Nilai dan menjadi pusat penyembahan. Apakah saya membangkitkan isu ini bermakna saya rasis. Adakah yang membina tugu itu tidak rasis?
Adakah kewujudan bandar Cina atau China Town di setiap bandar itu tidak rasis? Pernahkah kita dengar ada Malay Town di negara bertuah ini. Kita ada Kolej/Universiti Tunku Abdul Rahman (MCA), Universiti Terbuka Wawasan (Gerakan), Kolej New Era (Doug Jiao Zong), Asian Institute of Medical Science and Technology (AIMST-MIC) dan bermacam-macam lagi institusi berasaskan kaum. Adakah ia tidak rasis? Siapakah sebenarnya yang rasis? Cuba kaji berapa banyak peruntukan yang diberi oleh kerajaan terhadap universiti kepunyaan MCA, Gerakan dan MIC ini?
la tidak termasuk nama-nama jalan yang ingin diubah kepada nama individu 'tertentu’ dan menggunakan nama jalan pelbagai bahasa atas alasan agar pelancong memahaminya. Perlukah kita mengajar pelancong ini dengan bahasa mereka sendiri? Bukankah pelancong datang ke sini untuk memahami budaya dan bahasa rasmi di sini. Bukankah kita ada satu bahasa iaitu bahasa kebangsaan yang boleh difahami oleh semua kaum, yang perlu didaulatkan. Adakah ini tidak rasis? Ke manakah kita hendak bawa negara Malaysia? Apakah akar Melayu perlu dibuang langsung. Apa pun yang berlaku kita perlu menghormati orang Melayu selaku penduduk asal di negara ini dari segi sejarah.
Manakala orang Melayu juga perlu menghormati orang bukan Melayu. Pendek kata, kita perlu saling hormat-menghormati perlembagaan yang telah dipersetujui secara bersama, walaupun ia nampak lebih menyebelahi orang Melayu. Tetapi hak kita sebagai bukan Melayu tidak diabaikan.
Saya bangkitkan isu kuil dan rumah ibadat kerana itulah hakikat yang sebenar. Saya tidak fikir semua rumah ibadat dibina sendiri, menggunakan wang sendiri mereka. Kebanyakan rumah ibadat kaum-kaum lain dibina di atas tanah kerajaan. Bukan Melayu tidak boleh membandingkan agama mereka dengan Islam, kerana terdapat peruntukan istimewa kedudukan Islam dalam perlembagaan. Perkara ini telah dipersetujui secara bersama ketika perlembagaan digubal. Justeru, keistimewaan agama Islam perlu dihormati. sudah pasti dalam hal ini hak bukan Islam tidak terabai kerana Islam menghormati hak agama-agama lain.
Begitu juga dengan DEB. Berapa ramai orang bukan Melayu mendapat habuan daripada kejayaan orang Melayu dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB)? Sila baca buku yang ditulis oleh Tan Teong Jin, Ho Wah Foon dan Tan joo Lan dalam bukunya The Chinese Malaysian Contribution. Mereka melihat bagaimana orang Cina mendapat habuan apabila orang Melayu turut berjaya. jika orang Melayu berjaya melalui DEB, sebahagian besar pengeluar adalah orang Cina. Ini bermakna, bila orang Melayu berjaya, orang Cina dapat percikan dan kejayaan sama. Adakah kejayaan Cina disebabkan usaha mereka semata-mata. jawapannya tidak, banyak faktor yang menyumbang seperti dasar-dasar kerajaan, kejayaan DEB dan sebagainya. Janganlah anggap apa yang kita ada hari ini semata-mata kerana usaha kita sendiri tanpa melihat bagaimana kejayaan itu dicapai.
Dengan sebab itu, sebelum kenyataan dihamburkan, mereka mesti mengetahui asal-usul sejarah Malaysia terlebih dahulu. Bagaimana identiti sesebuah negara tercapai disebabkan oleh tolak ansur meraikan semua pihak, sedangkan kita tahu Tanah Melayu, boleh terus kekalkan menjadi nama Tanah Melayu. Begitu juga di Singapura, boleh terus kekal menjadi salah sebuah negara Melayu di kepulauan Melayu. Kenapakah sebuah negara Melayu boleh terlepas menjadi negara Cina di kepulauan Melayu? Pernahkah kita terfikir betapa beruntungnya nasib kita berada di sini?
Masyarakat majmuk bukan berlaku secara semula jadi. semua negara bermula dengan satu bangsa. Nama bangsa tersebut, biasanya akan menjadi nama sesebuah negara. itu. Misalnya, Melayu – Tanah Melayu, Cina – China, India – India, Siam –Siam (Thai), Vietnam – Vietnam, Arab – negara-negara Arab, barat – negara-negara kulit putih dan sebagainya. Kemajmukan sesebuah negara berlaku disebabkan oleh penghijrahan. Justeru, kaji sejarah ini. Kenapa ia boleh berlaku sedemikian rupa? Setelah dikaji, bandingkan, siapakah atau negara manakah yang lebih bernasib baik? Orang Melayu tidak ada lagi tempat dituju melainkan di negara-negara kepulauan mereka sendiri, sedangkan orang lain mungkin ada tempat yang hendak dituju.
Bandingkan juga dengan Singapura, sebuah negara Melayu yang jatuh kepada majoriti orang Cina. Adakah nasib Melayu terbela? Adakah kerajaan Singapura mempercayai orang Melayu? Berapa ramai orang Melayu dilantik menjadi menteri dan jawatan-jawatan tinggi dalam tentera, polis, imigresen dan lain-lain? Kerajaan Singapura lebih mempercayai orang India yang majoritinya lebih kecil daripada Melayu? Orang Melayu merempat di bumi sendiri. Adakah kita mahu ia berlaku di Malaysia?
Dalam isu Beng Hock, saya sudah terus terang mengatakan bahawa kematian beliau perlu dibela. Cuma, saya timbulkan janganlah kita mengeluarkan pandangan-pandangan yang boleh mengguris hati orang lain. Orang Melayu tidak hanya ada dalam PKR dan Pas sahaja, Melayu juga dalam UMNO, parti-parti lain dan ada yang tidak menyertai mana-mana parti politik.
Adakah kerana kita berada dalam Pakatan Rakyat (PR), bermakna kita hanya perlu menjaga hati bukan Melayu dalam PR sahaja. Bagaimana dengan yang lain? Saya mengaitkan isu Beng Hock dengan agama, kerana kita adalah masyarakat yang beragama. Mana ada satupun agama yang membenarkan hubungan seks sebelum berkahwin.
Jika adalah orang Islam yang terlibat dalam seks bebas sebelum berkahwin, itu adalah salah individu. Jangan pula agama disalahkan. Agama itu terlalu suci. Kalau tidak faham agama sendiri, belajarlah, jangan jadi jahil. Bila saya bercakap seumpama ini saya dituduh tali barut UMNO. Apakah UMNO terlalu buruk? Apakah UMNO tidak ada jasa langsung terhadap orang Cina atau Melayu yang lain? Adakah kejayaan orang Cina ini hari berlaku dengan secara semula jadi? Apakah UMNO itu terlalu buruk? Memang tidak dinafikan bahawa UMNO ada kelemahan, kerana UMNO itu ditadbirkan oleh manusia. Jika ada penyelewengan dan korupsi dalam UMNO, itu adalah segelintir individu, masih ramai orang UMNO yang baik-baik yang masih boleh dijadikan kawan dan didakwahkan. Adakah kita terlampau baik sehingga tidak boleh ditegur? Janganlah seperti kacang lupakan kulit.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Mingguan Malaysia, Ahad 2 Ogos 2009
SIAPA LEBIH RASIS DAN PRASANGKA?
PENGARANG menerima banyak reaksi berhubung artikel oleh Dr. Mohd. Ridhuan Tee bertajuk Nasib Melayu di bumi Melayu yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia, minggu lalu (26 Julai 2009). Berikut disiarkan salah satu reaksi yang diterima.
PERTAMA sekali saya ingin mengucapkan tahniah di atas keberanian dan keikhlasan Dr. Mohd. Ridhuan Tee menulis mengenai artikel Nasib Melayu di Bumi Melayu.
Jarang ada orang yang mempunyai semangat istiqamah dalam perjuangan Islam seperti Dr. Ridhuan Tee, Saudara Zulkifli Nordin, Tan Sri Harussani Zakaria dan Dr. Maza (sekadar menyebut beberapa nama sahaja) yang sanggup bercakap benar walaupun tahu akan dicaci dan dikeji.
Menitis air mata penuh terharu dan meremang bulu roma saya apabila membaca artikel tersebut, malah saya sangat-sangat berharap agar artikel tersebut dapat membuka mata dan hati masyarakat umum dan para pemimpin terutama pemimpin Melayu yang masih buta dan kemaruk kuasa. Yang sanggup melakukan apa saja asalkan dapat memegang tampuk kuasa walaupun kadangkala terpaksa menjual dan membelakangi akidah, agama serta bangsa. Mereka sanggup menjual agama untuk keuntungan dunia yang sedikit.
Orang Melayu Islam terlalu banyak berkorban sehingga hampir kehilangan segala-galanya. Sebenarnya orang Melayu tidak pernah prejudis terhadap bangsa lain walaupun sering dituduh tidak adil dan rasis.
Kebanyakan orang Melayu mempunyai pegangan kata azimat "nanti apa orang kata" tertanam kukuh di sanubari mereka. Sebab itulah bila orang Melayu nak melakukan apa saja pekerjaan, mereka akan pastikan ia tidak akan mengugat kesejahteraan dan keamanan orang lain.
Tapi pernahkah orang bukan Melayu memikirkan begitu kepada orang Melayu. Orang bukan Melayu hanya akan bersetuju dan menyokong bila sesuatu yang dilakukan membawa keuntungan kepada mereka tetapi akan mencaci, memberontak apabila sesuatu tidak menyebelahi atau menggugat budaya, bahasa, pendidikan, politik dan apa saja mengenai mereka. Kita pernah mendengar dan terbaca berita mengenai orang bukan Melayu dan pemimpin bukan Melayu menghina Islam, memperlekehkan seruan azan, mempertikaikan isu murtad dan hak bidang kuasa mahkamah syariah suatu ketika dahulu. Melayu tidak akan bersatu jika mempunyai sekolah yang pelbagai bahasa pengantarnya. Walaupun pada masa itu orang Melayu menentang kerana Bahasa Inggeris hendak dijadikan bahasa pengantar dan orang bukan Melayu menentang kerana sekolah jenis vernakular akan ditutup tetapi pada hakikatnya laporan pernyataan itu ada asasnya. Jadi mengapa perlu ada lagi sekolah jenis kebangsaan jika kita ingin bersatu di bawah satu bumbung?
Kedua, kepada semua parti politik, jadikan pentas pilihan raya umum akan datang pentas untuk menguji keikhlasan dan sokongan padu rakan sepakatan dengan kita dengan meletakkan beberapa calon Melayu di kawasan majoriti bukan Melayu. Lihat dan uji keikhlasan orang bukan Melayu yang selama ini kita canang telah menyokong kita. Adakah calon Melayu tersebut akan menang seperti kemenangan kebanyakan pemimpin bukan Melayu dikawasan majoriti orang Melayu?
Sesungguhnya orang Melayu Islam tidak pernah prejudis atau rasis terhadap sesiapapun kerana bukan sahaja budaya dan adab Melayu yang membentuk peribadi serta perlakuan orang Melayu sebegitu tetapi kekuatan dan tunjang agama Islam juga yang membentengi segala tindak tanduk orang Melayu agar tidak melampaui batas terhadap orang lain.
• Al-Bukhary, Changkat Jering, Perak.
Mingguan Malaysia, Ahad 2 Ogos 2009
BAHAYA MATLAMAT MENGHALALKAN CARA
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
Sekali lagi artikel saya dalam Mingguan Malaysia mendapat perhatian yang serius daripada akhbar-akhbar Cina seperti China Press, Sin Chew, Nanyang Siang Pau dan beberapa laman web pembangkang. Kali ini mereka mengambil beberapa bahagian tertentu dengan ada tujuan yang tersembunyi dengan menyiarkannya di muka hadapan sebagai berita utama (Nanyang Siang Pau). Beberapa isu dimanipulasi untuk menagih simpati. Terima kasih saya ucapkan. Nasib baik saya tidak melayan panggilan demi panggilan yang ajukan itu. Jika tidak, saya tidak tahu, apa lagi kenyataan saya yang akan diputarbelitkan.
Mereka turut bertanya, adakah saya dipaksa atau diupah oleh Utusan Melayu atau UMNO untuk menulis artikel ini. Saya jawab tidak. Saya sudahpun jawab dalam artikel minggu lepas. Saya tidak pasti mereka faham atau tidak tulisan saya dalam bahasa Melayu. Tulisan dan idea ini datang dari hati naluri seorang rakyat berbangsa Cina kerdil, yang amat ingin melihat umat Islam sedar, di manakah kedudukan kita sebenarnya. Malangnya, hanya kerana artikel saya diterbitkan dalam Mingguan Malaysia, marahnya begitu meluap-luap sehingga emosi menguasai diri. Saya dituduh tali barut UMNO. Inilah mentaliti kelas ketiga yang sukar diubah akibat ketaksuban. Komen-komen ini langsung tidak menunjukkan kematangan dan hanya mempamerkan kebodohan diri sendiri. Inilah golongan tidak bersyukur dan ultra kiasu yang masih tidak sedar diri.
Mereka bertanya lagi, adakah saya perlu meminta maaf kepada keluarga mendiang, saya kata tidak perlu, sama sekali tidak. Jika mereka faham betul-betul bahasa Melayu, saya tidak nampak satu pun para artikel saya berniat jahat kepada keluarga mendiang, kecuali niat jahat sebenar akhbar Cina, DAP dan laman web tersebut yang sengaja memutar-belitkan isu ini menjadi perkauman untuk mencari simpati dan publisiti murahan. Siapakah yang sepatutnya meminta maaf, saya atau akhbar dan laman web rasis ini?
Saya dituduh tidak pandai menulis artikel oleh akhbar Nanyang Siang Pau. Justeru, saya pohon kepada editor Nanyang Siang Pau, sila beri tunjuk ajar. Saya juga mahu tahu betapa pandai akhbar-akhbar Cina ini menulis berita dan artikel dalam menjaga kepentingan semua kaum.
Alhamdulillah, dengan peristiwa dan artikel ini, saya lebih mengenali sifat ultra kiasu bangsa saya sendiri yang selama ini saya kaji. Saya baru sedar betapa hipokritnya segelintir bangsa saya. Mereka tidak pernah bersyukur tetapi teramat takut kalah dan mahu sentiasa menang (kiasu). Fakta dan kebenaran dikelirukan bagi menagih simpati dan agenda politik tersembunyi.
Ini budaya yang telah melingkungi pemikiran mereka walaupun kita sudah merdeka 52 tahun. Pemikiran mereka masih tidak merdeka, masih dikongkong oleh ketaksuban terhadap bangsa. Mereka menuduh UMNO rasis, mereka apa kurangnya. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.
Mereka begitu pandai berpolitik. Mengambil kesempatan di atas kelemahan dan perpecahan Melayu. Jika Melayu Islam bersatu, saya tidak yakin, mereka seberani ini. Keberanian mereka disebabkan ada segelintir orang Melayu bersama mereka. Ini yang menjadikan mereka semakin besar kepala seperti kaduk naik junjung.
Saya rela menjadi tidak popular di kalangan masyarakat saya sendiri, tetapi bangunlah wahai umatku, jangan lagi kita dipermainkan oleh mereka yang licik ini. Lain di luar, lain di dalam. Saya kena bercakap kerana orang Melayu/Islam tidak berani bercakap kerana takut kehilangan kuasa politik. Saya rela dikutuk dicerca dan dihina oleh bangsa sendiri, tetapi saya tidak sanggup melihat Islam merempat di bumi sendiri. Perjuangan kita tidak pernah selesai selagi hayat dikandung badan.
Kepada para pembaca, nilaikanlah idea yang dilontarkan. Jangan hanya kerana artikel ini disiarkan dalam Mingguan Malaysia, kita sudah tidak nampak yang benar, yang mana salah. Saya bukan penulis upahan UMNO atau Mingguan Malaysia. Saya hanya mengatakan yang benar dan tidak ada niat langsung untuk melukakan mana-mana pihak yang hidup mahupun yang telah pergi. Saya bertanggungjawab sepenuhnya apa yang ditulis.
Saya cuma mengingatkan kita agar jangan menjadi seperti kaduk naik junjung. Jagalah hati lain sama terutama hati orang Islam (Melayu) yang banyak bertolak ansur dengan kita. Mereka juga ramai yang menghadapi masalah yang sama seperti apa yang berlaku. Adakah kita mahukan kes ini menjadi precedent, yang akan menghalalkan segala perlakuan sumbang selepas ini?
Sedarkah kita beramai anak luar nikah yang telah lahir daripada hubungan yang tidak sah ini? Apakah kita mahukan ia menjadi budaya hidup kita. Apakah tujuan perkahwinan sebenarnya? Apa tujuan ada akta dan undang-undang undang-undang keluarga, perkahwinan, nikah cerai dan sebagainya diwujudkan? Jika perbuatan sumbang ini hendak dihalalkan maka tidak perlulah ada semua undang-undang dan akta ini? Apakah ini bukan rule of law?
Saya dituduh kerana cuba memasuki unsur-unsur agama dalam isu ini. Tidakkah unsur-unsur agama ini menjadi sebahagian daripada rule of law? Mereka mengatakan bahawa negara ini harus ditadbirkan rule of law. Persoalan saya, adakah undang-undang dan akta ini bukan rule of law. Apa guna kewujudan Jabatan Pendaftaran Negara jika hidup berkeluarga tidak perlu disahkan. Sila rujuk undang-undang Jabatan Pendaftaran Negara, bahagian keluarga, perkahwinan, nikah dan cerai. Sila baca akta nikah dan cerai 1976 dan akta kelahiran dan kematian 1975.
Untuk mengetahui lebih lanjut isu yang dikatakan sensitif ini dan juga rule of law, sila rujuk http://www.malaysianbar.org.my/marriage.html. Bagi mendapatkan makna anak sah taraf dan anak tidak sah taraf, rujuk Undang-undang negara dalam Akta 60, Legitimacy Act 1961, juga akta Jabatan Pendaftaran Negara, http://www.jpn.gov.my/BI/4_2_kelahiran.php.
Lihat juga, http://www.thefreedictionary.com/illegitimate+child. Baca juga Non-Muslim Family Law dalam, http://www.reunite.org/edit/files/Islamic%20Resource/Malaysia%20text.pdf.
Manakala dari segi hak-hak penjagaan anak-anak tidak sah taraf ini pula, sila rujuk http://www.johorebar.org.my/CustodyGuardianship.html. Adakah ini bukan rule of Law. Saya hanya memberikan beberapa pandangan agama yang menjadi rule of law, maka saya akan dituduh kolot dan ekstremis.
Memperjuangkan
Kes yang sama berlaku di Pulau Pinang dan Shah Alam, Selangor baru-baru ini, apabila mereka yang memperjuangkan undang-undang syariah di negeri sendiri, dituduh oleh DAP sebagai pelampau atau ekstremis. Jemaah Islam Malaysia (JIM), sebuah pertubuhan moderat Islam, dituduhkan oleh ahli Parlimen Jelutung DAP, Jeff Ooi sebagai ekstremis atau pelampau. Manakala tindakan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang merampas arak yang dijual di salah sebuah premis perniagaan di Shah Alam, yakni kawasan majoriti umat Islam, dihalang oleh Ronnie Liu, Exco Kerajaan Tempatan Selangor.
Saya masih ingat amanat Tunku Abdul Rahman mengenai pandangannya terhadap Bandaraya Shah Alam. Tunku pernah berpesan agar Shah Alam mesti bebas daripada arak dan kelab malam. Jika orang lain mahu melakukan perbuatan haram ini, mereka boleh pergi ke Kuala Lumpur, minumlah arak dan kunjungilah kelab malam sehingga tidak sedar diri kerana mungkin agama mereka membenarkan. Jika ditakdirkan Buddha dan Nabi Isa hidup hingga ke hari ini, rasa fikir tindakan manusia pelampau DAP sebegini akan dicela dan dikutuk.
Sejak memenangi banyak kerusi dalam PRU 12, DAP ternyata semakin biadab dan kurang ajar kerana turut campurtangan dalam hal-ehwal agama Islam yang menjadi agama persekutuan. Apakah hak parti politik ekstremis ini untuk campur tangan dalam undang-undang syariah negeri dan hal-ehwal Islam? Tidakkah mereka sedar bahawa Malaysia telah diisytihar sebagai sebuah Negara Islam walaupun ditentang hebat oleh mereka sebelum ini?
Tindakan DAP ini teramat-amat menghiris perasaan umat Islam. Saya juga mahu melihat apakah akhbar-akhbar Cina akan memaparkan berita ini di muka hadapan dan mendesak DAP meminta maaf kepada seluruh umat Islam seperti yang dilakukan terhadap artikel yang saya tulis? Kalau artikel yang saya ditulis diapi-apikan setiap hari, perkara yang sama hendaklah dilakukan oleh akhbar ultra kiasu ini, kerana tindakan DAP ini sudah mencabar kesucian dan kedaulatan kedudukan agama Islam yang termaktub dalam perlembagaan. Tindakan DAP ini bukan sahaja tidak sensitif, malahan dilihat cuba menghina dan merendah-rendah martabat agama Islam.
Persoalannya, adakah mereka akan meminta maaf? Apakah Pemuda DAP atau DAPSY akan mengeluarkan kenyataan yang sama seperti mana mereka memaksa saya meminta maaf? Ini yang selalu saya katakan, bila saya menulis perkara menyebelahi Islam Melayu, saya dituduh tidak sensitif dan dipaksa meminta maaf. Adakah DAP begitu sensitif? Inilah yang saya katakan nasib Melayu di bumi Melayu. Bila isu berkaitan bangsa Cina, akhbar-akhbar Cina mensensasikan isu tersebut, bila berkaitan dengan Islam, senyap sepi dan dianggap tidak penting.
Justeru, saya minta parti-parti politik Cina dan akhbar-akhbar Cina mesti memaksa Jeff Ooi dan Ronnie Liu minta maaf secara terbuka kepada umat Islam. Perkara berkaitan dengan Islam tidak boleh dipermain-mainkan. Apatah lagi jika matlamat hendak menghalalkan cara. ISA amat relevan untuk orang seperti ini.
DAP cuba menarik perhatian orang Cina untuk menghalalkan arak yang secara terangan diharamkan oleh Buddha, yang kini telah menjadi budaya hidup mereka, sama seperti hubungan seks luar nikah. Manakala PAS tetap dengan pendirian mengharamkan arak sebagaimana yang disebut dalam al-Quran. PKR belum lagi membuat keputusan kerana cuba memenangi hati kedua belah pihak untuk mengekalkan kedudukan.
Saya ingin mengingatkan PAS supaya berhati-hati dengan DAP dan parti yang sekutu dengannya. Parti DAP sudah terkenal dengan sikap ultra kiasu sejak penubuhannya lagi selepas PAP. Mereka mahu menjadi negara ini negara sekular, tanpa identiti Islam mahupun Melayu. Sebarang percubaan untuk mengislamkan atau memelayukan identiti negara ini akan ditentang habis-habis malah Karpal pernah berkata langkah mayat beliau dulu jika PAS berniat untuk menegakkan Negara Islam.
Saya amat berharap PAS mengkaji balik pakatan mereka dengan puak ekstrem ini. Lebih baik berkawan dan berdakwah dengan UMNO bagi membincangkan agenda memperkasakan Islam dan umat Islam. Biarkan DAP berkawan dengan mereka yang ingin menghalalkan cara. Saya ucapkan tahniah kepada PAS kerana berani bersuara dan mempertahankan yang hak. Ingatlah, selama-lamanya DAP tidak pernah bersetuju dengan Islam.
Sekarang terbukti, kerjasama seperti tidur sebantal, mimpi lain-lain. Lebih malang lagi, mimpi mereka saling bercakaran dan berprasangka. Saya ingin bertanya sekali lagi kepada DAP dan orang Cina keseluruhannya, agama apa yang menghalalkan arak? Apa yang saya belajar daripada tidak Islam dahulunya, sampai memeluk agama Islam, tidak ada satu agamapun yang mengatakan arak itu dibenarkan. Bagaimana matlamat boleh menghalalkan.
DAP perlu diingatkan bahawa mereka tidak akan menang banyak kerusi dalam PRU 12 baru-baru ini, tanpa sokongan orang Melayu. Justeru, jangan seperti kaduk naik junjung. Pernahkah sekali kita mendengar DAP meminta maaf apabila mereka menyinggung perasaan orang lain disebabkan oleh keceluparan dan kebiadaban mereka? Sudah tentu tidak. Tetapi apabila tiba giliran orang lain seperti saya, maka melalaklah mereka meminta kita umat Islam meminta maaf. Begitu juga pendirian parti politik Cina yang lain seperti MCA dan Gerakan.
DAP dan orang Cina perlu ingat, Melayu tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Agama Islam dan Melayu ibarat darah dengan daging. Pendek kata, setiap manusia memerlukan agama, sebab agama itu datang daripada Tuhan. Suka atau tidak kita dengan agama, diakhirkan nanti kita tetap kembali kepada agama. Jika tidak, maka tidak perlulah dilakukan upacara kematian mengikut agama.
Tambahan pula, kematian manusia tidak mengenal usia. Kematian boleh datang secara tiba-tiba, bila-bila masa, tidak kira tua atau muda. Cuma kita diminta bersedia untuk mati. Tujuannya, tidak lain agar bila kita pergi nanti, kita telah membuat segala persediaan secukup, termasuk terhadap mereka yang kita tinggalkan agar tidak menderita. Justeru, kita perlu melakukan yang terbaik sepanjang waktu dan ketika.
Kita selalu berhujah untuk mempertahankan keburukan yang telah dilakukan. Misalnya, apa salahnya jika bersekedudukan sebelum nikah, asalkan kita bertanggungjawab selepas itu. Persoalan saya, bagaimana jika selepas itu, si polan mengambil keputusan tidak mahu mengambil tanggungjawab tersebut atau meninggal teman wanitanya secara tiba-tiba? Ada yang hanya sempat berkahwin 10 hari, kemudian bercerai. Siapakah yang akan menjadi mangsa? Sudah tentu wanita. Justeru, bila ada rule of law, nasib wanita akan sentiasa terbela.
Saya mempunyai beberapa kenalan Cina dan Melayu yang telah terlanjur melakukan seks bebas, kemudian ditinggalkan oleh teman lelakinya. Apa akan terjadi dengan anak luar nikah yang dikandung?
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Mingguan Malaysia, Ahad 9 Ogos 2009
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
SETAHU Awang, kerajaan amat jarang mengguna pakai Akta Hasutan terhadap pihak yang membangkitkan ketegangan kaum dan agama di negara ini.
Pihak berkuasa biasanya memilih kaedah diplomasi dengan menasihati pihak-pihak yang terlibat betapa pentingnya memelihara keharmonian masyarakat kita.
Mungkin, atas toleransi kerajaan itu, ada pihak yang mudah dan berani menimbulkan perkara-perkara yang boleh mencetuskan ketegangan.
Bagi Awang, kenyataan membidas dan menghina penceramah bebas Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah dengan menyifatkan kenyataannya dalam akhbar Awang baru-baru ini berbau perkauman hanya kerana beliau menghuraikan soal anak luar nikah mengikut Islam, adalah satu pandangan yang tidak boleh diterima.
Awang berpendapat orang yang mempersoalkan kupasan itu sebenarnya tidak sensitif kepada ajaran Islam yang diiktiraf sebagai agama rasmi negara ini. Begitu juga dengan kenyataan yang mengaitkan syariah Islam dengan ekstremis dan isu berkaitan rampasan arak di Selangor.
Apakah mulia jika menuduh pihak lain sebagai perkauman sedangkan tindak-tanduk diri sendiri tidak terlepas daripada unsur itu?
Awang – Bertanya.
Utusan Malaysia, 11 Ogos 2009
PENGHINA ISLAM KIAN BERANI
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
SELEPAS Ronnie Liu menerima kemenangan isu arak di Selangor, Jeff Ooi hanya diminta memohon maaf kerana menyamakan individu yang bercita-cita melaksanakan undang-undang-undang syariah sebagai ekstremis, tampil pula Pemuda DAP mengeluarkan kata-kata nista menghina pendakwah Islam, umat Islam dan Islam.
Biar pun laman web yang mengandungi penghinaan melampau terhadap seorang mualaf Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, umat Islam dan agama Islam telah dipadam, namun paparan awal yang sempat dilayari sememangnya keterlaluan dan biadab.
Setiap patah perkataan dan ayat yang disusun oleh penulisnya secara nyata dan amat jelas mencemarkan kesucian Islam. Ridhuan Tee yang juga Pengerusi Persatuan Cina Islam Malaysia dihina sehingga dua keturunan manakala Islam dipijak-pijak.
Jika Salman Rushdie dikutuk dunia Islam kerana Satanic Verses yang menghina Islam sedemikian rupa, apa pula kurangnya tohmahan terbaru yang dilemparkan oleh seorang rakyat Malaysia yang salah satu prinsip Rukun Negara adalah "Kepercayaan kepada Tuhan."
Rakyat Malaysia ini juga telah diikat oleh sumpah setia nenek moyangnya untuk saling menghormati sesama kaum di negara ini apatah lagi kepada bangsa yang menerima mereka umpama saudara untuk berkongsi rezeki di tanah air ini.
Mungkin tidak ramai berpeluang mengikuti 'siri ketiga' penghinaan terhadap Islam apabila penulisnya yang bacul dan penakut memadam laman web http://Sjsandteam.wordpress.com yang sarat dengan penghinaan terhadap Islam dan umatnya. Tidak diketahui mengapa dia bertindak sedemikian - sama ada tersedar apa yang dibuatnya silap atau bacul untuk berhadapan dengan 'serangan' umat Islam sejagat lantaran paparan tulisannya amat jelas menghina Islam.
Saya pasti jika seluruh umat Islam di negara ini dan di dunia malah penganut-penganut agama lain yang diajar supaya menghormati agama lain berkesempatan membaca paparan tersebut, sudah tentu ramai yang membantah dan mendesak supaya si penulis dikenakan tindakan sekeras-kerasnya.
Jika hanya kerana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), umat Islam berani mempertaruhkan diri, sudah tentu kecaman dan penghinaan terhadap Islam dan umatnya mengundang reaksi yang lebih keras sehingga pasti ada sanggup bermandikan darah.
Tidak mustahil juga akan berlaku penentangan besar-besaran sehingga boleh mencetuskan rusuhan agama lantaran tiada agama di dunia ini yang membenarkan, jauh sekali menggalakkan kecaman dan penghinaan ke atas agama lain.
Kesemuanya ini bukan membakar sentimen kemarahan atau menyalakan api kebencian umat Islam tetapi untuk menegaskan bahawa Islam dan umatnya menjalar di muka bumi ini bukan untuk dihina, dikecam jauh sekali menjadi ancaman kepada agama lain.
Bahasa kesat, carutan, tohmahan, penghinaan (namakan apa sahaja) yang terkandung di laman web itu amat keterlaluan dan sama sekali tidak boleh dimaafkan biar pun si penulisnya melutut memohon ampun.
Tidak terguris umat Islam jika agamanya dikatakan ..., tidak terhinakah umat Islam jika mualaf seperti Ridhuan Tee dikatakan bakal mewariskan anak luar nikah yang tidak akan mengetahui susur galur keluarganya kerana nama 'Abdullah' yang digunakannya selepas memeluk Islam.
Mengapa semua ini terjadi. Dalam keadaan semua orang tahu betapa gentingnya isu agama dan kaum di negara ini, makin ramai yang berani menyentuh sensitiviti umat Islam sehingga ke satu peringkat seolah-olah Islam itu merupakan ancaman kepada agama lain.
Adakah kesemuanya ini kerana bangsa-bangsa lain nampak dengan jelas bahawa umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini berada di kedudukan yang amat rapuh dan inilah peluang untuk mereka menunjukkan kuasa?
Atau kerana pemimpin-pemimpin Islam bercakaran sesama sendiri maka ia dijadikan ruang serta peluang untuk penganut agama lain menampilkan kehebatan masing-masing.
Mungkin juga agenda melaga-lagakan pemimpin Islam telah hampir berjaya maka mereka berani bertindak sedemikian rupa. Tidak terfikirkah kita bahawa kedudukan bangsa Melayu dan umat Islam umpama telur di hujung tanduk. Melayu dituduh ekstremis, Melayu dikatakan cauvinis , Melayu juga rasis.
Apa pula gelaran kepada bangsa-bangsa lain yang tidak henti-henti menyakiti Melayu dan paling menyedihkan menghina Islam - agama yang dipersetujui menjadi salah satu tunggak Perlembagaan. Tidakkah pihak berkuasa yang diterajui oleh orang Melayu dan Islam terkesan dengan semua ini. Penghinaan ini mesti ditangani, pendirian kerajaan mengenainya mesti tegas.
Ulama-ulama tanpa mengira mewakili kerajaan atau pun Pas tidak boleh berdiam diri. Penghinaan ini bukan yang pertama, ia bukan juga yang terakhir.
Ridhuan Tee berkata kepada penulis: ''Saya dan seluruh keturunan saya dikecam Cina ultra. Paling sedih mereka turut kecam dan hina Islam."
Adakah kita sebagai umat Islam yang kini berpecah belah kerana perbezaan politik akan terus merelakan agama dan bangsa kita diperlakukan begini?
Utusan Malaysia, 10 Ogos 2009
SIEW FOOK PERLU MINTA MAAF
KUALA LUMPUR 9 Ogos - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin kesal dan mengutuk kenyataan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook yang menyerang peribadi pendakwah Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah secara keterlaluan, biadab dan boleh mencetuskan ketegangan agama.
Sehubungan itu, beliau mendesak Siew Fook meminta maaf kepada Mohd. Ridhuan Tee yang juga Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia dan umat Islam secara umum ekoran kenyataan tersebut.
Selain itu, Zulkifli mahukan penulisan menggunakan bahasa kesat itu ditarik balik serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membatalkan laman web www.sjsandteam.wordpress.com yang menyiarkan kenyataan tersebut.
''Penyiaran yang dibuat menyerang peribadi seorang pendakwah Cina beragama Islam yang sangat dihormati iaitu Dr. Mohd. Ridhuan Tee, ibu bapa, keluarga dan anak- anak beliau dengan bahasa kesat, lucah, biadab dan melampau.
''Kenyataannya juga menghina agama Islam kerana menyifatkan mereka yang memeluk Islam seperti anak haram yang tidak mengenal salasilah keturunan keluarganya. Polis hendaklah menyiasat kenyataan tersebut menurut Akta Hasutan dan Seksyen 298 A Kanun Keseksaan,'' katanya dalam laman blognya zul4kulim.blogspot.com baru-baru ini.
Tambah Zulkifli, apa yang dikesalkan adalah laman web tersebut menyiarkan komen yang menggunakan bahasa kesat, cabul, mencarut dan biadab terhadap Mohd. Ridhuan Tee.
''Antara contoh bahasa yang digunakan adalah 'Siapa anak haram Mohd. Ridhuan ini', 'Ibu bapa awak (Mohd. Ridhuan Tee) akan lebih gembira kini jika mereka mengepam awak ke dalam lubang tandas semasa dilahirkan' dan 'Kalau awak (Mohd. Ridhuan Tee) boleh menjadi Presiden Persatuan Cina Muslim saya tidak tahu apa jenis Cina Muslim yang ada... pencuri, perompak, penjenayah atau penyangak,'' jelas beliau.
Mohd. Ridhuan Tee dalam salah satu rencananya yang disiarkan Mingguan Malaysia mempertikaikan kenyataan beberapa pihak yang mahukan Kementerian Dalam Negeri memberikan status anak yang sah dan bukannya anak luar nikah kepada anak yang dikandung oleh tunang Eng Hock pada masa ini.
Kata Zulkifli, Mohd. Ridhuan Tee berhak untuk menyatakan pendapatnya dan sudah tentu beliau juga tahu adat resam dan budaya masyarakat Cina kerana beliau adalah seorang yang berketurunan Cina.
''Namun, Siew Fook memilih untuk berkonfrontasi dan menyerang Mohd. Ridhuan Tee, seorang tokoh pendakwah Islam dalam tulisannya yang mempertikaikan langkah menghalalkan anak luar nikah yang didakwa kepunyaan mendiang Teoh Beng Hock dan tunangnya.
''Pemuda DAP sepatutnya tidak bertindak menurut emosi dan kelabu dengan isu di hadapan kita.
''Dalam isu kematian Beng Hock kita semua bersetuju satu siasatan telus dan adil dibuat untuk mencari sebab kematiannya. Tetapi isu hubungan seks sebelum berkahwin dan mengandungkan tunangnya, itu satu isu lain,'' katanya.
Zulkifli turut mempersoalkan apakah DAP tidak boleh menerima perbezaan pendapat.
Utusan Malaysia, 10 Ogos 2009
SIEW FOOK WAJAR DIKENAKAN ISA
Oleh RADHUAN HUSSAIN dan ANDIKA WAHAB
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil tindakan segera terhadap Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook yang menghina Islam seperti yang disiar dalam laman blognya.
Itu antara reaksi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu ketika mengulas tindakan Ahli Parlimen Rasah tersebut yang disifatkan sebagai keterlaluan.
Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, KDN perlu menyiasat perkara tersebut dan mengenakan tindakan tegas termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap Siew Fook.
Beliau berkata, tindakan tegas itu perlu kerana pemimpin DAP itu telah menimbulkan rasa marah di kalangan umat Islam dengan kenyataannya dalam laman blog berkenaan yang memaki hamun agama Islam.
Katanya, tindakan Siew Fook memaki hamun agama Islam sebagai reaksi kepada kenyataan Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah sebenarnya jelas mencabar undang-undang sedia ada di Malaysia.
"Kalau perlu, dia dikenakan ISA, ia bukan saja kerana menyentuh agama malah juga menggugat keamanan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Syed Anuar mengulas kenyataan Siew Fook berhubung komen Ridhuan yang menentang menghalalkan 'anak luar nikah' mendiang Teoh Beng Hock.
Syed Anuar seterusnya berkata, pihaknya kesal dengan keceluparan DAP yang jelas menghina Islam malah bertindak menyerang Ridhuan secara peribadi.
Sementara itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, sikap Siew Fook yang disifatkan sebagai 'kurang ajar' itu perlu diberi perhatian oleh KDN.
Katanya, kenyataan-kenyataan seumpama itu bukan sahaja memberi gambaran negatif terhadap agama Islam malah mengundang perasaan tidak harmoni dan kacau-bilau.
"Siew Fook perlu segera minta maaf secara terbuka bukan sahaja kepada Ridhuan malah kepada seluruh umat Islam di negara ini.
"Dia telah memburuk-burukkan agama Islam dengan pelbagai tohmahan, gambaran negatif dan provokasi sehingga menconteng arang terhadap seluruh penganut agama Islam di seluruh negara," katanya.
Menurutnya, sebagai seorang wakil rakyat, Siew Fook perlu menunjukkan contoh terbaik kepada pengikutnya dan bukan mengeluarkan kenyataan-kenyataan kesat dan memaki hamun.
"Itu adalah tindak tanduk seorang yang tidak berpelajaran, bertamadun dan tidak layak untuk bergelar wakil rakyat," katanya.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, Siew Fook perlu dikenakan tindakan tegas kerana telah mencemar nama baik dan kemuliaan agama Islam yang dianuti penduduk majoriti negara ini.
Katanya, jika tindakan ISA tidak dapat dikenakan ke atas Siew Fook sekalipun, dia tetap tidak boleh lari daripada tindakannya yang telah mencetus keadaan kurang senang di kalangan kaum Melayu dan Islam.
"Jika ISA tidak boleh diambil, kita masih mempunyai beberapa akta seperti Akta Hasutan yang boleh mengheret beliau ke muka pengadilan.
"Kerajaan tidak lagi boleh mengambil pendekatan berlembut memandangkan beberapa tindakan di kalangan pemimpin pakatan pembangkang ini sudah melampaui batas-batas kesabaran kaum Melayu dan Islam di negara ini," tegasnya.
Utusan Malaysia, 11 Ogos 2009
SIASAT PIHAK HINA ISLAM
Oleh HERMAN HAMID
herman@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pihak berkuasa menyiasat segera kenyataan berbentuk penghinaan terhadap agama Islam seperti yang disiarkan di sebuah laman blog baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata, jika didapati ada asas, pihak terlibat boleh didakwa kerana melakukan kesalahan hasutan memandangkan kenyataan sedemikian nyata membangkitkan ketegangan di antara kaum.
“Apa-apa pun kita ada undang-undang dan salah satu undang-undang itu adalah (Akta) Hasutan, dan hasutan ini bukan saja menghala kepada Islam tapi untuk semua agama dan kaum dalam negara kita.
“Kalau kita menghina sesiapa dan penghinaan itu boleh menyebabkan ketegangan maka tindakan boleh diambil di sisi undang-undang hasutan.
“Ini saya minta pihak berkuasa menyiasat dan sekiranya didapati ada kesalahan yang boleh disabitkan di bawah undang-undang ini maka tindakan perlu diambil terhadap sesiapapun yang menyebabkan perkara yang boleh dikaitkan sebagai perbuatan hasutan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Najib diminta mengulas kenyataan menghina agama Islam oleh pihak tertentu sebagai reaksi terhadap pandangan penceramah bebas, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah berhubung isu anak luar nikah.
Selain kritikan balas oleh Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook yang lebih menjurus kepada serangan peribadi, isu tersebut menjadi semakin hangat apabila wujudnya reaksi melampau dalam laman blog sehingga ke tahap menghina agama Islam.
Berikutan itu pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO dan pembangkang Islam mendesak supaya pihak berkenaan dikenakan tindakan segera kerana ia boleh menimbulkan situasi tegang di kalangan rakyat pelbagai agama di negara ini.
Malah, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin turut mendesak Siew Fook meminta maaf kepada Mohd. Ridhuan Tee yang juga pemimpin Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan umat Islam secara umum ekoran isu tersebut.
Mengulas perkara yang sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan akan memastikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, tindakan tegas perlu kerana perbuatan seumpama itu sudah mencapai tahap yang melampau.
“Ini bukan lagi amaran. Ia jelas salah, cuma kita perlu pastikan siasatan terperinci sebelum tindakan diambil.
“Kita ada cara untuk memastikan tindakan kepada pihak yang melakukannya. Apabila dapat bukti kita akan bertindak,” tegasnya yang ditemui selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
Utusan Malaysia, 11 Ogos 2009
DITUDUH BERSALAH KEPADA NENEK MOYANG
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
SAYA terus dikecam hebat oleh akhbar Cina yang saban hari memanipulasikan tulisan-tulisan saya untuk menagih simpati. Seolah-olah sudah tidak ada berita lain yang ingin disiarkan. Lebih menyedihkan laman-laman web Cina dan bahasa Inggeris turut terikut dengan rentak gendang akhbar rasis ini. Saya dikecam dengan kata-kata yang amat kesat sehingga tidak tergambar masih adakah makhluk seperti ini dalam dunia serba moden.
Saya juga dituduh sebagai pengkhianat bangsa. Saya ingin bertanya, apa makna pengkhianat? Siapakah pengkhianat sebenarnya? pengkhianat ialah mereka yang ingin menghalalkan cara untuk mencapai matlamat jahat dan memenuhi nafsu serakah mereka. Sanggup menghina ajaran agama dan bangsa sendiri dengan mempertahankan keburukan. Menjatuhkan maruah manusia dengan menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Itulah pengkhianat bangsa sebenarnya. Mereka ini amat rendah moralnya di sisi Tuhan Yang Esa.
Saya ingin bertanya kepada pembaca Mingguan Malaysia, wajarkah saya menyaman akhbar-akhbar ini? jika patut, tolong beri tunjuk ajar kepada saya dalam laman blog saya, ridhuantee.blogspot.com, selepas artikel ini disiarkan. Adakah golongan kaduk naik junjung atau pepat di luar rencung di dalam ini, mungkin perlu diberikan pengajaran. Mudah-mudahan selepas itu mereka akan menjadi lebih bertamadun dan bertata susila dalam menulis berita seperti yang terkandung dalam prinsip Rukun Negara.
Saya fikir, tujuan akhbar ini, terutama China Press memburuk-burukkan saya, tidak lain untuk menutup kelemahan mereka. Tidak ketinggalan untuk melindungi kepentingan peribadi orang tertentu dan parti-parti politik tertentu terutamanya DAP, yang baru mula dapat sedikit kuasa, sudah mahu tunjuk belang. Saya mohon Kementerian Dalam Negeri membaca dan menilai berita dan artikel kiasu ini, mereka menyerang peribadi, bukan menyerang hujah, seterusnya menanamkan kebencian orang Cina terhadap saya.
Isu sebenarnya ialah mengenai menghalalkan anak luar nikah atau anak haram. Bila saya bangkitkan daripada perspektif semua agama, adakah itu salah? Saya merujuk kepada semua anak luar nikah dan secara kebetulan peristiwa ini berlaku kepada mendiang. Saya dikecam tidak sensitif kepada keluarga mendiang dan saya dituduh telah melakukan kesalahan besar kepada datuk nenek moyang dan seluruh keturunan saya. Keturunan saya dikatakan sedang berantakan tulang-tulang mereka di dalam kubur kerana melahirkan orang seperti saya.
Saya terima kecaman ini dengan rasa sedih, pilu dan terhina, walaupun terlampau pahit untuk diterima kerana saya juga adalah manusia. Punya hati dan perasaan. Berita jahat dengan gambar saya sengaja disiarkan di muka hadapan oleh akhbar Cina (China Press, Nanyang Siang Pau) agar saya dipulau dan dibenci oleh orang Cina. Persoalan saya, kenapa tidak diterjemahkan artikel saya keseluruhan ke dalam akhbar-akhbar untuk tatapan pembaca-pembaca. Biarlah mereka menilai secara adil. Bukan mengambil sebahagian dan dimanipulasikan. Saya fikir keadaan akan berubah jika orang Cina membaca keseluruhan artikel yang saya tulis dalam Mingguan Malaysia yang tidak ditokok tambah atau diputar belitkan.
Kekuatan
Saya memohon pada Allah SWT untuk memberikan kekuatan kepada saya untuk menghadapi cabaran sebegini. Sebagai seorang insan yang hidup dalam sebuah negara demokrasi, saya tidak dapat menghalang jika mereka ingin menghina dan mengecam hatta meludah ke arah saya, cuma satu perkara saya pohon, jangan sama sekali menghina agama Islam yang saya anuti. Hidup mati saya adalah untuk Islam. Islam terlalu mulia dan suci. Tidak mengapa saya dipandang hina oleh bangsa sendiri, asalkan saya tidak hina di sisi Allah SWT, InsyaAllah.
Saya ingin menegaskan bahawa sebagai penganut agama Islam, saya diajar agar menghormati agama-agama lain. Justeru, tidak pernah sama sekali saya mengecam agama lain walaupun saya telah meninggalkan ajaran atau agama tersebut. Saya selalu menonjolkan kebaikan yang dibawa oleh ajaran agama lain, dengan tujuan kita kembali kepada ajaran agama masing-masing. Tanga agama, siapalah kita hari ini.
Sedarlah, kemuliaan kita pada hari ini adalah kerana agama, termasuk mereka yang berada di dalam China Press. Akhbar China Press ternyata secara sengaja menanamkan kebencian orang Cina terhadap saya. Artikel saya dimanipulasikan dengan niat jahat. Saya tidak pasti sama ada editor mereka faham atau tidak pada bahasa Melayu. Bila saya katakan segelintir daripada orang Cina yakni merujuk kepada DAP yang bersikap ultra kiasu, China Press menterjemahkan sebagai semua orang Cina. Terus terang, saya tidak pernah menafikan sama sekali kebaikan dan sumbangan orang Cina terhadap pembangunan di negara ini.
Cuma, saya ingin mengingatkan akhbar ini agar belajar menterjemah dengan betul. Kita sudah 52 tahun merdeka. Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan perlu difahami dan dijiwai. Jika tidak, kita akan hidup dalam kepompong kiasu. Inilah akibatnya apabila kita dipisah-pisahkan sejak kecil melalui sistem pendidikan berbeza dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dikuatkuasakan. Akibatnya, niat baik kita disalahfahamkan atau mungkin sengaja disalahfahamkan. Akhbar Utusan Melayu dikatakan sebagai lidah rasmi UMNO, apakah China Press dan yang sekutu dengannya adalah lidah rasmi siapa sebenarnya? Inilah perancangan halus yang mesti kita sedari.
Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar akhbar-akhbar perkauman ini diwajibkan menterjemahkan akhbar mereka dalam bahasa Melayu sebagai sisipan. Ini bertujuan supaya orang Melayu juga dapat membaca dan memahami betapa baiknya niat mereka setiap kali melaporkan berita dan menulis artikel, tidak ketinggalan sebagai menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Jangan terlalu asyik menuduh orang lain tidak betul. Adakah kita ini terlampau betul sehingga tidak boleh ditegur?
Berikut saya petik perkara yang saya maksudkan itu.
Alhamdulillah, dengan peristiwa dan artikel ini, saya lebih mengenali sifat ultra kiasu bangsa saya sendiri yang selama ini saya kaji. Saya baru sedar betapa hipokritnya segelintir bangsa saya. Mereka tidak pernah bersyukur tetapi teramat takut kalah dan mahu sentiasa menang (kiasu). Fakta dan kebenaran dikelirukan bagi menagih simpati dan agenda politik tersembunyi (Mingguan Malaysia 9 Ogos 2009).
Apakah wartawan China Press faham apa maksud segelintir? Segelintir bermakna sebahagian kecil, bukan semua. Tetapi China Press terjemahkan kepada semua.
Apakah saya bersalah menegur salah laku yang diharamkan oleh agama lain? Adakah memperkatakan yang benar itu satu dosa? Adakah mereka yang melakukan perbuatan terlarang seperti berzina, tidak berdosa kepada ibubapa dan datuk nenek moyang mereka? Apakah kita mahu menghalalkan semua perlakuan sumbang atas nama demokrasi? Jika begitulah keadaan, tidak perlulah ada undang-undang atau rule of law? Kajilah kemuliaan ajaran agama masing-masing. Ingat, satu jari tuding kepada saya, empat jari lagi kepada diri sendiri.
Penganiayaan
Tidakkah China Press sedar, kadang kala ada kalangan yang mengandung anak luar nikah mengambil jalan singkat dengan menggugurkan kandungan tersebut. Tidak kurang juga yang mengambil keputusan membunuh diri. Ada yang terpaksa berkahwin kerana pasangannya telah termengandung. Jika masih tidak mengandung, mungkin seks bebas dan perzinaan akan terus berjalan. Adakah kita mahu menghalalkan yang haram. Tidakkah ini satu penganiayaan kepada kaum wanita? Bayangkan jika perbuatan ini berlaku kepada adik-beradik perempuan kita.
Justeru, dalam hal ini ajaran agama perlu memainkan peranan yang telah menjadi sebahagian rule of law. Tidakkah sebaik-baiknya kita berkahwin secara sah dahulu, selepas itu baru melakukan hubungan yang sepatutnya antara suami isteri. Bukankah itu yang terbaik? Kenapa kita perlu menganiaya kaum wanita. Saya ingin bertanya, adakah kenyataan saya itu salah? Saya amat ingin mengetahui dan mendengar, adakah seks bebas atau seks luar nikah dibenarkan oleh agama lain? jangan minta pendapat saya.
Yang terjadi telah terjadi. Jadikan ia satu pengajaran. Saya ingin nasihatkan ibubapa supaya menjaga anak-anak mereka baik. Sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa datang. Yang penting, jangan lakukan perkara yang merosakkan, yang dilarang Tuhan, termasuk minum arak, kerana ia turut dilarang oleh semua agama. Takutlah kepada Tuhan, berbanding dengan manusia dan jangan takut dengan bayang-bayang jika kita berada di pihak yang benar.
DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Mingguan Malaysia, Ahad 16 Ogos 2009
ANCAMAN AKHBAR PERKAUMAN KEPADA PERPADUAN
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
POLITIK perkauman di Malaysia, bukan sekadar dapat dilihat dengan kewujudan parti-parti politik berasaskan kaum, tetapi media massa turut sedemikian sifatnya, terutama media cetak seperti yang ditunjukkan oleh akhbar dan majalah Cina. Mereka ini seolah-olah tidak boleh disentuh. Serangan dan kecaman akan dilakukan kepada mereka yang tidak sehaluan untuk mempertahankan tindakan mereka.
Inilah akibatnya apabila kita tidak menguatkuasakan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Lebih malang lagi, kita tidak mengenakan sebarang syarat agar makalah perkauman tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Kesempatan ini dipergunakan dengan seluas-luasnya untuk memperkukuhkan lagi kedudukan mereka. Akhirnya, mereka hidup dalam kepompong kiasu dan perkauman yang amat menebal. Menanamkan kebencian terhadap mereka yang difikirkan sebagai ancaman, seperti nasib yang menimpa saya.
Berita sebegini biasanya mendapat sambutan dan mudah dipercayai oleh pembaca mereka. Terbaru akhbar Nanyang Siang Pau memetik beberapa pendapat orang Cina antara lain mereka menyifatkan saudara Cina Islam cuba mendapat simpati orang Melayu dengan menonjolkan keislaman mereka.
Saya ingin menegaskan saudara Islam Cina tidak perlu berbuat demikian terhadap orang Melayu, kerana sifat agama Islam itu sendiri sudah mengajar orang Melayu untuk menerima sesiapa sahaja yang memeluk Islam, tanpa mengira apa latar belakang bangsanya.
Orang Melayu yang memahami Islam tidaklah seburuk yang disangka. Toleransi mereka amat tinggi. Jika mereka boleh menerima orang Cina yang berhijrah ke alam Melayu sebegitu ramai, sehingga menggugat kedudukan mereka sendiri selaku pribumi, adalah tidak mustahil untuk mereka menerima saudara baru Cina Muslim seperti kami. Cuma saya amat hairan, kenapa sehingga ke hari ini, amat sukar untuk orang Cina menerima Cina Muslim sebagai sebahagian daripada mereka?
Inilah sifat Melayu Islam yang amat saya puji. Mereka tidak seperti sesetengah pihak lain yang ultra kiasu. Saya tidak memerlukan simpati sesiapa untuk menulis sesuatu yang benar. Apatah lagi untuk dibayar oleh UMNO seperti yang didakwa oleh akhbar Cina.
Kemuliaan seseorang ditentukan oleh iman dan takwanya, bukan bangsa dan warna kulit. Inilah kemuliaan agama Islam yang bersifat sejagat dan menentang sebarang tindakan perkauman. Dengan sebab itu, tidak sukar untuk orang Melayu menerima orang lain, berbanding dengan mereka yang hanya hidup dalam kepompong kiasu, terutama akhbar yang suka mengecam dan memburuk-burukkan orang lain.
Jika hujah atau fakta saya salah, mari kita perbetulkan bersama dengan hujah dan fakta yang ilmiah, bukannya mengecam dan menanamkan rasa kebencian. Tindakan sebegini adalah amat tidak profesional.
Sebelum saya pergi lebih jauh, izinkan saya menyelusuri sejarah akhbar perkauman ini serba sedikit. Sebenarnya bilangan akhbar harian Cina lebih banyak daripada akhbar harian berbahasa Melayu di bumi Melayu. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu. Bahasa sendiri selaku bahasa kebangsaan ketinggalan di bumi sendiri. Bahasa orang lain menguasai bidang persuratkhabaran dan media massa, sehingga bahasa kebangsaan dikesampingkan. Lebih malang lagi, rata–rata orang Melayu tidak boleh memahami berita dan laporan akhbar perkauman tersebut. Manakala, akhbar Melayu boleh dikatakan langsung tidak dibaca oleh bukan Melayu.
Jika ditinjau daripada dahulu, laporan akhbar-akhbar ini tidak pernah berubah. Laporannya bersifat perkauman dan kiasu. Sentimen ini selalu dimainkan untuk meraihkan sokongan rakan sebangsa mereka. Dengan cara ini juga, akhbar ini dapat bertahan lama dan meraih keuntungan. Pemikiran mereka tidak pernah berubah, terutama dalam isu-isu ketidakpuasan terhadap dasar-dasar kerajaan yang lebih memihak kepada orang Melayu seperti yang telah termaktub dalam perlembagaan.
Inilah budaya popular yang selalu digunakan untuk menaikkan semangat dan sentimen orang Cina. Fakta ini pernah diakui oleh Penasihat Parti Gerakan, Lim Keng Yaik yang mengatakan akhbar di Malaysia hanya memperjuangkan satu-satu bangsa sahaja. Akhbar Cina dengan sentimen kecinaannya, manakala akhbar Melayu dengan sentimen kemelayuannya. Stail pemberitaan sebegini kata Keng Yaik amat sukar untuk mewujudkan bangsa Malaysia.
Persoalan saya, bolehkah diwujudkan bangsa Malaysia, jika akhbar bahasa lain yang lebih mendominasi akhbar bahasa kebangsaan? Akhbar bahasa Melayu boleh dikatakan langsung tidak dibeli dan dibaca oleh masyarakat bangsa Cina, kecuali oleh mereka yang berada di Sin Chew, Nanyang Siang Pau, China Press dan lain-lain akhbar Cina. Tujuannya tidak lain untuk mencari berita-berita sensasi untuk lebih disensasikan supaya menjadi lebih kiasu.
Walaupun kadang kala akhbar Melayu seperti Utusan Malaysia menyampaikan dan menulis berita-berita berbau perkauman, sekurang-kurangnya mereka berterus-terang. Bahasa akhbar tersebut dapat difahami oleh semua warga Malaysia, termasuk mereka berada dalam sektor persuratkhabaran Cina. Persoalannya, bagaimana dengan akhbar bahasa lain? Apa yang diberitakan, tidak sampai langsung kepada orang Melayu.
Perkauman
Saya yakin, jika orang Melayu faham bahasa Mandarin, mereka akan merasa terkejut dengan laporan akhbar perkauman ini. Maka sudah sewajarnya akhbar itu diwajibkan untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai sisipan untuk difahami oleh semua kaum supaya tidak timbul prasangka. Apatah lagi kedudukan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan perlu dihormati dan dipatuhi.
Menurut A.F. Yasin (1986), sejarah persuratkhabaran bukan Melayu di Tanah Melayu khususnya akhbar berbahasa Cina, Inggeris dan Tamil, dilihat tidak mencerminkan semangat nasional, tetapi lebih mementingkan kelompok sendiri.
Sejak dahulu lagi, akhbar-akhbar ini langsung tidak menghiraukan hal-hal berkaitan Tanah Melayu di negara tempat mereka berlindung, tetapi lebih kepada isu-isu kaumnya sahaja. Akhbar bukan Melayu lebih cenderung kepada pembacanya, dan prasangka atau ‘penyerangan’ kepada bangsa Melayu, diberatkan lagi dengan adanya kecenderungan berkiblat kepada negara asalnya. Akhbar Inggeris berkiblat kepada penjajah dan Eropah, sementara akhbar Cina menjadi medan pertarungan ideologi yang berlaku di Tanah Besar China.
Ketika itu, banyak tenaga penggerak akhbar Cina ini diimport khas dari Hong Kong dan China. Kajian beliau juga menunjukkan, dari segi sejarahnya suara Cina sentiasa kontra dengan suara Melayu. Sejarah awal akhbar Cina bermula pada penghujung abad ke-19 dengan menonjolkan usaha imigran dan pedagang Cina berkaitan berita-berita ekonomi melibatkan perniagaan dan perdagangan. Bermula dengan akhbar The Chinese Monthly Magazine yang diterbitkan pada 6 Ogos 1815.
Pada tahun 1881, lahir akhbar harian Cina yang pertama Lat Pau (1881-1932), mengambil format dan bentuk akhbar Cina di China dan Hong Kong. Lat Pau mempunyai pengaruh yang kuat ke atas orang Cina kerana liputan beritanya membela kepentingan orang Cina dan berita-berita negeri China.
Hayat Lat Pau tidak lama kerana mendapat saingan yang kuat dari Nanyang Siang Pau dan Sin Chew Jit Poh. Antara akhbar lain yang tidak dapat bertahan lama seperti Lat Pau ialah Thien Nan Shih Pao (1898-1905), Jit Shin Pao (1899-1901) dan Theo Lam Jit Poh (1904-1905). Akhbar Cina yang kekal sehingga ke hari ini ialah Sin Chew Jit Poh (15 Januari 1929) dan Nanyang Siang Pau (6 September 1923) dikuasai sepenuhnya oleh ahli perniagaan dan politik Cina.
Manakala akhbar China Press adalah akhbar perkauman Cina yang telah ilhamkan oleh H.S. Lee pada tahun 1 Februari 1946. Akhbar ini pernah diharamkan suatu ketika oleh mahkamah, terutama selepas insiden 13 Mei 1969. Akhbar ini amat berbau perkauman. Untuk makluman, sebenarnya, akhbar inilah yang paling mendapat sambutan dari kalangan masyarakat Cina berbanding akhbar lain kerana keberanian melaporkan sesuatu isu termasuk menyentuh isu-isu sensitif orang Melayu dan Islam. Akhbar ini diterbitkan dua kali sehari. Saya amat hairan, kenapa China Press tidak menggunakan Cina Press.
Apakah niat mereka menggunakan nama China? Saya fikir China Press sahaja yang boleh menjawab akan kiblat mereka.
Sehingga kini, isu-isu perjuangan mereka masih sama, tidak banyak berbeza. Misalnya, hal-hal pendidikan, ekonomi, ketuanan Melayu (pribumi) antara isu-isu yang terus diperdebatkan sehingga kepada kemuncaknya pada tahun 1987. Kesimpulan kajian yang dibuat mereka yang mengkaji sejarah akhbar Cina menunjukkan bahawa akhbar-akhbar berasaskan etnik ini memang tidak lari daripada sentimen perkauman dan kiasu. Mereka kerap ‘menyerang’ orang Melayu dan Islam.
Saya masih ingat ketika akhbar Cina melaporkan berita Perhimpunan Agung UMNO ke-57 (13-17 November 2006). Memang tidak dinafikan, isu-isu perkauman terus dimainkan oleh UMNO. Akhbar-akhbar yang dikuasai oleh orang Cina terus memanipulasikan isu-isu perkauman yang dibincangkan sehingga menimbulkan ketakutan kepada masyarakat Cina. Presiden UMNO ketika itu terpaksa campur tangan dengan memberi amaran kepada beberapa akhbar Cina supaya tidak memainkan sentimen perkauman selepas beberapa perwakilan UMNO membangkitkan isu-isu sensitif yang meresahkan sesetengah kaum bukan Melayu.
Menurutnya, UMNO boleh bercakap tentang agenda Melayu, MCA juga boleh bercakap soal agenda Cina, begitu juga MIC dengan agenda India. Apa yang penting ialah agenda nasional. Persoalan saya, bagaimana agenda nasional boleh sampai ke akar umbi jika kita terus berada dalam kelompok perkauman dan kiasu?
Jelas di sini bahawa persepsi masyarakat Cina menjadi semakin serius apabila media perkauman suka memperbesar-besarkan (mensensasikan) isu-isu popular yang berhubung kait dengan status agama Islam dan hak istimewa bangsa Melayu yang telah termaktub dalam perlembagaan. Isu ini dipergunakan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan akibat dan kesan yang akan berlaku. Sesuatu yang tidak menyebelahi mereka akan diperjuang habis-habisan. Manakala, isu yang menyebelahi mereka disenyapkan begitu sahaja.
Natijahnya, timbullah pelbagai persepsi yang tidak sihat. Persepsi sebeginilah menjadi hubungan kaum semakin renggang.
Mingguan Malaysia, Ahad 23 Ogos 2009
MERDEKAKAN PENDIDIKAN PERKAUMAN
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
Pendidikan adalah merupakan salah satu elemen penting dalam pembentukan sebuah negara bangsa. Bentuk pendidikan yang lahir akan menentukan sama ada agenda nasional dapat dicapai atau tidak. Jika sistem pendidikan berbentuk perkauman, maka perkaumanlah penyudahnya.
Setakat ini, hanya Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia ini yang mempunyai pendidikan pelbagai mengikut kaum atau vernakular. Inilah yang selalu dicanangkan oleh golongan tertentu sebagai salah satu kekuatan Malaysia. Ya, dari satu sudut ia memang satu kekuatan. Tetapi dari sudut yang lain, kita lihat bila ada ura-ura kerajaan untuk menyeragamkan sistem pendidikan berasaskan konsep 1Malaysia, tanpa menafikan hak-hak kaum lain mendapat pendidikan ibunda mereka, serta-merta golongan ini akan membuat laporan polis dan menuduh kerajaan yang bukan-bukan.
Saya amat menyanjungi sikap bumiputera Sabah dan Sarawak selaku pribumi, kerana mereka tidak menuntut sekolah berasaskan kaum. Jika tidak, saya tidak tahu ke manakah hala tuju pendidikan negara?
Ini tolak ansur yang mesti dihargai. Orang Melayu dan bumiputera tidak ada sekolah mereka sendiri. Yang ada ialah sekolah kebangsaan untuk semua. Sistem inilah yang dipraktikkan di seantero dunia. Jika adapun sistem pendidikan perkauman, ia telah lama dihapuskan. Semua bentuk pendidikan diseragamkan demi mencapai matlamat nasional. Contohnya, Thailand, Indonesia dan negara-negara maju yang lain.
Kita perlu berfikir jauh ke hadapan walaupun pahit untuk diterima. Setelah 52 tahun merdeka, sistem pendidikan kita masih belum merdeka dan terbelenggu. Setiap kaum masih leka dalam kepompong sistem pendidikan masing-masing. Orang Melayu masih percaya kepada sistem pendidikan kebangsaan untuk semua, tetapi tetap dengan sistem perkauman, India dengan cara India dan Cina dengan cara Cina. Kehidupan kita sebenarnya semakin jauh dan terasing.
Sebagai permulaan, biarlah saya mulakan dengan kajian yang telah saya lakukan terhadap sistem pendidikan Cina khususnya, selaku majoriti kedua terbesar. Secara umumnya, orang Cina terbahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan dikenali sebagai Hua Ch'iao (orang Cina seberang laut) yang masih berwarga negara China. Satu lagi ialah Ma Hua, menganggap diri mereka sebagai Malayan Chinese, kebanyakan lahir di Tanah Melayu menganggap Tanah Melayu adalah negara mereka.
Wang Gungwu (1970), membahagikan orang Cina Malaysia kepada tiga kumpulan iaitu A, B dan C. Kumpulan A boleh dikategorikan dalam kumpulan minoriti berbanding dengan kumpulan lain. Mereka masih mengekalkan hubungan dengan politik di China, sama ada secara langsung atau tidak, serta masih mengambil berat akan masa depan negara China. Kumpulan ini tidak sedominan kumpulan B dan C.
Kumpulan B pula terdiri dari kalangan yang keras kepala. Majoriti bersikap realistik dan yang secara tidak langsung mengambil berat soal politik perniagaan dan pertubuhan komuniti. Kebanyakan mereka amat aktif dalam pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pengaruh mereka amat mendalam dalam komuniti masyarakat Cina, malahan kerap memberikan tekanan kepada kerajaan. Inilah kumpulan ultra kiasu yang selalu saya sebut. Kumpulan ini berada dalam pertubuhan pendidikan (NGO), politik dan persuratkhabaran.
Kumpulan C pula, mereka menunjukkan minat yang mendalam serta aktif dalam politik negara. Wang Gungwu yang meletakkan mereka dalam kategori orang yang tidak pasti tentang identiti mereka sendiri tetapi secara umumnya mempunyai ketaatan kepada negara.
Pendapat Gungwu turut dikongsi oleh Rita Sim dan F.K. Soong, daripada Institute of Strategic Analysis and Policy Research (INSAP). Menurut mereka, terdapat dua jenis kumpulan Cina daripada keseluruhan berjumlah 6.5 juta.
Kumpulan pertama, mewakili 85-90 peratus orang Cina, berlatar belakangkan perkauman Cina, berpegang kepada tiga rukun, menyertai pertubuhan-pertubuhan Cina, bersekolah Cina dan membaca/mendengar/menonton media Cina. Manakala, selebihnya mewakili kumpulan kedua 10-15 peratus, adalah English-speaking group atau kumpulan yang mendapat pendidikan Inggeris, yang tidak mendapat pendidikan Cina. Kebanyakan mereka ada yang beragama Kristian, Cina Peranakan dan menyertai kelab Lions dan Rotary.
Pengkategorian ini sudah cukup untuk membuktikan kajian Yew Yeok Kim (1973, 1982) dan Leo Suryadinata (1989) mengenai sikap mereka yang mendapat pendidikan Cina dan bukan aliran Cina. Pelajar Cina yang mendapat pendidikan Inggeris (termasuk pendidikan kebangsaan) kurang identiti kecinaannya, lebih mudah bergaul dengan kaum lain dan memudahkan proses integrasi nasional. Manakala, mereka yang mendapat pendidikan sekolah Cina adalah bersikap sebaliknya.
Semua bukti ini jelas menunjukkan kedudukan dan polarisasi masyarakat di negara kita akibat sistem pendidikan yang wujud sekian lama. Sistem ini yang telah mewarnai kehidupan kita hari ini. Akibatnya, lahirlah golongan yang meletakkan kepentingan kaum di hadapan berbanding kepentingan nasional. Bahasa kaum sendiri lebih didaulatkan berbanding bahasa kebangsaan.
Kita ambil contoh kedudukan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan. Bahasa Melayu hanya diajar tiga kali seminggu berbanding dengan bahasa Cina yang diajar setiap hari. Ini tidak termasuk matapelajaran lain seperti Matematik, Sains, Kemahiran Hidup, Pendidikan Moral, Sivik dan Kajian Tempatan yang turut diajar dalam bahasa yang sama. Saya ingin mencadangkan Kementerian Pelajaran menambahkan waktu pembelajaran matapelajaran bahasa Melayu, sekurang-kurang sama waktunya dengan mata pelajaran bahasa Cina. Jika tidak, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak ada ertinya.
Saya berkongsi pandangan ini kerana saya mempunyai pengalaman yang agak luas berinteraksi dengan sekolah Cina. Boleh dikatakan kesemua anak saya mendapat pendidikan rendah di sekolah Cina. Secara kebetulan, saya juga adalah Yang Dipertua, Persatuan Ibubapa dan guru (PIBG), di salah sebuah sekolah menengah yang majoriti pelajar-pelajar Cina yang datang dari sekolah rendah Cina (SJKC). Keadaan ini menjadikan saya lebih faham mengenai masalah bangsa saya sendiri, terutama dalam soal penguasaan bahasa Melayu dan pendidikan ibunda.
Melalui pengalaman dan pemerhatian, secara umumnya, tahap penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar-pelajar Cina adalah rendah. Dengan sebab itu, kelas peralihan terpaksa diwujudkan apabila mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah. Bagi mereka yang berada di kelas bukan peralihan pun, itu bukan bermakna penguasaan bahasa Melayunya baik. Bahasa Melayu lebih sekadar hafalan untuk menghadapi peperiksaan berbanding bagi tujuan interaksi dan pemahaman sebagai bahasa kebangsaan. Inilah dilema sistem pendidikan kebangsaan hari ini.
Kadangkala saya amat hairan kenapa setiap kali kerajaan cuba untuk menyeragamkan sistem pendidikan tanpa menafikan hak setiap kaum terhadap pendidikan mereka, mendapat tentangan yang begitu hebat. Mereka mempunyai prasangka bahawa ia adalah agenda kerajaan untuk menghapuskan sekolah Cina secara terancang. Inilah bentuk pemikiran yang telah bertapak setelah 52 tahun kita merdeka.
Kini, kedudukan pendidikan Cina tidak pernah tergugat, malah semakin kuat, termasuk kedudukan kewangannya. Di SJKC tempat anak saya belajar, penyata kewangan berakhir setiap tahun melebihi RM1 juta. Ini menunjukkan bahawa sokongan yang ditunjukkan oleh orang Cina terhadap pendidikan mereka semakin padu dan jitu. Manakala pendidikan kebangsaan semakin tergugat dan terhakis. Walaupun pelbagai usaha cuba dilakukan oleh kerajaan untuk mengadakan sistem satu sekolah dengan tidak mengenepikan hak kaum lain untuk mempelajari bahasa ibunda, namun ia tetap ditolak.
Pada hemat saya, jika inilah bentuk pendidikan yang lahir, kita masih belum merdeka dalam erti kata yang sebenar. Pemikiran kita masih dibelenggu dengan pemikiran perkauman. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-52.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah Kanan, Universiti
Pertahanan Nasional Malaysia
Mingguan Malaysia, 30 Ogos 2009
ISU TIMBUL KERANA KEJAHILAN BERAGAMA
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
KOLUMNIS laman web Centre for Policy Initiatives (CPI), Helen Ang mengkritik dengan hebat beberapa siri artikel yang saya tulis dalam Mingguan Malaysia.
Artikel beliau bertajuk Ridhuan Tee‘s reverse take on racism, telah diposkan kepada beberapa laman web pembangkang dan membuka peluang kepada para pembaca laman web tersebut menyerang, mengecam dan menghentam peribadi saya sekali lagi, tanpa fakta ilmiah untuk berhujah sebagaimana artikel yang ditulis beliau.
Saya sepatutnya tidak mahu melayan mereka yang menulis tanpa membuat kajian dan penyelidikan terperinci seperti mana yang saya lakukan. Ternyata beliau tidak faham apa yang saya tulis. Mungkin disebabkan oleh tahap penguasaan bahasa Melayunya yang agak rendah setelah sekian lama tinggal di negara ini. Sebahagian kecil petikan artikel saya dimanipulasikan seperti yang dilakukan oleh akhbar Cina.
Petikan yang saya ambil daripada kata-kata Almarhum Tunku Abdul Rahman mengenai perlunya bandar raya Shah Alam bebas daripada arak dan kelab malam telah disalah tafsirkan. Helen Ang mengatakan bahawa ia adalah tulisan saya. Saya sungguh kasihan cara beliau berusaha untuk memahami artikel saya dalam bahasa Melayu mudah. Mujurlah saya tidak gunakan bahasa yang bombastik, jika tidak saya tidak tahu apa yang Helen Ang akan tulis.
Beliau juga menuduh saya ‘masuk Melayu’ dan bukan ‘masuk Islam’ agar diterima oleh orang Melayu, dan seterusnya menjadikan saya lebih berjaya. Bagaimanakah saya boleh ‘masuk Melayu’ sedangkan saya seorang Cina. Saya memeluk agama Islam, bukan ‘masuk Melayu’. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya memeluk Islam kerana kemuliaan dan kesucian Islam. Saya tidak pernah mengharap sebarang bantuan setelah memeluk Islam, kerana agama Islam mengajar saya prinsip berdikari. Bangsa seseorang tidak boleh ditukar walaupun ia telah memeluk Islam kerana bangsa itu adalah kejadian Allah SWT. Manakala agama, kita boleh pilih untuk dijadikan pegangan hidup seperti yang saya lakukan.
Dalam membahaskan fakta yang saya kemukakan, Helen Ang membandingkan antara Cina Thailand dengan Cina Malaysia. Helen Ang memujikan rakyat Thai kerana dapat menerima Perdana Menteri Thailand kini, Abhisit Vejjajiva berketurunan Cina. Begitu dengan Perdana Menteri sebelum itu seperti Chuan Leekpai dan Thaksin Shinawatra. Helen mempertikaikan kenapa orang Cina tidak boleh menjadi Menteri Besar Perak (DAP). Jawapannya mudah, kerana orang Cina di Thailand sudah tidak serupa Cina. Mereka boleh dikatakan lebih Siam daripada Siam. Persoalannya, adakah itu berlaku di Malaysia?
Ternyata dalam banyak perkara yang diulas, beliau tidak dapat memahami sejarah Tanah Melayu dan sejarah pembentukan Malaysia. Lebih malang lagi beliau tidak dapat memahami roh bagaimana Perlembagaan Persekutuan digubal hasil persetujuan semua kaum, melalui pakatan murni atau lebih dikenali dengan kontrak sosial. Begitu juga Perlembagaan setiap negeri, ada sejarahnya tersendiri. Saya harap kejahilan ini tidak berlaku kepada orang lain agar tidak buta sejarah.
Helen Ang juga perlu mengkaji 7 wasiat Raja-raja Melayu seperti yang disebut oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, yang telah membentuk Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Helen Ang perlu memahami makna yang tersurat dan tersirat dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut. Jangan asyik mempertahankan dan membaca akhbar-akhbar Cina.
Kenapa beliau mempertikaikan kedudukan Menteri Besar Perak yang tidak dilantik dari kalangan DAP? Cuba Helen Ang bandingkan, kenapa Ketua Menteri Pulau Pinang mesti diserahkan kepada Cina? Tidakkah kerusi UMNO lebih banyak daripada kerusi parti-parti politik lain dalam pilihan raya 2004 dan sebelum itu? Kenapa kita tidak menghargai tolak ansur dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh orang Melayu? Sesuatu yang menguntungkan disenyapkan, yang tidak menguntungkan digembar-gemburkan untuk menagih simpati.
Helen Ang juga mempertikaikan fakta yang saya tulis akan bilangan rumah ibadat bukan Islam seperti kuil Hindu, tokong Cina dan gereja Kristian melebihi bilangan surau dan masjid. Di sini saya pamerkan statistik tersebut untuk pengetahuan beliau akan nasib Melayu di bumi Melayu.
Contohnya di Selangor mempunyai penduduk berjumlah 4.8 juta. Daripada jumlah itu orang Melayu mewakili 2.5 juta dengan kapasiti 259 masjid dan 939 surau. orang Cina Buddha berjumlah 1.3 juta mempunyai 1,015 tokong, orang India berjumlah 647,000 dengan 810 kuil berdaftar (bilangan ini belum dicampurkan dengan tokong dan kuil yang tidak berdaftar). Manakala, bilangan gereja Kristian biarlah Helen Ang yang cari untuk menampung jumlah 50,000 penganut Kristian.
Statistik
Berdasarkan kepada statistik ini, jelas kepada kita, setelah dicampur semua rumah ibadat bukan Islam, kedudukan masjid surau sebenarnya jauh ketinggalan. Ini baru perbandingan satu negeri, bayangkan negeri-negeri lain. Adakah nisbah antara bilangan penduduk dengan bilangan rumah ibadat itu adil? Begitu besar bezanya. Sila rujuk Wikipedia, walaupun ia bukanlah sumber yang outentik dalam akademik. Tetapi saya yakin statistik ini tidak jauh bezanya.
Jangan kita bercakap kosong tanpa melakukan penyelidikan. Helen Ang mungkin terkejut bila saya paparkan statistik seluruh negara. Kenapa dalam sebuah negara majoriti Melayu boleh berlaku demikian? Inilah tolak ansur orang Melayu. Hormatilah tolak ansur ini. Jangan terlalu kiasu.
Pada hemat saya, semua perkara ini berlaku disebabkan oleh kejahilan hidup beragama. Apakah isu sebenarnya timbul apabila kita mahu mempertahankan hubungan yang dilarang oleh semua agama, seperti amalan berzina sehingga melahirkan anak luar nikah? Beritahu saya ajaran agama mana yang membenarkan hubungan haram ini?
Bayangkan jika yang perempuan yang dizinai adalah ibu, isteri, adik-beradik perempuan kita sehingga melahirkan anak luar nikah. Apakah kita boleh menerima semua ini sebagai isu moral yang boleh dipertahankan? Kena pada orang lain, tak apa. Bila kena pada diri sendiri baru tahu langit ini tinggi atau rendah?
Justeru, saya amat bersimpati dan amat menghormati tindakan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan badan disiplin MCA yang telah mengambil tindakan yang tepat untuk menggugurkan timbalannya disebabkan salah laku moralnya.
Saya amat yakin keputusan yang diambil, bukanlah suatu perkara yang mudah untuk beliau melakukan tindakan sedemikian. Keputusan yang diambil adalah demi menyelamatkan maruah parti biarpun beliau akan menjadi tidak popular.
Tindakan MCA itu dikira tepat jika ditinjau dari segi undang-undang moral dan ajaran agama. Saya selaku orang Cina menyokong sepenuhnya tindakan tersebut. Inilah nilai-nilai moral yang perlu ada pada setiap pemimpin dan juga rakyat yang dipimpin. Jika pemimpin tidak menunjukkan teladan, siapa lagi? Adakah kita mahu menunggu rakyat menunjukkan teladan? Tidakkah kepimpinan itu melalui teladan?
Seperti yang selalu saya sebut, tidak ada satupun agama atau ajaran di dunia yang menghalalkan perlakuan tidak bermoral seperti berzina atau hubungan seks luar nikah. Apatah lagi sehingga mengandungkan anak luar nikah. Semua perbuatan terkutuk adalah berdosa besar.
Masyarakat kita tidak kira apa juga bangsa dan agamanya, perlu dididik dengan nilai moral tinggi. Agama hendaklah dijadikan panduan hidup. Baru dunia akan aman. Kerana semua agama menyerukan kepada kebaikan. Yang baik tetap baik, yang salah tetap salah. Kita tidak boleh menghalalkan yang haram untuk mencapai matlamat.
Buddha begitu keras sekali mengharamkan zina seperti yang tersebut dalam lima larangannya iaitu jangan membunuh, jangan berzina, jangan berbohong, jangan mencuri dan minum arak. Sila rujuk Sutta Nipata 815, Dhammapada 309-10, Sutta Nipata 123.
Begitu juga larangan dalam agama Kristian, Hindu dan Sikh. Apa tujuan nasihat agama ini? Semuanya mahu memastikan kita menjadi manusia yang mempunyai moral yang tinggi, bermaruah dan sebagainya. Jika Helen Ang beragama Kristian, sila buka Bible, 1 Corinthians 6:18-20 & 1 Corinthians 7:1-2. Adakah Kristian menghalalkan zina? Sudah tentu tidak.
Kalau Helen Ang melihat adat tradisi masyarakat Cina zaman dahulu, hukuman ke atas mereka yang berzina ini amat berat. Penzina-penzina ini akan dimasukkan ke dalam bekas atau raga babi dan dicampakkan ke dalam sungai.
Begitu juga saya ingin menyarankan Helen Ang supaya meluangkan masa meneliti ajaran agama lain seperti agama Hindu dan Sikh mengenai penzinaan. Baca kitab Hindu, Bhagavad Gita1.40-42, zina diharamkan dalam agama Hindu. Perlakuan berzina dianggap sebagai penghinaan kepada undang-undang agama Hindu (Laws of Manu, 9.95, 101). Untuk keterangan lanjut baca New World Encyclopedia. Dalam ajaran Sikh, salah satu daripada lima dosa besar adalah berzina. Sila baca Adi Granth, Dhanasari. Justeru, atas landasan apa kita mahu menghalalkan zina?
Lihat juga pandangan ajaran Konfucianisme, Taoisme, Jainisme, Zoroastrianisme, Shintoisme, Judaisme dan Bahai dalam artikel bertajuk A Comparison of Morality from the religions from Around the World, http://usminc.org/other.html. Larangan berzina amat keras sekali.
Sebenarnya isu-isu moral ini dibahaskan dengan panjang lebar oleh semua agama, apatah lagi agama Islam. Saya tidak perlu sebutkan pandangan agama Islam, sebab sudah terang lagi bersuluh kemuliaan Islam dalam menjaga umatnya. Justeru, jika berlaku juga kepada umat Islam, itu salah orang yang melakukan perbuatan terkutuk itu, bukan agama Islam yang suci murni.
Justeru, dalam menilai antara yang benar dan yang batil, agama perlu dijadikan panduan dan sejarah sebagai pedoman. Percubaan untuk memadamkan fakta agama dan sejarah hanya akan mengundang kerosakan di muka bumi. Saya yakin fakta yang saya kemukakan sengaja diselewengkan disebabkan oleh sikap kiasu.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Mingguan Malaysia, 6 September 2009
MEMPERKASAKAN AGENDA NEGARA BERBANDING AGENDA BANGSA
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
NAMA sesuatu bangsa itu akan menerbitkan nama negara. Ringkasnya, nama negara berasal daripada nama bangsa. Misalnya, bangsa Melayu-Tanah Melayu, bangsa Siam-negara Siam, bangsa Cina-negara China, bangsa India-negara India dan lain-lain. Tidak ada negara yang terbentuk secara semulajadinya berbilang kaum atau bermasyarakat majinuk.
Fakta ini cuba dipertikaikan oleh segolongan tertentu. Mereka mengatakan orang Melayu bukanlah pribumi atau penduduk asal negara ini. Melayu juga kata mereka seperti kaum lain berhijrah dari tempat lain ke alam Melayu. Persoalannya, dari manakah datangnya perkataan kepulauan Melayu dan Tanah Melayu jika tidak didiami oleh orang Melayu?
seperti yang kita sedia maklum, sistem kenegaraan Melayu bermula dengan perkataan "Melayu" atau "Tanah Melayu" itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini. Nama-nama ini terkenal di kalangan negeri-negeri China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis) (Suntharalingam dan Abd Rahman Ismail, 1985).
Ringkasnya, istilah Tanah Melayu, Melayu dan Malaysia dan Malaya adalah jelas merujuk kepada negeri Melayu. Fakta ini diperakui oleh pengkaji-pengkaji timur dan barat yang membuat kajian mengenai alam Melayu. Tanah Melayu dan kepulauan Melayu adalah kepunyaan satu bangsa yang bernama Melayu. Kedatangan penjajah sebenarnya telah mengubah peta politik kepulauan Melayu. Setelah penjajahan berlaku, maka bermulalah episod kemajmukan masyarakat di negara-negara kepulauan Melayu. Jelas di sini Allah SWT menjadikan sesuatu bangsa di tempat-tempat yang berkaitan dengan bangsa tersebut. Allah SWT juga mengurniakan setiap bangsa dengan identitinya yang tersendiri seperti bahasa, budaya dan cara hidup.
Hujah ini untuk meyakinkan kita bahawa memartabatkan bangsa dan identiti tidak salah. Jika tidak, apa ertinya Allah SWT menciptakan sesuatu bangsa dengan perwatakan dan warna kulit yang berbeza-beta di kawasan masing-masing. Tentu ada hikmahnya. Bila berlaku pernghijrahan, mereka boleh saling mengenali dan bercampur antara satu sama lain seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 13.
Berdasarkan ayat ini, sayangkan bangsa itu adalah sesuatu yang normal jika tidak keterlaluan. Ibnu Khaldun mengemukakan konsep assabiyah (ikatan sosial atau kesetiakawanan) yang bersifat positif Ikatan ini memainkan peranan besar dalam menyatupadukan pelbagai kaum dan bangsa seterusnya membentuk kekuatan bagi membina peradaban. Masyarakat yang mempunyai ikatan assabiyah yang kuat sudah tentu berupaya membina kekuatan dan jati diri berbanding mereka yang lemah. Assabiyyah di sini bukanlah membawa makna cauvinisme atau rasisme atau etnosentrisme seperti orang jahiliah sebelum kedatangan Islam.
Kita perlu ingat, orang Melayu beruntung kerana Islam menjadi anutan mereka sejak 600 tahun dahulu. Sebelum itu, ribuan tahun orang Melayu menganut agama Hindu-Buddha. Melayu dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Islam yang mengangkat martabat Melayu hari ini. Tanpa Islam, siapalah orang Melayu di bumi Melayu ini.
Justeru, orang Melayu perlu mengambil iktibar setelah mereka diislamkan. Bermula dengan seorang raja Melaka memeluk Islam, maka boleh dikatakan hampir seluruh orang Melayu mengikuti jejak rajanya. Islam terus berkembang dan berkembang. Namun, kerajaan Melaka tidak dapat bertahan lama. Apabila perpecahan berlaku, ia telah membuka ruang kepada pihak penjajah untuk masuk. Akhirnya Alam Melayu telah terjajah dan dijajah.
Nasionalisme
Kemudian, orang Melayu bangkit kembali. Semangat nasionalisme Melayu Islam telah menyatukan mereka. Seterusnya orang Melayu kembali menjadi kuat. Penjajah berjaya dihalau keluar walaupun ramai juga yang terkorban. Gabungan Melayu Islam memberikan suntikan semangat dalam menjana kekuatan. Itulah yang saya selalu sebut Melayu dan Islam, ibarat darah daging, berasaskan sejarah, malangnya masih ramai yang tidak faharn akan maksud saya. Sebagai orang Cina, adalah wajar saya sayangkan bangsa saya sendiri. Ini dibenarkan dalam Islam. Saya tidak boleh ubah diri menjadi Melayu. Namun, bila saya memberikan sedikit pandangan berbeza atau mengkritik orang Cina, itu bukan bermakna saya tidak sayangkan Cina. Saya dikecam kerana dikatakan tidak menyebelahi bangsa sendiri sebalik menyebelahi bangsa lain. Adakah saya perlu menyembunyikan sesuatu keburukan kerana hendak menjaga nama bangsa? Saya tidak hanya dikecam oleh bangsa saya sendiri yang tidak Islam, tetapi juga dari kalangan Cina Muslim sendiri.
Seorang Cina Muslim yang menggelar dirinya ummataunwasoto di dalam blog saya memberikan komen tidak salah orang Cina mendaulatkan bahasa ibundanya, untuk dirinya dan dalam lingkungan kaumnya, kerana ingin mengekalkan nilai budaya nenek moyang dan identiti keturunan. Persoalannya, bila saya kata salah? Baca artikel saya betul-betul setiap kali disiarkan dalam Mingguan Malaysia. Amat malang sekali jika Cina Muslim pun tidak dapat memahami bahasa Melayu mudah ini.
Saudara ummataunwasoto juga gagal memahami isu kerajaan China menekan etnik Cina Uighur di Xinjiang. Isu sebenar bukanlah isu identiti atau isu bahasa etnik Uighur, kerana mereka tetap orang Cina. Tetapi, ada isu lain yang saudara ummataunwasoto masih belum dapat jawapannya, terutama berkaitan dengan agama Islam yang dianuti Uighur. Mereka yang beragama Islam dituduh sebagai pengganas. Saya harap saudara ummataunwasoto tidak termasuk dalam golongan menerima propaganda ini. Buatlah kajian.
Di mana-mana dunia sekalipun kita lihat apabila Islam menjadi minoriti dalam negara bukan Islam, mereka akan ditindas, dianiaya dan lebih menyedihkan dibunuh. Berbanding dengan orang bukan Islam yang tinggal dalam negara majoriti Islam. Mereka bukan sahaja boleh hidup mewah dan senang-lenang, malahan kekayaan mereka mengatasi kekayaan pribumi itu sendiri. Inilah saya selalu ulangi nasib Melayu di bumi Melayu.
Lanjutan itu juga, bila saya menyokong idea menyeragamkan sistem pendidikan di negara ini, bukan bermakna kita hendak menghapuskan pendidikan kaum lain. Berulang kali saya sebut, kanak-kanak sejak kecil mesti ditempatkan di bawah satu bumbung dengan tidak menafikan hak pendidikan bahasa ibunda. Mereka tidak boleh dipisah-pisahkan seperti yang berlaku sebelum ini sehingga kini. Ini yang menyukarkan proses integrasi nasional. Saya yakin orang yang berkokok ini tidak pernah mengkaji atau menyelidiki perkara ini. Mereka juga tidak bercampur dengan masyarakat atau hidup dalam kepompongnya sahaja. Sertailah NGO-NGO dan PIBG. Anda sudah tentu dapat jawapannya.
Banyak kajian yang dibuat menunjukkan bahawa tahap integrasi masyarakat berbilang kaum di negara ini berada pada tahap yang rapuh. Tidakkah kita merasa malu apabila ada kalangan pemimpin kita atau tokoh-tokoh korporat kita yang ditemubual di kaca televisyen, tahap penguasaan bahasa Melayu mereka amat rendah berbanding mereka bercakap dalam bahasa Inggeris atau bahasa ibunda? Di manakah kedudukan bahasa kebangsaan sebenarnya sebagai agenda utama negara berbanding agenda bangsa?
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Mingguan Malaysia, Ahad 13 September 2009
ORANG MELAYU MUDAH ‘CAIR’ BILA DIPUJI
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
KADANGKALA saya musykil kenapa orang Melayu mudah menjadi `cair' apabila mendengar orang bukan Islam bercakap pasal Islam atau memuji Islam atau memetik satu dua ayat Quran untuk dijadikan hujah sandaran. Misalnya, ucapan beberapa pemimpin pembangkang bukan Islam yang memetik beberapa ayat suci al-Quran dan mahu mengambil pendekatan urus tadbir negeri mengikut cara pemerintahan Umar Abdul Aziz.
Benar, dari satu segi nampak orang bukan Islam cenderung kepada Islam. Tetapi kita perlu ingat adakah mereka ini benar-benar mahu beriman atau percaya kepada al-Quran atau sekadar lakonan semata-mata untuk mengaburi mata orang Melayu Islam? Saya cukup yakin bahawa golongan ini sudah dapat membaca dan memahami psikologi orang Melayu. Mungkin orang Melayu boleh memberikan jawapan apakah mereka sebenarnya sudah memahami psikologi mereka?
Orang Melayu mudah `cair'. Mereka biasanya mudah berasa terpesona dan terpegun bila ada orang lain yang memuji bangsa dan agama mereka. Justeru, mereka akan bermati-matian mempertahankannya tanpa menoleh ke belakang. Mereka akan mendabik berkata ‘tengok orang bukan Islam pun nakkan Islam, sedangkan orang Islam sendiri menolak Islam'.
Lanjutan itu, mereka akan menjaja ke mana sahaja kata-kata ini, bahkan sanggup menolak rakan seagama yang sanggup menghulurkan tangan untuk berbaik-baik. Huluran tangan rakan seagama ini bukan sahaja ditolak mentah-mentah, tetapi dijawab dengan andaian-andaian negatif dan prejudis. Mereka rela bekerjasama dengan orang bukan Islam daripada orang Islam sendiri.
Kita tidak pernah belajar atau mahu belajar dari sejarah, bila berhadapan dengan golongan seperti musang berbulu ayam ini. Pengalaman telah banyak mengajar kita. Mereka ini tidak pernah bersetuju dengan Islam apatah lagi agenda untuk menegakkan negara. Islam dan hukum Islam. Penolakan mereka selama ini amat jelas. Tidakkah kita pernah mendengar kata-kata "Langkah mayat aku dulu jika mahu menegakkan negara. Islam", " Malaysia mesti kekal menjadi negara sekular", "Negara Malaysia bukan kepunyaan orang Melayu", "Melayu adalah juga pendatang" dan berbagai-bagai kenyataan yang menyakitkan.
Tidakkah orang Melayu sedar akan agenda mereka? Apakah kita tidak takut dengan ancaman golongan ini terhadap agama kita? Tidakkah kita terfikir bahawa parti ini amat baik dengan parti yang memerintah negara Singapura yang merupakan pecahannya? Bagaimana suatu hari nanti, mereka berpakat-pakat untuk melemahkan kita?
Tidakkah kita mengambil pengajaran daripada tindak-tanduk Singapura hari ini yang amat mencurigakan. Cukuplah dengan kita telah kehilangan Pulau Batu Putih dan ruang udara kita sentiasa dicerobohi. Itu belum termasuk kolarn takungan air di johor yang dikawal rapi oleh tentera Singapura sehingga kita sendiripun tidak boleh masuk. Tidak ketinggalan, tanah-tanah negara kita yang telah tergadai ke tangan mereka. Pendek kata, Singapura tidak mahu sama sekali berkongsi dengan kita. Mereka amat ultra kiasu. Sesuatu yang menggugat kepentingan mereka akan ditentang habis-habisan seperti isu perjanjian air, merobohkan Tambak Johor dan menggantikannya dengan jambatan bengkok.
Berbalik kepada isu parti pecahan yang memerintah Singapura hari ini, apakah benar-benar mereka ingin atau akan melaksanakan pemerintahan Umar Abdul Aziz apabila mereka berkuasa nanti? Adakah pemerintahan Umar Abdul Aziz benar-benar akan dilaksanakan? Bagaimana dengan nilai-nilai kehidupan beragama yang dilaksanakan oleh Umar Abdul Aziz? Pernahkah golongan ini mempamerkan nilai-nilai agama tersebut?
Saya diserang dan dikecam habis-habisan oleh golongan ini, semata-mata kerana saya mempertahankan larangan berzina dan arak. Bagi mereka itu adalah hak asasi manusia. Bagi mereka hak asasi manusia mesti dipertahankan berbanding dengan hak Tuhan Yang Maha Esa. Adakah ini corak pemerintahan Umar Abdul Aziz?
Kita jangan tertipu dengan golongan ini. Jika mereka benar-benar mahu laksanakan corak pemerintahan Umar Abdul Aziz, sudah lama parti ini akan melantik rakan sekutunya, yang dikatakan memperjuangkan Islam di salah sebuah negeri yang diperintahnya sebagai exco. Ini kerana, rakan sekutunya memang sudah terkenal dengan imej 'bersihnya' seperti kelihatan seolah-olah 'Umar Abdul Aziz'! Tetapi di manakah kedudukan rakan sekutunya itu di negeri tersebut? Pada saya, mereka tidak pernah suka pada dasar Islam yang dibawa rakannya itu. Mereka amat prejudis sesama sendiri walaupun berada dalam satu pakatan. Bermakna, mereka juga prejudis terhadap Islam. Itu amat jelas sekali. Saya tidak perlu mengajar rakan sekutunya itu kerana sudah terang lagi bersuluh. Sikap biadab mereka berkaitan isu arak dan tuduhan mereka terhadap jamaah Islah Malaysia sebagai pelampau agama sudah menunjukkan belang mereka yang sebenar. Banyak lagi contoh lain tentang kebiadabannya terhadap Islam.
Terhakis
Umar Abdul Aziz sentiasa memperkasakan identiti Islam di dalam pemerintahannya. Apakah identiti Islam dipelihara di negeri yang diperintah oleh golongan kiasu ini? Apa yang saya tahu identiti Melayu dan Islam semakin terhakis di negeri yang diperintahnya. Contoh kecil, nama-nama papan tanda, medan selera atau nama bangunan sudah langsung tidak mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Saya tidak menyatakan kerajaan dahulu lebih baik? Tetapi jika kita benar-benar mahu mengikuti Umar Abdul Aziz, sudah tentu kita perlu tunjukkan yang kita lebih baik berbanding sebelumnya. Sebab Umar Abdul Aziz hebat integritinya, tetapi Umar tidak pernah mengenepikan identiti bangsa Arab Islam selaku penduduk asal. Bahasa al-Quran diperkasakan di mana-mana sahaja. Bagaimana pula dengan Malaysia sebagai sebagai sebuah negara yang berasal daripada Tanah Melayu? Adakah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terpelihara?.
Perlu dingatkan bahawa Umar Abdul Aziz tidak mementingkan kekayaan dan kemegahan dan memilih untuk hidup dalam kesederhanaan. Walaupun mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi rakyat, beliau menggalakkan rakyat supaya memilih khalifah yang baru sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan pemerintahannya. Umar juga membahagikan tanah jajahan Umayah kepada rakyat dan amat jarang menerima hadiah kerana takut dirasuah. Beliau juga mendesak kaum keluarganya supaya mendermakan barang kemas kepada perbendaharaan awam.
Umar menolak sikap pemerintah yang selalu melantik pegawainya untuk mengawasi rakyat. Tetapi Umar melantik rakyat untuk mengawasi diri dan kelakuannya. Jika rakyat mendapati beliau melakukan kesalahan, Umar Abdul Aziz meminta dibimbing atau dihalang daripada melakukan kesalahan tersebut.
Saya harap umat Islam tidak merasa ditipu dengan penonjolan pemerintahan Umar Abdul Aziz oleh golongan kiasu ini. Apakah kita masih belum mengenali isi hati dan hati budi mereka setelah 52 tahun merdeka? Adakah kita boleh bekerjasama dengan orang sebegini, bila mana mereka digalakkan memakai songkok ketika pembukaan Parlimen di hadapan sultan, golongan ini menolak mentah-mentah? Apatah lagi untuk memakai baju Melayu?
Tidakkah kita sedar bahawa selama ini, golongan inilah yang paling kuat menentang Islam atau negara. Islam. Lihatlah sejarah penentangan mereka terhadap hukum Islam dan perisytiharan negara Islam oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed suatu ketika dahulu. Perisytiharan negara Islam ketika itu hanya pada nama sahaja, bukan pelaksanaan hukum yang sebenar. Jika benar-benar hukum Islam dilaksanakan, bagaimanakah gelagat mereka agaknya? Persoalannya, adakah corak pemerintahan Umar Abdul Aziz tidak berasaskan Islam? Soalan-soalan ini hanya boleh dijawab oleh golongan kiasu ini?
Rakan sekutu mereka dalam pakatan selalu berhujah, itu pandangan generasi lama atau generasi tua. Generasi baru tidak sebegitu pemikirannya. Setelah mengkaji parti kiasu ini sekian lama, saya tidak nampak ada perbezaan antara generasi baru dan lama. Sama sahaja. Jika perjuangannya adalah Malaysian Malaysia seperti mana yang diperjuangkan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP), sampai bila-bila saya tidak akan percaya.
Justeru, jangan perjudikan masa depan negara demi mencapai kepentingan masa kini. Apa berlaku pertembungan antara kepentingan masa depan dengan masa kini maka kepentingan masa depan mesti diutamakan. Begitu juga dengan kepentingan masa depan dan kepentingan parti atau etnik, maka masa depan negara mesti diutamakan. Sama juga halnya apabila kepentingan agama bertembung dengan kepentingan bangsa, maka agama perlu didahulukan.
Biarkan
Jangan biarkan diri kita dipermainkan atau diperkotak-katikkan. Jangan jadi hamba di bumi sendiri. Tetapi bangunlah, bangunlah mempertahankan yang hak tanpa menafikan hak orang lain. Jika tidak satu hari nanti kita akan menyesal. Ketika itu saya bimbang sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Sebelum ia berlaku marilah kita merapatkan saf dan merenungkan kembali masa depan kita dan Islam.
Janganlah gunakan nama Umar Abdul Aziz sekadar untuk memenangi hati orang Melayu yang mudah `cair'. Orang Melayu hari ini bukannya bodoh. Mereka sudah celik dengan taktik kotor ini. Kembalilah kepada fitrah. Sesungguhnya, hari kemenangan ini menjanjikan kepada kita, yang hak itu tetap hak dan batil itu tetap batil. Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, kembalilah kita menghayati manusia fitrah yang bersih dari dosa dan noda dengan mengkaji kesucian agama Islam sendiri, sebelum `terlebih' mempercayai orang lain. Saya bimbang kita akan. tertipu dengan permainan silap masa ini. Akhirnya kita sendiri yang rugi. Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin, sepanjang membaca tulisan saya di akhbar ini.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Mingguan Malaysia, Ahad 20 September 2009
BAHAYA MUSANG BERBULU AYAM
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
PEPATAH Melayu ada berkata, siapa makan cili dialah yang terasa pedasnya. seperti yang telah dijangka, sememangnya sudah ada orang yang terasa pedasnya. Golongan yang tidak bertamadun ini terus menyerang peribadi. Fakta yang saya kemukakan tidak dibahas. Saya dituduh sebagai munafik. Tulisan saya dituduh seperti racun, sehingga merosakkan kemuliaan sambutan Aidilfitri. Apakah mereka yang menuduh saya itu tidak munafik? Tidakkah menjadi musang berbulu ayam itu lebih munafik daripada munafik? Jika saya dituduh munafik, setidak-tidaknya saya berterus-terang. Berbanding mereka yang pepat di luar, rencong di dalam, ibarat gunting dalam lipatan.
Pepatah Cina ada berkata, kalau berani makan ikan masin, maka beranilah menahan dahaganya. Sebagai seorang ahli akademik dan penulis, saya bertanggungjawab terhadap apa jua yang ditulis. Hanya si pengecut sahaja yang menyerang peribadi. Kepada orang Melayu yang menyertai parti ultra kiasu ini, saya menyeru keluarlah sebelum terlambat. Musang berbulu ayam ini amat licik. Mereka akan mempergunakan kita bagi menghalalkan matlamat yang ingin dicapai.
Perlu diingatkan, golongan ini bijak membaca psikologi dan memainkan sentimen orang Melayu. Sekarang ini mereka sibuk berkempen untuk mendapatkan dan menambah keahlian orang Melayu. Tujuannya tidak lain, untuk memenangi hari orang Melayu, selain memenuhi agenda tersembunyi. Kumpulan ultra kiasu ini mendakwa bahawa mereka ini adalah parti untuk semua kaum, sedangkan semua sedia maklum bahawa parti ini adalah dominasi satu kaum. Bukan Melayu adalah sekadar hiasan sahaja. Amat malang jika ada golongan yang bergelar 'ustaz' turut menyertai mereka suatu hari nanti.
Kemunculan beberapa tokoh Melayu sejak akhir-akhir ini dalam parti mereka ditonjolkan secara berlebihan, bagi membuktikan bahawa mereka bukanlah parti cauvinis seperti yang dituduh selama ini.
Ternyata, lakonan mereka cukup hebat. Bantuan mereka kepada sekolah-sekolah agama dan kehadiran mereka dalam majlis berbuka puasa dan bantuan moreh semasa bulan Ramadan baru-baru ini, sengaja diperbesar-besarkan agar orang Melayu `cair' dengan sandiwara ini.
Wal hal perkara yang ditonjolkan adalah kerja rutin seorang wakil rakyat. Bukannya suatu yang luar biasa. Memang tugas wakil rakyat menjaga kebajikan rakyat. Apa guna istilah ‘wakil rakyat' jika tidak berkhidmat untuk rakyat. Rakyat yang memilih mereka. Justeru, adalah wajar mereka menjaga kebajikan rakyat. Cuma mereka ini agak licik. Pandai mengaburi mata rakyat. Tampil membantu ketika rakyat ditimpa musibah. Menawarkan khidmat ketika seseorang dalam kesempitan. Adakah mereka sebenarnya ikhlas?
Bantuan mereka ini menyebabkan orang Melayu mudah terhutang budi. Kedudukan sebegini menjadikan Melayu menjadi serba salah, ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak. Peluang ini digunakan oleh parti kiasu ini untuk menangguh di air yang keruh.
Perpecahan
Apatah lagi perpecahan politik di kalangan Melayu Islam hari ini telah digunakan kesempatan sepenuhnya oleh kumpulan ultra kiasu ini. Mereka cuba mendapatkan semaksima mileage politik dan mengecam peribadi seseorang yang dianggap mengancam kedudukan mereka.
Kali ini, golongan ultra kiasu ini menyerang peribadi saya dengan mengecam kerjaya saya dan mempertikaikan gaji yang saya terima hasil wang rakyat. Gaji yang saya terima dikatakan hanya membazirkan wang rakyat yang diperolehi daripada pembayar-pembayar cukai.
Untuk makluman, gaji saya tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan gaji wakil rakyat yang mana turut diambil daripada sumber yang sama? Gaji mereka berlipat kali ganda gaji saya. Apakah wakil rakyat itu merasakan bahawa kerja-kerja dan lakonan yang ditunjukkan itu berbaloi dengan gaji yang dibayar? Cerminlah muka sedikit. Jika mereka benar-benar mahu mencontohi peribadi Umar Abdul Aziz, saya akan bersetuju. Tetapi adakah ia berlaku? Janganlah menjadi paku dulang paku serpih, mengata orang, sendiri yang lebih.
Apakah kerja wakil rakyat hanya cukup sekadar membantu dan menghadiri majlis berbuka puasa, memberikan bantuan moreh, merasmikan seminar itu dan ini, projek ini dan projek itu? Kerja wakil rakyat sudah semestinya lebih daripada itu atau lebih daripada orang lain. Bukannya berlagak tak tentu pasal.
Kerja-kerja asasi saya sebagai ahli akademik tidak pernah tergendala di samping memberikan sedikit buah fikiran untuk menyedarkan umat Islam. Kenapa marahnya wakil rakyat itu begitu membuak-buak? Hanya disebabkan oleh akhbar yang menyiarkan artikel ini tidak sehaluan dengan mereka. Saya tidak fakir, saya akan dikecam jika ditakdirkan saya seorang Melayu. Hanya kerana saya sebangsa dengan mereka, dan tidak sehaluan, watak saya cuba dimatikan.
Jika ditakdirkan artikel saya ini disiarkan dalam akhbar mereka dan lantang mengkritik kerajaan, maka sayalah idola mereka. Inilah pemikiran yang ultra kiasu.
Saya ingin sarankan kepada wakil rakyat kiasu ini, jika mahu mengikut pemerintahan Umar Abdul Aziz, kajilah sifat-sifat mulia yang dibawanya. Umar seorang pemimpin yang amat low profile atau tawaduk dan bersikap terbuka, termasuk menerima kritikan rakyat. Rakyat adalah segala-galanya kepada Umar, kerana ia adalah amanah Allah SWT. Kata-kata 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, adalah antara prinsip Umar Abdul Aziz. Persoalannya, kenapa golongan kiasu ini begitu hebat mengkritik gagasan ini?
Umar membantu mereka yang miskin tanpa mengharapkan nama dan publisiti. Umar mengambil pendekatan tangan kanan memberi, sorokkan tangan kiri. Sebahagian harta Umar hampir habis digunakan untuk rakyat. Kejujuran dan ketelusannya luar biasa. Bukannya dengan memaparkan gambar-gambar kosmetik untuk menunjukkan bahawa kita pemimpin untuk semua kaum seperti yang dilakukan oleh wakil rakyat kiasu berkenaan.
Mencanangkan kerja-kerja baik ke seluruh pelosok dan ceruk rantau untuk memenangi hati orang Melayu bukanlah kerja Umar Abdul Aziz. Umat Islam perlu ingat, wakil rakyat tersebut pernah menuduh orang Islam sebagai pelampau atau ekstremis dan mahu menghalalkan arak serta lain-lain yang diharamkan Islam. Pernahkah beliau meminta maaf, walaupun telah didesak melakukannya? jawapannya, tidak, kerana mereka sama sekali tidak akan bersetuju dengan Islam, malah cuba sedaya upaya untuk mencabut identiti ini dari orang Melayu.
Mencari publisiti murahan adalah budaya pandir atau minda orang kelas ketiga. Golongan ini pandai menggunakan kesempatan di kala orang lain sedang lemah. Sebenarnya mereka tidak membuat apa-apa perubahan pun. Tetapi mereka pandai meniru resmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung. Malangnya, segelintir orang Melayu mudah percaya dengan mendakwa parti ultra kiasu ini yang dapat menyelamatkan mereka.
Bersekongkol
Tidak ketinggalan, golongan yang bersekongkol dengan mereka turut mengecam saya, dengan mengatakan bahawa tulisan saya telah menjauhkan orang bukan Islam daripada Islam. Persoalan saya, apakah selama ini orang bukan Islam semakin dekat dengan Islam sebelum tulisan saya disiarkan? Cuba kita renungi sebentar apakah Islam semakin didekati atau dijauhi selepas peristiwa 11 September? Apa yang saya tahu semakin kuat Barat menentang Islam, semakin Islam mendapat sambutan. Justeru, apakah makna dakwah yang sebenar? Saya fikir rakan sekutu parti ultra kiasu yang boleh memberikan jawapan.
Dakwah hendaklah dilihat dalam perspektif yang luas, bukan bertujuan untuk mematikan watak seseorang yang dilihat sebagai ancaman. Bidang kajian saya ialah pengajian strategi, politik dan kerajaan. Saya menulis berasaskan bidang saya dan juga kerjaya saya selaku ahli akademik.
Berdakwah itu bermakna, berkata benar walaupun ia pahit. Bukan setakat berceramah. Jika berdakwah itu sekadar berceramah, saya tidak fikir Umar Abdul Aziz akan menerima jawatan sebagai seorang pentadbir negara atau negarawan. Kenapa Umar Abdul Aziz menerima jawatan politik sebagai negarawan? Sebab, politik itu adalah alat untuk berdakwah. Kuasa digunakan untuk kepentingan rakyat bukan untuk kepentingan peribadi.
Malang sungguh golongan ultra kiasu ini. Mahu mengikut Umar Abdul Aziz, tetapi hanya mengambil secebis cara pemerintahan Umar Abdul Aziz untuk mengaburi mata rakyat.
Saya dinasihati supaya tidak campur tangan dalam urusan mereka, sebab ia bukan urusan saya. Apakah selama ini mereka tidak pernah mencampuri urusan kita? Saya terpaksa campur tangan sebab saya orang Islam. Kerja orang Islam ialah membetulkan kekusutan, bertindak atas dasar amar makruf nahi mungkar bagi menyelamatkan umat Islam.
Jika saya tidak berhak mencampuri urusan mereka, mereka juga tidak berhak mencampuri urusan orang Islam. Persoalannya, cuba kita hitung betapa banyak perkara berkaitan orang Islam yang telah dicampuri oleh golongan ultra kiasu ini. Berapa banyak hati orang Islam yang terguris akibat perbuatan mereka? Pernahkah mereka meminta maaf? Contoh isu-isu berkaitan murtad, mualaf, perebutan jenazah mualaf, isu negara Islam, isu Mahkamah Syariah dan banyak isu lain yang tidak perlu saya sebut lagi. Adakah golongan ultra kiasu ini tidak campur tangan?
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Mingguan Malaysia, Ahad 27 September 2009
UTAMAKAN TUHAN BERBANDING NENEK MOYANG
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
SAYA amat bersimpati kepada seorang pemimpin atau ketua sebuah parti Islam di Selangor yang juga Exco Kerajaan negeri. Lebih malang lagi, exco tersebut terpaksa berhadapan dengan orang dalam parti sendiri, yang meminta beliau meletakkan jawatan. Jika parti ultra kiasu ini mahu mengikuti stail pemerintahan Umar Abdul Abdul Aziz, tindakan exco itu boleh dikira betul. Exco tersebut berhak memberikan kritikan dan mengeluarkan kenyataan mempertikaikan tatacara jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) mengendalikan kes melibatkan pentadbir awam.
Ternyata parti ultra kiasu ini begitu tertutup kepada pandangan dan kritikan yang mana bercanggah dengan gaya urus tadbir khalifah Umar. Dahulu merekalah yang begitu lantang mengkritik. Orang lain semua salah. Sekarang, bila kena batang hidung sendiri, sendiri yang betul, orang lain salah. Jelas sekali, parti ultra kiasu ini tetap tidak mahu mengalah atau mengaku salah, malah mereka masih lagi boleh bersorak gembira kerana ada orang Melayu yang bersekongkol dan mempertahankan mereka.
Untuk makluman pembaca, Umar Abdul, Aziz amat mengalu-alukan perbezaan pendapat. Khalifah bersikap terbuka kepada sesiapapun yang mahu mengkritik kepimpinannya.
Dalam isu ini, exco berkenaan hanya mahukan supaya pegawai kerajaan yang disiasat tidak dimalukan di khalayak.
Sebenarnya inilah gaya kepimpinan Khalifah Umar. Menjatuhkan maruah orang lain di khalayak tidak dibenarkan dalam Islam. sebagai contoh, ketika pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, telah berlaku satu peristiwa seorang yang dituduh menyebarkan berita yang dirasakan boleh membawa kepada fitnah. Lalu orang itu telah dibawa ke hadapan khalifah.
Bagi memastikan berita tersebut, khalifah lalu berkata dengan memetik ayat al-Quran yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang kepada kamu seorang yang fasik membawa suatu berita maka hendaklah kamu menyelidiknya terlebih dahulu, supaya kamu tidak (terburu-buru) membuat satu tindakan ke atas satu-satu kaum di dalam keadaan jahil, maka kamu menjadi menyesal kerana tindakan yang telah kamu lakukan (Al-Hujurat: 6).
Dalam ayat ini merujuk kepada orang fasik, bayangkan diri orang itu munafik atau sekutu dengannya. Mendengar sahaja kata-kata Khalifah Umar, lelaki tersebut memilih untuk menerima maaf daripada khalifah dan tidak meneruskan niatnya untuk menyebarkan berita yang dibawanya itu.
Apa yang ingin saya tonjolkan di sini ialah bagaimana rakyat di bawah pemerintahan khalifah beramal dengan Islam. Ajaran Islam bukan sekadar iman di dalam hati, tetapi diamalkan dalam segala aspek kehidupan. Tujuan khalifah amat murni, agar perkara tersebut tidak membawa kemudaratan di dalam masyarakat dan menimbulkan salah faham. Bayangkan jika yang membuat tindakan itu kalangan musang berbulu ayam yang hanya memperalatkan gaya kepimpinan khalifah Umar untuk membalas dendam ke atas mereka yang tidak disenanginya. Hari ini, kita amat sedih, kerana hanya mengejar pangkat dan kemewahan, menyebabkan umat Islam lupa untuk menjaga hubungan persauclaraan Islam dan hubungan sesama manusia. Rasulullah SAW telah menyebut betapa eratnya hubungan sesama mukminin. Saling cinta mencintai dan berkasih sayang. Adakah perasaan seperti ini masih wujud di kalangan umat Islam? Jika tidak, bayangkan bagaimana kita boleh mempercayai pihak musang berbulu ayam ini? Kita mesti ingat,.pertembungan sesama orang Islam hanya akan melemahkan kita. Walaupun masih ramai orang yang menamakan diri, masing-masing dengan nama Islam dan sangat marah apabila dikatakan kepadanya sebagai lemah iman dan kurang Islamik, tetapi dalam masa yang sama mereka mempermainkan ajaran Islam dan membelakangkan ajaran yang diperjuangkan.
Dosa
Bukan sahaja mereka membawa fitnah yang membawa dosa kepada diri mereka tetapi juga memalukan Islam dan umat Islam. Mereka lebih suka melihat umat Islam jahanam disebabkan sikap ingin membalas dendam sesama sendiri, lantas mempercayai orang lain lebih daripada orang sendiri.
Pada saya, mereka yang ingin mencontoh Khalifah Umar mesti berlaku adil bukannya fasik atau munafik. Umat Islam perlu sedar, kita perlu menjadi contoh kepada umat manusia. Apatah lagi jika mahu mengikuti stail Khalifah Umar. Hendaklah kita malu kepada diri sendiri dan malu kepada Allah SWT sekiranya diri kita sendiri bernama Islam, tetapi tidak beramal dengan ajaran Islam. Ingatlah kata-kata Umar bin Al-Khattab bahawa kita adalah suatu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Jika kita mencari kemuliaan dengan selain daripada cara yang dimuliakan, nescaya Allah SWT akan menghina kita. Sejak dahulu lagi saya tidak percaya kepada golongan ultra kiasu ini dengan slogan yang nampak Islamik.
Saya cukup yakin, bukan mudah untuk exco tersebut menjalankan aktiviti seharian kerana pergerakannya sentiasa akan diawasi oleh golongan ultra kiasu ini dan sekutunya. Lihat contoh terbaru, seorang pemimpin muda dalam pakatan mereka, telah melontarkan satu pandangan agar Ketua Menteri negeri ultra kiasu ini digilirkan. Sebenarnya, perkara ini bukanlah isu baru, sebab ia telah lama yang telah dibangkitkan oleh parti Melayu sebelum itu. Parti kiasu ini menyalahkan rakan sekutunya sebagai gila kuasa. Pada mereka, belum sampai masa dan tidak perlu jawatan Ketua Menteri itu digilirkan. Persoalannya, sampai bila? Tunggu kiamat? Tidakkah kita masih ingat, sebelum ini telah beberapa kali, sebuah parti Melayu Islam membangkitkan isu yang sama dengan alasan mereka mempunyai kerusi majoriti? Adakah permintaan atau pandangan itu dilayan oleh parti sekutu mereka? Jawapannya juga, tidak.
Apa yang boleh kita belajar? Maknanya, mereka ini tidak ada dua atau tiga, tetapi mereka hanya ada SATU. SATU inilah yang menjadi mereka kuat. Sebab SATU ini bersatu mempertahankan hak kebanggaan nenek moyang mereka. Ibarat Islam, Islam hanya ada SATU, kita mesti bersatu mempertahankan yang SATU. Bezanya SATU dalam Islam adalah untuk semua bangsa kerana SATU ini tidak bersifat perkauman tetapi bersifat sejagat. Saya harap kita semua faham apa yang saya maksudkan.
Saya yakin selepas ini saya akan dituduh sekali lagi, tidak dapat memahami golongan ini secara mendalam walaupun saya sebangsa. Saya juga akan dituduh bersalah kepada nenek moyang. Persoalan saya, apa guna nasib keturunan nenek moyang terpelihara, jika maruah agama tergadai atau dipersenda? Mana lebih utama, nenek moyang atau Allah Yang Maha Agung?
Pada mereka mungkin nenek moyang, tetapi pada saya Allah SWT segala-galanya. Oleh kerana nenek moyang dijadikan Allah SWT, maka saya mesti sujud kepada Allah SWT berbanding nenek moyang. Nenek moyang tidak perlu saya sujud, ia tetap terpahat di hati untuk diingati. Keturunan bagi saya sudah tidak penting apabila berlaku pertembungan dengan kepentingan Tuhan yang telah membuka hati ini untuk menerima Islam. Allahhuakbar!
Kepada mereka yang merasakan keturunan lebih penting berbanding Tuhan, maka jagalah keturunan itu baik-baik. Muliakan mereka. Jangan berzina. jauhi hubungan terlarang. Sahkan hubungan suami isteri. Buat yang disuruh, jauhi yang dilarang. Kotakan kata-kata amar makruf nahi mungkar. Barulah keturunan nenek moyang menjadi mulia dan aman di dalam kubur. Jika tidak, nenek moyang kitalah yang akan berontakan kerana kita sebenarnya telah khianat kepada mereka. Janganlah kita berlagak pandai bercakap pasal keturunan dan nenek moyang, jika kita sendiri yang khianat atau menjadi munafik.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Mingguan Malaysia, Ahad 4 Oktober 2009
MENGENALI MUSUH DALAM SELIMUT
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
BIAR saya dan seluruh keturunan dan nenek moyang saya dikutuk tidak mengapa. Saya sudah lali. Hatta kadang kala adik beradik dan saudara mara saya yang tidak ada kena mengena dengan tulisan saya ini turut terasa tempias. Mereka 'diserang' oleh golongan ultra kiasu dengan berbagai-bagai tohmahan. Keturunan nenek moyang saya dikatakan tidak pandai mendidik saya menjadi orang Cina, tidak tahu menjaga keturunan, lebih Melayu daripada Melayu, pengkhianat bangsa dan berbagai tohmahan lagi yang amat pahit untuk diterima.
Saya tidak ada masalah untuk menghadapi dengan golongan ultra kiasu ini kerana saya faham benar perangai mereka sebab kami dari jenis yang sama. Saya berpegang kepada prinsip berani kerana benar, takut kerana salah. Biarpun terpaksa berhadapan dengan orang dalam keluarga sendiri. Tidak mengapa, sebab mereka tidak faham. Apatah lagi untuk memahami Islam sebagai satu cara hidup. Hidup ini bukan semudah yang disangka. Perjuangan mempertahankan kebenaran kadang kala amat pahit. Namun, kepahitan itu akan terubat apabila kita sentiasa yakin bahawa Allah SWT sentiasa bersama-sama orang yang benar. Justeru, sentiasalah meletakkan kepentingan Allah di hadapan berbanding yang lain.
Setelah memeluk Islam, saya belajar dan diajar, apabila berlaku pertembungan antara kepentingan Islam dengan lain-lain kepentingan termasuk kepentingan bangsa, nenek moyang dan sebagainya, maka kepentingan Islam itu mesti diutamakan. Tidak boleh tidak. Sama juga pertembungan antara kepentingan ummah dengan kepentingan diri, maka ummah perlu diutamakan. Sebab kepentingan ummah itu memberi implikasi yang besar terhadap Islam. la adalah hak Allah SWT yang kekal abadi. Sedangkan kepentingan lain hanyalah bersifat sementara kerana kita hanya menumpang sahaja di muka bumi ini.
Dengan sebab itu, saya tidak dapat bersetuju dengan pepatah bangsa saya yang mengatakan harta benda boleh bergolok bergadai, tetapi bahasa, keturunan, identiti dan pusaka nenek moyang mesti dipertahankan, jangan digolok-gadaikan. Mesti dipelihara bermati-matian, tidak ada tolak ansur jika tergugat. Benarkah begitu? Apa yang saya faham, kepentingan diri, keturunan, parti politik, nenek moyang hendaklah diketepikan apabila bertembung dengan kepentingan Allah SWT. Begitu juga hak asasi manusia hendaklah diketepikan apabila bertembung dengan kepentingan Allah SWT.
Pendek kata, apa juga kepentingan, bila mana bertembung dengan kepentingan Allah, maka sepatutnya kita lupakanlah yang lain-lain kerana is tidak kekal, bersifat sementara. Itu bukan bermakna kita terus berpeluk tubuh melihat sahaja apa yang berlaku. Apa guna mulia di dunia, di sisi manusia, tetapi hina di sisi Allah SWT. perkara ini perlu kita fahami, termasuk golongan ultra kiasu itu.
Paling baik biar kita mulia di dunia, mulia di sisi Allah. Tetapi jika tidak ada pilihan, biarlah tidak seberapa mulia di dunia tetapi mulia di sisi Allah. Ini pegangan saya sebagai insan kerdil yang baru menerima Islam. Saya tidak tahu orang lain bagaimana penerimaannya?
Penulisan saya hanya mahu orang Islam sedar bahawa orang lain telah lama terkehadapan dan kuat, sehingga sukar untuk kita kejar. Adakah kita mahu terus ketinggalan? Lihatlah bagaimana orang lain menjaga kepentingan mereka. Mereka telab menggapai awan, sedangkan kita asyik bercakaran dalam semua perkara. Sudahlah kita tidak habis-habis berpecah dalam politik, sekurang-kurangnya kita bersatu dalam perkara lain. Ini tidak, dalam perkara lain pun kita masih dan terus berpecah.
Isu terbaru, berkaitan dengan kes hukuman sebat ke atas saudari Kartika Dewi Shukamo. Saya amat kagum dan menghormati beliau dan keluarganya sendiri, yang telah reda atas hukuman yang dijatuhkan dan memohon hukuman sebat itu dilaksanakan. Persoalan sama ada hukuman itu wajar atau tidak, adalah isu lain. Pokoknya, institusi tertinggi undang-undang telah memutuskan. Hormatilah. Kenapa dan mengapa pula orang Islam sendiri yang tidak kena hukuman atau tidak kena-mengena yang terkinja-kinja? Tidakkah kita sedar, orang lain sedang bersorak gembira kerana mereka tidak perlu bercakap lagi. Kita sudah mewakili mereka.
Kiasu
Mereka yang ultra kiasu ini tidak lagi perlu campur tangan atau mempertikaikan keputusan mahkamah syariah kerana kita sendiri sudah ada orang dalam yang bertindak seperti musuh dalam selimut? Kita sesama sendiri tidak ada kesepakatan dalam isu asas berkaitan agama dan hal ehwal sendiri yang menjadi darah daging, bayangkan bagaimana dengan isu yang lain?
Saya tidak pernah dengar orang bukan Islam menentang keputusan sami-sami Buddha, Hindu atau paderi mereka walaupun tindakan keagamaannya kadangkala agak ekstrim. Misalnya, isu menutup aurat. Bagi mereka yang tidak mahu menutup aurat, eloklah senyap, sahaja. Tidak perlu mempertikaikan mereka yang ingin menutup atau, berubah menjadi baik (bergantung kepada niat). Jangan sindir atau menentang mereka
Saya tidak pernah dengar ada kaum sebangsa saya mempertikaikan pakaian sami Buddha, Hindu atau paderi Kristian yang tidak kurang tutupnya berbanding Islam. Ada sami yang sanggup membotak kepala (sama ada lelaki atau wanita), berjalan kaki tanpa selipar dan lain-lain lagi mengikut ajaran mereka demi menyampaikan mesej agama. Saya lihat orang ini amat dimuliakan apabila berada di khalayak atau datang dari rumah ke rumah. Mereka disambut mesra, sedekah atau sedekah dihulurkan dengan sebanyak mungkin. Kedatangan mereka dikiaskan membawa rezeki dan tuah kepada tuan rumah. Pendek kata, orang bukan Islam amat memuliakan ketua agama mereka, walaupun kelihatan esktrim.
Kenapa kita tidak seperti `tindakan' mereka? Bersatu mempertahankan ajaran nenek moyang. Bersatu dalam senyap walaupun di luar seolah-olah berpecah. Kita hari ini, usahkan bersatu dalam senyap, asyik berpecah luar dan dalam. Sengaja membuka pekung di dada. Berpegang kepada hak asasi manusia atau human rights lebih daripada Hak Allah. Lebih malang lagi, yang baik ditentang, yang mungkar disenyapkan? Mereka yang dikenakan hukuman minum arak ditentang, mereka yang minum arak tidak ditentang. Mereka yang tidak menutup aurat sehingga menampakkan yang tersurat dan tersirat (amat seksi), tidak disuruh tutup, mereka yang sudah tutup, disindir dengan kata-kata `buat apa tutup-tutup'! Lebih hina lagi, apabila terbit kata-kata 'apa guna tutup-tutup kalau hati busuk, perangai yang tutup lebih teruk daripada yang tidak tutup, jadi lebih baik jangan tutup'.
Ingatlah, kita hanya manusia biasa. Tidak semestinya mereka yang cuba beramal dengan suruhan agama, akhlak mereka lebih baik daripada yang tidak beramal, walaupun itulah yang sepatutnya berlaku. Perlu dibezakan antara hak manusia dengan hak Allah. Ada manusia cuba mengikuti ajaran agama, namun di pertengahan jalan mereka diuji, akhirnya terbabas. Ada manusia yang tidak ada keinginan sedikitpun mengikuti ajaran agama atau ajaran Allah, tetapi mereka nampak baik sahaja, seolah-olah yang tidak beramalkan dengan ajaran agama lebih baik daripada yang beramal.
Persoalan saya, apakah ini bermaksud mereka yang tidak beramal itu lebih baik daripada mereka yang cuba beramal? Apakah dek kerana seorang imam atau sami atau paderi, terlibat dalam kes rogol kita boleh mengatakan tidak ada gunanya beramal dengan ajaran Tuhan? Kenapa kita perlu menyalahkan ajaran Tuhan dalam hal ini berbanding diri kita sendiri yang merosakkan ajaran tersebut? Inilah sikap ultra kiasu yang boleh merosak akidah manusia. Mementingkan hak manusia lebih daripada hak Pencipta. Berhujah menegakkan benang yang basah. Memperlihatkan seolah-olah manusia tidak perlu lagi kepada agama kerana menyekat hak asasi manusia.
Jika begitulah keadaannya, tidak perlulah bersusah payah atau beriya-iya hendak membina begitu banyak rumah ibadat di sana sini sehingga dibina di tempat yang tidak sepatutnya. Jika kehadiran Tuhan itu tidak perlu, maka tidak perlulah kita semua beramal. Lebih baik kita ikut kata nafsu diri berasaskan hak asasi. Buatlah apa sahaja yang disukai walaupun dilarang oleh semua ajaran bertuhan seperti, minum arak, berjudi, berkasino, berpeleseran, berzina dan sebagainya. Apakah mungkin mereka yang menentang hukuman ke atas Kartika akan bersetuju dengan kemungkaran ini? Apakah kewujudan agama itu sendiri dilihat sebagai ancaman kebebasan atau menyekat hak asasi manusia?
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Mingguan Malaysia, Ahad 11 Oktober 2009
UNTUNGNYA BERSATU DALAM SENYAP
Dr. Mohd Ridhuan Tee
PERGOLAKAN yang berlaku dalam sebuah parti politik MCA baru-baru ini, jangan dipandang terlalu serius oleh kita semua. Itu adalah perkara yang biasa berlaku dalam politik. Persoalan lebih penting adalah apa yang boleh kita belajar? Saya tidak terlalu bimbang dengan MCA dan Gerakan, kerana sebenarnya kedua parti ini tidaklah sekuat mana di kalangan orang Cina berbanding dengan sebuah lagi parti Cina yang ultra kiasu itu. Dengan sebab itu, saya tidak berapa ambil kisah atas nasib yang menimpa kedua-dua parti komponen BN ini.
Saya akan menjadi lebih teruja jika dapat melihat parti ultra kiasu itu bergolak. Tetapi sehingga ke hari ini parti tersebut jarang benar bergolak. Tetapi parti ini terus menjadi matang dan telah melalui banyak pengalaman berguna. Lebih penting lagi mereka telah dapat membaca dengan rapi akan psikologi orang Melayu. la semakin mendapat perhatian dan kepercayaan, sehingga ramai yang terpedaya. Apatah lagi parti ini amat jarang sekali kalah di kawasan majoriti Cina dalam mana-mana pilihan Raya Umum (PRU) dan pilihan raya kecil. Silap-silap mereka akan menang di kawasan majoriti Melayu suatu hari nanti. Itu adalah tidak mustahil, jika orang Melayu bertindak marahkan nyamuk kelambu dibakar, berbanding mengamalkan carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum jua.
Jika kita membuat sedikit analisa pilihan raya, kebanyakan kerusi yang dimenangi oleh MCA dan Gerakan adalah kerusi yang dipertandingkan di kawasan majoriti Melayu. Jika MCA dan Gerakan bertanding di kawasan majoriti Cina menentang parti ultra kiasu itu, saya yakin, kedua-dua parti ini akan kalah teruk. Contoh, di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan majoriti kawasan bandar. Itulah trend pengundian yang saya harap pembaca dapat faham makna tersurat dan tersirat.
Mungkin ada yang akan bertanya kenapa selama ini parti Gerakan dapat bertahan di Pulau Pinang? jawapannya, lihat sejarah Gerakan dan punca-punca berlaku peristiwa 13 Mei 1969, yakni sebelum menyertai Barisan Nasional. Gerakan menjadi pilihan kerana Gerakan ketika itu begitu lantang dan vokal memperjuangkan nasib bangsa. Tetapi apabila Gerakan dilihat semakin bertolak ansur dengan BN, akhirnya ia ditolak, maka menanglah parti ultra kiasu itu dalam PRU 12. Ringkasnya, semakin ultra kiasu sesebuah parti politik itu, semakin ia mendapat sokongan dan perhatian. Bermakna, parti yang ultra kiasu akan mendapat sokongan padu daripada mereka yang ultra kiasu. Saya tidak menuduh semua orang Cina ultra kiasu. Yang pasti, ultra kiasu ini tetap, menang besar di kawasan majoriti yang diwakilinya.
Saya yakin, selepas ini mungkin parti ultra kiasu tersebut akan meletakkan satu dua orang calon Melayu di kawasan majoriti Cina, bagi membuktikan bahawa mereka adalah parti berbilang kaum. Saya turut yakin calon-calon itu akan menang besar. Namun, itu bukanlah suatu yang menghairankan atau memeranjatkan. Hanya yang kiasu sahaja yang dapat membaca politik kiasu. Jika calon Melayu itu menangpun, calon Melayu tersebut tidak akan boleh berbuat apa-apa, sebab ia tetap, dikuasai oleh mereka yang ultra kiasu. Kewujudan orang Melayu dalam parti tersebut adalah satu permainan wayang kulit yang cuba dipertontonkan untuk mengaburi mata kita.
Kita jangan tertipu dengan permainan silap, mata mereka. Kemunculan beberapa tokoh Melayu dan juga India yang dilantik dalam kepepimpinan parti mereka hanyalah sandiwara untuk membuktikan bahawa mereka tidak chauvinis. Dengan sebab itu, bila ada orang Melayu yang agak berpengaruh menyertai mereka, maka cepat-cepat dilantik sebagai Naib Pengerusi. Mungkin selepas ini, sebagai timbalan pengerusi. Saya masih menunggu apakah orang Melayu akan dilantik sebagai pengerusi parti ultra kiasu suatu hari nanti? Tunggu dan lihat! Apapun, inilah strategi licik mereka yang kita masih terlepas pandang. Justeru, janganlah risau sangat pasal masalah dalaman MCA dan Gerakan. Apa yang penting yang perlu kita lakukan ialah mendedahkan tembelang parti ultra kiasu supaya orang Melayu dan orang Cina lain yang cintakan tanahair ini agar tidak tertipu.
Jika para pembaca tidak percaya apa yang saya katakan, cuba bangkitkan isu Ketua Menteri Pulau Pinang untuk digilirkan di kalangan pelbagai kaum dalam pakatan mereka atau dalam Barisan Nasional? Saya yakin, bukan sahaja parti ultra kiasu ini akan terkinja-kinja, malahan mereka yang tidak berkaitan dengan parti ultra kiasu ini juga akan bersatu bersama parti ultra kiasu ini menentang keputusan tersebut.
Ketua Menteri
Pokoknya, Ketua Menteri Pulau Pinang tidak boleh terlepas kepada kaum lain. pada hemat saya, siapapun yang memerintah Pulau Pinang antara ketiga parti ini adalah tidak penting. Yang penting orang Melayu tidak boleh menjadi Ketua Menteri di sana. Sebarang percubaan dan usaha akan ditentang habis-habisan.
Justeru, saya tidak hairan dengan apa jua krisis yang melanda dalam parti-parti politik bangsa saya. Benar, mereka nampak seolah-olah berpecah. Mereka bertikam lidah sehingga gamat. Tetapi sebenarnya, mereka bersatu dalam senyap. Parti ultra kiasu ini akan lantang mendesak, mengkritik dan menghentam. Tetapi itu bukan hentaman kosong. Siapakah yang bekerjasama secara senyap?
Dua parti komponen ini akan senyap-senyap menyampaikan kepada BN bahawa tuntutan dan desakan ini perlu dipenuhi. Jika tidak, undi akan lari, orang Cina akan marah dan beralih arah. Itulah sebenarnya mesej dalam PRU 12. Inilah yang saya katakan bersatu secara senyap walaupun di luar nampak berpecah.
Begitulah juga beruntungnya MCA dan Gerakan yang dilihat lunak dengan kerajaan. Orang Melayu pula akan memberi sokongan kepada mereka tanpa berbelah bahagi kerana itulah sikap Melayu di bumi Melayu. Akur kepada arahan pimpinan. Sanggup ketepikan calon sebangsa seagama kerana mereka diajar supaya taat kepada pemimpin. Perkara ini telah berlaku sejak zaman feudal lagi, pantang Melayu menderhaka. Konotasi ini ada baik dan buruknya, terpulang kepada kita untuk menilai.
Parti politik Cina amat beruntung kerana di luar, ada yang lantang mengkritik, mendesak dan menuntut, pada mana sama di dalam ada yang bekerja dan memujuk. Tidak kira di mana negeri pun mereka berada, sama di dalam pakatan atau dalam kerajaan. Mereka tetap untung.
Tidak seperti parti politik Melayu, di luar begitu lantang mengkritik, di dalam tidak ada seorang yang memujuk. Sebab parti politik Melayu (UMNO) hanya ada satu dalam kerajaan. UMNO keseorangan dalam kerajaan berhadapan dengan mereka yang lain, yang tidak habis-habis mendesak.
Saya amat faham benar, kenapa kadang kala UMNO ini terpaksa mengalah, kerana UMNO tersepit, ibarat di luah mati bapak, ditelan mati emak. UMNO tidak ada pilihan sebab rakan sebangsa dan seagama tidak bersama mereka. Rakan sebangsa dan seagama yang lain berada di luar. Kerjanya, mencari salah orang, menghentam dan mengkritik, tetapi kurang pandai memujuk. Akhirnya siapa yang rugi? Inilah nasib Melayu di bumi Melayu.
DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH ialah Pensyarah Kanan, Universid Pertahanan Nasional, Malaysia.
Mingguan Malaysia, Ahad 18 Oktober 2009
BELAJARLAH CARA HUA ZONG
SEBAGAI pemimpin sebuah badan sukarela dakwah di negeri Melaka yang banyak bergaul dengan masyarakat Cina, saya faham sangat apa yang dimaksudkan oleh Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah dalam rencananya (Mingguan Malaysia, 18 Oktober 2009), bagaimana orang Cina bersatu dalam senyap.
Di negeri Melaka sendiri ada lebih daripada 200 pertubuhan yang bernaung di bawah Dewan Perhimpunan Cina, Hua Zong. Ini amat mengagumkan kerana tiada pertubuhan dikecualikan untuk menyertainya, sama ada di kalangan parti politik, pertubuhan yang mewakili sektor ekonomi seperti Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan juga pejuang pendidikan Cina, Dong Jiao Zong.
Semua aspek kepentingan orang Cina termasuk politik, ekonomi, sosial dan budaya dapat diketengahkan dan ditangani secara strategik dan saling menyokong.
Kita hanya mendengar desas-desus bahawa dewan perniagaan ACCCIM di peringkat negeri berhajat menarik keanggotaan mereka keluar daripada Hua Zong (Bernama, 17 Ogos 2009), tetapi usaha berterusan orang Cina masih dijalankan untuk menyatukan semula ACCCIM. Ini dilaporkan secara berterusan dalam akhbar Nanyang Siang Pau dan Sin Chew Jit Poh.
Paling mengagumkan ialah apabila penulis diperkenalkan kepada pengerusi Hua Zong, seorang wanita berumur dan lemah lembut yang juga mantan pengetua Sekolah Menengah Perempuan Cina Notre Dame, Melaka.
Mungkinkah oleh kerana terlalu banyak perbezaan pendapat dalam Hua Zong, perlu ada pengerusi yang tidak berimej autokratik untuk menghasilkan permuafakatan terbaik?
Ini amat berbeza dengan imej pemimpin Melayu yang berlumba-lumba menonjolkan dirinyalah yang paling bijak dan berpengaruh.
Semua kenal cogan kata pada lambang negara kita ialah Bersekutu Bertambah Mutu. Ia sudah lama diamalkan masyarakat Cina, mengapa tidak diamalkan dalam masyarakat Melayu?
Secara prinsipnya, sebilangan besar orang Melayu mengalu-alukan usaha terbaru perbincangan di antara parti UMNO dengan Pas.
Mengambil contoh Hua Zong bagaimanapun, mungkinkah lebih berkesan diwujudkan perhimpunan antara semua pertubuhan orang Melayu di mana falsafah politik tidak menjadi isu utama perbincangan?
Apabila semua pemimpin Melayu menghormati satu sama lain tanpa memandang kedudukan dan bersikap inklusif, insya-Allah ia lebih berkesan menjaga kepentingan orang Melayu, umat Islam dan negara Malaysia amnya.
Forum - Utusan Malaysia, 22 Oktober 2009
PERPECAHAN ISLAM YANG DISENGAJAKAN
Dr. Mohd Ridhuan Tee
SAYA dituduh tali barut UMNO dan dibayar berjuta-juta untuk menulis artikel. Oh! Senang sekali untuk jadi kaya. Tulis artikel mengutuk pembangkang atau berbau perkauman, UMNO akan bayar. Mungkin selepas ini, pembaca boleh menyertai saya untuk jadi kaya. Begitulah banyak sekali duit UMNO! Inilah pemikiran ultra kiasu. Mereka tidak boleh diusik langsung.
Saya dicabar kenapa tidak menegur UMNO yang dikatakan mengamalkan rasuah? Untuk makluman semua, sila baca artikel saya dalam Utusan Malaysia (22 Disember 2008). Saya ada menulis bahawa makan rasuah lebih hina daripada makan babi atau lebih baik makan babi daripada makan rasuah. Begitulah hinanya mengambil dan makan rasuah. Kenapa pembangkang tidak menyokong saya ketika itu? Inilah mentaliti kelas ketiga masyarakat kita, bila kena pada orang lain kita suka, bila kena pada diri sendiri, ibarat meludah ke langit. Bersih sangatkah kita? Ingatlah, kita hanya manusia biasa, tidak lari dari salah silap. Saya tidak nafikan bahawa kewujudan pakatan pembangkang penting dalam sistem demokrasi sebagai check and balance.
Cuma satu perkara yang saya pohon, yang baik kata baik dan sokonglah, yang tidak baik, boleh ditegur dengan cara berhikmah. Jangan tolak semua disebabkan tidak sehaluan. Lebih hina lagi, suka menyerang peribadi. Adakah peribadi kita semuanya baik? Ingat saudara, kadangkala kita juga menyimpan pekung di dada. Kita juga buat silap, tetapi kita tidak berani untuk mendedahkannya, dibimbangi terpalit ke muka sendiri. Tepuk dada tanya iman.
Saya mengatakan yang benar, jika hasrat Pas untuk menubuhkan negara Islam dan menjalankan hukumnya, parti ultra kiasu dan sekutunya, bukanlah pakatan yang sesuai. Sebab mereka tidak pernah bersetuju dengan Islam. Parti ultra kiasu itu amat kuat menentang Islam. Takkan tidak nampak lagi. Sementara sekutunya pula sehingga hari ini tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong idea Pas menubuhkan negara Islam. Cubalah Pas bertanya walaupun sekali kepada kepimpinan tertinggi mereka. jawapannya, mereka memang tidak mahu Islam. Agenda peribadi mereka jelas, mahu membalas dendam. Marahkan nyamuk, kelambu dibakar. siapa yang rugi? Orang Islam juga. Adakah orang bukan Islam rugi? Tidak. Mereka tetap untung sama ada dalam BN atau pakatan Rakyat, walaupun berhadapan krisis dalaman parti sendiri.
Justeru, bila saya mencadangkan Pas bekerjasama dan mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO, itu bukan retorik kosong. Pas dan UMNO adalah partidominan umat Islam di negara ini. Arah tuju Melayu Islam bergantung kepada dua parti ini. Bukan parti ultra kiasu dan sekutunya yang baru setahun jagung. Perjuangan mereka ada agenda tersembunyi. Saya minta saudara semua, bacalah bahan-bahan yang terlampau banyak dalam internet. jangan lupa baca juga bersama perjuangan freemason. Saudara tentu akan mendapat gambaran sebenarnya.
Manfaat Pas berkawan dengan UMNO lebih banyak hasil Islamnya berbanding dengan parti ultra kiasu yang terang-terang menolak Islam, termasuk sekutunya. Contoh di negeri Selangor amat jelas, adakah sinar Islam benar-benar tertonjol walaupun ketuanya orang Islam. Fikirkan sendiri.
Saya bukan ahli UMNO, saya tidak mendapat satu sen pun dari UMNO, tetapi saya melihat politik umat Islam amat merugikan. Jika berkawan dengan UMNO, tidak dapat menegakkan Islam, apakah berkawan dengan musuh UMNO, Islam dapat ditegakkan? Tidak juga. jadi, timbangkanlah mana lebih baik antara keduanya. Itu sahaja. Habis cerita.
Membalas dendam
Politik kita lebih kepada untuk membalas dendam. Inilah kelemahan politik Melayu yang amat ketara. Kita sanggup pecah kepala dan pecah segala-galanya semata-mata kerana berbeza pendapat seperti pilihan raga Bagan Pinang baru-baru ini. Orang lain bergaduh juga, tetapi pergaduhan mereka macam adik-beradik. Hari ini nampak bergaduh, esok mereka berbaik-baik. Tak pernah dengan pun sampai pecah kepala. Kenapa kita tidak boleh menjadi sedemikian? Masalah inilah yang menghantui umat Islam hari ini sehingga kita diperkotak-katikkan.
Umat Islam merempat di bumi sendiri. Apakah kita yakin kita boleh bangun selepas ini?
Bandingkan dengan negara China, mereka hanya ada satu Cina. Tidak timbul Taiwan itu keluar daripada Cina. Pada kerajaan China, Taiwan itu adalah Cina. Cina tetap Cina. Taiwan tidak boleh bersekongkol dengan Amerika untuk menghancurkan Cina. Sebab apa? jawapannya, sebab kerajaan China, kenal musuh yang sebenar dan musuh dalam selimut. Sebarang percubaan menghancurkan China, tidak ada kompromi.
China mengambil pendekatan satu Cina dan maruah bangsa lebih penting daripada segala-galanya. Berpegang kepada prinsip yang SATU ini, akhirnya China menjadi hebat. Musuh ketatnya Amerika pun rasa takut, apatah lagi musuh yang cuba menjadi musuh dalam selimut. Tamadun mereka adalah warisan nenek moyang yang tidak boleh dijual beli dan tidak ada kompromi. Begitulah hebatnya pegangan ajaran nenek moyang dan tamadun bangsanya.
Islam tidak pentingkan nenek moyang, sebab kita ada Allah Yang Maha Esa. Sepatutnya kita yang ada Allah lebih hebat daripada mereka yang percaya kepada nenek moyang. Allah yang menjadikan nenek moyang. Kenapakah hari ini manusia yang menyembah Allah, lebih hina daripada mereka yang menyembah nenek moyang?
DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional, Malaysia.
Mingguan Malaysia, 25 Oktober 2009
DESTINASI ROKET BUKAN KE BULAN
Oleh Dr. Ridhuan Tee
SEBAGAI umat Islam kita mesti percaya dan patuh apa jua yang datang daripada Allah SWT, kerana kita adalah makhluk ciptaannya. Namun, pada masa yang sama kita juga perlu tahu realiti politik negara dan masyarakat kita. Bolehkah diwujudkan negara Islam yang melaksanakan hukum Islam jika penduduk negara ini tidak solid atau hampir seratus peratus Islam. Bagaimanakah kita mahu paksa bukan Islam yang hampir 50 peratus menerima hukum Islam? Mungkin kita akan berhujah, hukum Islam adalah untuk orang Islam sahaja. Manakala bukan Islam berhukum mengikut ajaran agama mereka. Persoalannya, pernahkah parti atau mereka ultra kiasu bersetuju dengan idea tersebut? Tidak perlu saya peringatkan lagi jawapan mereka.
Saya amat hairan, kenapa kita terhegeh-hegeh mahu naik roket bersama mereka menuju ke bulan? Sedangkan kita sudah tahu destinasi roket tersebut bukan ke bulan. Saya bimbang mereka yang membawa roket tersebut sudah bersiap sedia dengan payung terjunnya bila mereka tahu roket tersebut tidak boleh dibiarkan sampai ke bulan. Jika begitulah keadaannya, kenapa kita sanggup naik roket tersebut bersama mereka? Kenapa kita tidak tukar sahaja roket tersebut kepada lain pesawat yang sudah ada destinasinya cuma mungkin pendekatan berbeza?
Tidakkah kita boleh duduk semeja dan berbincang untuk ke destinasi tersebut. Kalau pun tidak mahu menaiki bersama, sekurang-kurang mulakan langkah pertama, bersua muka atau duduk semeja membincangkan Apakah langkah terbaik untuk sampai ke destinasi? Jangan terus bersangka buruk? Kenapa boleh bersangka baik dengan musuh yang sudah jelas niat buruknya?
Kita perlu fikirkan bersama bagaimana nilai-nilai Islam boleh dilaksanakan di negara kita daripada bercakap soal hukum yang amat sukar dilaksanakan kerana majoriti-minoriti kita tidak besar. Mungkin Brunei, Pakistan dan negara Arab yang lain tidak sukar untuk melaksanakan hukum Islam. Tetapi di Malaysia tidak sedemikian geografi penduduknya.
Adalah lebih baik nilai-nilai Islam diperkasakan terlebih dahulu kerana saya yakin nilai-nilai Islam turut dikongsi oleh semua agama. Saya tidak nampak ada satu pun nilai-nilai baik Islam ditolak oleh agama lain. Apa yang diharamkan oleh Islam turut diharamkan oleh agama lain seperti berzina, berjudi, minum arak, mengumpat dan lain-lain. Yang menolak nilai agama hari ini adalah kalangan mereka yang terlampau ghairah dengan cara hidup barat yang mengagung-agung hak asasi manusia. Hari ini ternyata hak asasi yang keterlaluan telah menghancurkan barat. Barat mula sedar akan kepentingan hidup beragama (Ziglar, 2000).
Di kala barat sudah mula menghampiri agama, adakah kita mahu menerapkan kehancuran yang telah mereka alami ke dalam kehidupan kita. Sebenarnya terlalu banyak persamaan nilai dalam agama-agama yang masih belum kita laksanakan. Ini yang saya belajar semasa menganut agama Buddha dan Kristian satu masa dahulu. Persamaan itulah yang perlu kita cari dan selesaikan untuk dilaksanakan, bukannya membuang masa membincangkan sesuatu yang jauh dari realpolitik dan amat sukar dilaksanakan. Akhirnya, wang ringgit dibazirkan, kerana membincangkan perkara yang tidak boleh dilaksanakan kerana tidak memahami realpolitik dan berpecah belah tidak tentu pasal. Siapakah yang rugi sebenarnya?
Pengkaji
Saya bukan menolak negara. Islam dan hukum Islam, tetapi selaku pengkaji politik, saya membaca realiti politik Malaysia. Saya sedih dan amat khuatir melihat umat Islam berpecah. Kita sudah terlepas Singapura, adakah kita mahu lihat Singapura kedua selepas ini? Apakah kita tidak boleh membaca pemikiran ultra kiasu ini? Mereka begitu bersungguh-sungguh menyerang kita dengan berani. Apakah kita mahu terus mengalah?
Kita lihat sahaja nasib yang menimpa Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin. Saya amat bersimpati dengan beliau. Niat beliau baik, mahukan kondom dan arak tidak dijual secara terang-terang di kedai serbanika. Tetapi pandangan beliau telah diserang habis-habisan oleh golongan ultra kiasu ini, terutama wanita bukan Islam yang tidak memakai kondom. Sepatutnya, kaum lelakilah yang Iebih beriya-iya membantah, sebab mereka yang memakai kondom, malangnya mereka yang tidak memakai kondom yang begitu berani, mahukan kondom dijual di khalayak dan digunakan ketika melakukan hubungan seks `secara selamat'. Lebih menyedihkan orang Islam pun menentang sama. Apakah dengan hanya memakai kondom hubungan seks dikira selamat? Kenapa tidak pertikaikan sebab-musabab mereka memakai kondom? Apakah mereka yang memakai kondom itu sudah bernikah atau tidak?
Saya yakin kebanyakan mereka yang menggunakan kondom adalah kalangan yang mengamalkan seks bebas. Bagi pasangan suami isteri, agak jarang mereka menggunakannya, sebab yang Allah berikan itulah yang terbaik sekali digunakan tanpa diubahsuai. Tetapi bagi mereka yang tidak percaya kepada Tuhan, seks bebas itulah pilihan, maka bersepah-sepah kondom di merata tempat. Mereka yang melanggar perintah Tuhan tidak perlulah dibela sangat, berbanding mereka yang mahu mengikut perintah Tuhan. Saya yakin, bagi pasangan suami isteri, jika mereka menggunakan kondom pun, mereka tahu erti malu, kondom akan dibeli secara `rahsia' dan disimpan di tempat sepatutnya.
Tetapi bagi mereka yang tidak tahu malu, secara terang dan bangga membeli kondom dan arak di khalayak. Apakah mereka yang menggunakan kondom benar-benar merasakan seks selamat, Sedangkan perbuatan mereka tidak selamat?
DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional, Malaysia.
Mingguan Malaysia, Ahad 1 November 2009
No comments:
Post a Comment