Wednesday, March 16, 2011

2012...wats that

PENDAHULUAN

Sejak beberapa tahun kebelakangan, berita kiamat 2012 telah disebarkan secara meluas oleh media Barat, malah sebahagian orang-orang Islam sendiri pun turut membantu menyebarkannya. Saya tulis Nota ini kerana saya perhatikan akhir-akhir ini sebahagian umat Islam semakin rancak pula menyebarkan pembohongan bahawa kiamat akan berlaku pada tahun 2012, atau menulis sesuatu yang ada hubungan dan secara langsung atau tidak langsung menyokong pembohongan tersebut. Maka marilah kita sama-sama menerung maksud Ayat dari Kitab Suci Al-Qur'an mengenai berita kiamat. Mudah-mudahan kita insaf:

يَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلسَّاعَةِ أَيَّانَ مُرۡسَٮٰهَا‌ۖ قُلۡ إِنَّمَا عِلۡمُهَا عِندَ رَبِّى‌ۖ لَا يُجَلِّيہَا لِوَقۡتِہَآ إِلَّا هُوَ‌ۚ ثَقُلَتۡ فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ۚ لَا تَأۡتِيكُمۡ إِلَّا بَغۡتَةً۬‌ۗ يَسۡـَٔلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِىٌّ عَنۡہَا‌ۖ قُلۡ إِنَّمَا عِلۡمُهَا عِندَ ٱللَّهِ وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: Bilakah masa datangnya? Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi, ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.  (Surah Al-A’raf 7:187) - Ayat Ke 1141 dalam Al-Qur'an.

APAKAH YANG ANDA PERCAYA?

Kiamat pasti akan berlaku. Tidak ada siapa pun makhluk yang tahu bilakah saat kiamat. Tidak ada siapa pun makhluk yang mampu mempercepatkan atau menangguhkan saat kiamat. Namun telah terjadi satu fenomena yang menarik. Ramai orang percaya bahawa kiamat akan berlaku pada tahun 2012. Semakin ramai pula orang yang sudah sedar apakah tipudaya di sebalik berita tersebut..

Adakah anda juga percaya bahawa kiamat akan berlaku pada tahun 2012? Adakah anda percaya bahawa tarikh tepat berlakunya kiamat ialah pada hari Juma'at 21 Disember 2012 bersamaan Juma'at 7 Safar 1434? Adakah anda juga telah bertungkus-lumus membantu menyebarkan berita tersebut? Atau anda telah menulis berbagai perkara yang secara tersembunyi bermaksud bahawa anda percaya kiamat akan berlaku pada tahun 2012? Adakah anda percaya bahawa gempa bumi dan tsunami yang berlaku di Jepun adalah bukti bahawa kiamat akan berlaku pada 2012?

DARI MANAKAH BERITA KIAMAT 2012?

Pada saat ini jika anda buat carian dengan katakunci "doomsday 2012" anda akan dapati sekurang-kurangnya 2,010,000 laman membincangkannya! Dari manakah puncanya? Buku ‘Apocalypse 2012’ tulisan Lawrence E.Joseph (2007) menyatakan (dengan data-data yang didakwa sebagai ilmiah) kononnya pada tahun 2012 akan terjadi bencana yang melanda seluruh dunia atau kiamat 2012. Kini semakin ramai orang berpendapat bahawa berita kiamat 2012 hanyalah merupakan antara propaganda atau rencana jahat Yahudi Zionis dalam impian The New World Order mereka.

APAKAH PUNCA BERITA KIAMAT 2012?

Manipulasi Kalendar Kaum Maya

Ada pihak yang memanipulasi ramalan berdasarkan Kalendar Kaum Maya (Mayan Calendar). Pada sekitar tahun 250-900 Masehi, terdapat satu kaum yang agak maju teknologinya bergelar kaum Maya. Empayar Maya ini agak luas, iaitu merentang dari selatan Mexico, hingga Guatemala, Belize, El Salvador dan sebahagian Honduras. Kaum Maya dianggap maju dari segi berbagai kemahiran termasuk membina bandaraya dan perancangan bandar. Mereka juga telah membina piramid dan bangunan-bangunan besar lain. Anak-cucu kaum Maya masih ada pada hari ini dan menyambung tradisi nenek-moyang mereka.

Kaum Maya menggunakan banyak kalendar yang berbeza dan menganggap masa sebagai jaringan kitaran yang bersifat spiritual. Kalendar tersebut pada asasnya punya kegunaan praktikal, contohnya untuk tugas sosial, pertanian, komersial dan pentadbiran. Namun kalendar tersebut punya unsur-unsur kepercayaan kepada kuasa-kuasa penunggu. Setiap hari ada penunggunya, dan setiap hari ada kegunaan khusus. Ini berbeza dari kalendar Hijri atau Masehi yang digunakan pada masa sekarang.

Kebanyakan Kalendar Kaum Maya adalah pendek tempohnya. Contohnya Kalendar Tzolk’in ada 260 hari. Kalendar Haab' ada 365 hari. Maka kaum Maya telah menggabungkan Tzolk'in dan Haab' untuk membentuk 'Pusingan Kalendar' iaitu satu kitaran yang berakhir setiap 52 Haab'. Dipendekkan cerita, kaum Maya juga ada Kalendar Kiraan Panjang yang berakhir setiap 5126 tahun. Ia bermula pada tahun 0.0.0.0.0 iaitu bersamaan dengan 11 Ogos 3114 SM, dan berakhir pada 13.0.0.0.0 bersamaan 21 Disember 2012.

Sebenarnya, pada 22 Disember 2012 Kalendar Kaum Maya akan kembali kepada 0.0.0.0.1. Itu saja. Namun ada pihak yang telah memanipulasi fakta tersebut dengan menyatakan bahawa kaum Maya percaya bahawa di akhir 5126 tahun itu akan berakhirlah tamadun sekarang, dan akan diganti oleh tamadun yang baru! Dari situlah timbulnya dakyah bahawa kiamat akan berlaku pada tahun 2012..! Namun satu perkara penting patut saya catat: Anak cucu kaum Maya yang hidup pada hari ini pun menyangkal pendapat kiamat 2012.. Datuk nenek mereka pun tidak pernah menyatakan begitu..! Ternyata pembohongan itu telah disebarkan oleh pihak lain!

Manipulasi Buku-Buku Ahli Nujum Cina

Di Asia, berbagai buku yang ditulis oleh para ahli nujum Cina menyatakan bahawa keturunan Dinasti Chang yang menguasai Cina sejak tahun 1766 Sebelum Masehi akan berlangsung selama 3778 tahun (yang secara kebetulan bertepatan dengan tahun 2012 Masehi). Tidak ada secubit pun menyentuh fasal kiamat, tapi ada pihak telah manipulasikan hal ini.

Pembohongan Planet Nibiru X 

Ini satu lagi pembohongan besar. Kononnya, dalam satu ukiran, kaum Maya telah ukir planet-planet. Bila dikira, ada terlebih 1 planet. Lantas mereka (golongan pembohong) namakan ia sebagai Planet Nibiru X. Kemudian mereka pukul canang bahawa NASA tahu hal itu dan sentiasa memantau aktiviti Niburu X. Kononnya pada tahun 2012 planet Nibiru X akan melanggar planet bumi, mengorbankan sebilangan besar kehidupan di bumi..! Sedangkan NASA sendiri menafikan wujudnya sebarang planet yang bernama Nibiru X..! Jika ia wujud, sudah lama ahli-ahli astronomi dapat mengesannya..! Siapakah yang memulakan pembohongan Nibiru X? Kaum Maya sendiri tidak pernah menyebut bahawa planet yang bernama Nibiru X akan menghentam bumi pada tahun 2012! Mereka hanya ukir gambar planet!

Pembohongan Ramalan Ahli Nujum Nostradamus

Golongan pembohong itu seterusnya menggunakan Ramalan Nostradamus pula untuk menyokong dakyah mereka. Siapakah Nostradamus? Dia adalah seorang ahli nujum Yahudi. Malah, sesetengah orang Islam sendiri menyokong Nostradamus dengan menyatakan bahawa Nostradamus sebenarnya membuat ramalan (jadi ahli nujum) berdasarkan Hadis Rasulullah SAW.. maka bolehlah dipercayai apa jua ramalan Yahudi tersebut..! Ini satu lagi kekeliruan yang besar akibat terlalu taksub dengan sumber-sumber yang tidak tentu hujung pangkal, akibat terlalu taksub dengan hal-hal misteri, hingga membenarkan diri jadi mangsa pembohongan yang besar...!

Soalan saya: Pernahkah Nostradamus menyatakan bahawa kiamat akan berlaku pada 21 Disember 2012? Ada golongan yang ambil kesempatan dari bait-bait puisi kabur ahli nujum bernama Nostradamus ini. Mereka buat tafsiran yang bukan-bukan dan sebarkan pembohongan yang tidak berasas sama sekali, malah meletakkan Nostradamus seolah-olah seperti 'orang suci' pula, kerana percaya Nostradamus mampu jadi nujum pak belalang kerana merujuk Hadis Rasulullah SAW..!

SIAPAKAH PARA PEMBOHONG INI?

Kajian-kajian telah dilakukan oleh banyak pihak di seluruh dunia mengenai siapakah para pembohong yang menyebarkan berita kiamat 2012. Antara penemuan terpenting ialah bahawa mereka ini ada kepentingan duniawi, sebab itulah mereka teruskan pembohongan itu. Mereka menulis buku-buku, e-book, artikel, menghasilkan filem, video, mengadakan seminar, menjual produk yang secara langsung atau tidak langsung berkait dengan 'ketakutan bukan-bukan yang berjaya ditanamkan di minda manusia'...! Mereka meraih keuntungan yang cukup besar hasil menakut-nakutkan manusia..! Mereka gunakan berbagai sumber rujukan agar ianya seolah-olah fakta sahih yang menyokong pendapat mereka.

KIAMAT MENURUT PANDANGAN ISLAM

Kiamat merupakan hal ghaib yang mesti diimani oleh setiap Muslim dan ia hanya diketahui oleh Allah SWT saja seperti banyak disebutkan didalam KitabNya mahupun Sunnah Nabi SAW, diantaranya yang termaktub dalam Surah Al-A'raf 7:187.

Ibnu Katsir mengatakan bahawa firman Allah yang bermaksud,”Katakanlah:’Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia.” Adalah perintah Allah SWT kepada NabiNya saw apabila beliau SAW ditanya tentang waktu terjadinya kiamat maka hendaklah beliau SAW mengembalikan pengetahuan tentang itu kepada Allah SWT. Sesungguhnya Dia lah yang menjelaskan waktu kedatangannya atau mengetahui kejelasan perkara itu dan bilakah kepastian waktunya. (Tafsir Ibnu Katsir juz III hal 518)

Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda,”Kunci-kunci ghaib itu lima,’Sesungguhnya hanya pada sisiNya sajalah pengetahuan tentang hari kiamat, dan Dialah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok, dan tiada yang seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Al Qurthubi menyebutkan pendapat Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa kelima kunci-kunci ghaib tersebut tidaklah ada yang mengetahuinya kecuali Allah SWT. Hal itu juga tidak diketahui oleh para malaikat mahupun para Nabi yang diutus. Maka barangsiapa yang menganggap bahawa dirinya mengetahui sesuatu tentang itu semua maka orang itu telah mengingkari Al Qur’an kerana dia telah menyalahinya. (Al Jami Li Ahkamil Qur’an juz XIV hal 400)

Dan juga jawapan Rasulullah SAW ketika ditanya oleh Malaikat Jibril tentang bilakah terjadinya kiamat maka baginda SAW bersabda,”Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui daripada yang bertanya.” (Hadis Riwayat Muslim) Hadis tersebut menjelaskan bahawa diri Rasulullah SAW dan juga orang yang bertanya (Jibril) tidaklah mengetahui tentang waktu terjadinya kiamat.

Syeikh Yusuf al Qaradhawi pernah ditanya mengenai adakah alam ini akan hancur pada tahun 2012? Beliau menjawab bahawa ini termasuk pembicaraan tentang sesuatu yang akan datang, menerobos tabir masa yang akan datang, menyingkap apa-apa yang mungkin terjadi pada anda esok atau lusa, dan itu semua tidaklah ada yang mengetahuinya kecuali Allah SWT.

وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا

Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok.” (Surah Luqman:34)

KESIMPULAN

Saya ringkaskan Nota yang panjang ini: Jangan percaya bahawa kiamat akan berlaku tahun 2012. Ia hanya tipudaya Yahudi Zionis. Umat Islam patut bersedia menghadapi tipudaya puak ini.

Berikut saya salinkan beberapa mafhum firman Allah SWT, semoga direnung-renungkan:

Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka). (Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka Neraka Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan. (Surah Ali Imran 3:196-197)

Mereka itu tidak akan dapat melemahkan kekuasaan Allah daripada menimpakan mereka dengan azab di dunia dan tidak ada pula bagi mereka, yang lain dari Allah, sesiapapun yang dapat menolong melepaskan mereka dari siksaNya. Azab untuk mereka akan digandakan (kerana mereka sangat bencikan jalan agama Allah), sehingga mereka tidak tahan mendengarnya dan tidak pula suka melihat tanda-tanda kebenarannya. Merekalah orang-orang yang merugikan diri sendiri dan hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan. Tidak syak lagi, bahawa sesungguhnya merekalah yang paling rugi, pada hari akhirat kelak. (Surah Hud 11:20-22)

_____
NOTA: 

Berikut saya kongsikan pautan-pautan ke video dan laman web yang mendedahkan pembohongan kiamat 2012. Semoga bermanfaat:

NASA Response to Crazy 2012 Claims (http://www.youtube.com/watch?v=YUhEigdFFyI) The Greatest Hoax Of The 21st Century: 2012 Armageddon (http://hubpages.com/hub/2012-Hoax) Debunking the "2012 Doomsday" (http://www.2012hoax.org/) NASA Scientist Speaks The Real Truth About The Year 2012 (http://www.youtube.com/watch?v=dHGaZMC8E0U) World to End in 2012: A Hoax Gone Too Far (http://www.livescience.com/3689-world-2012-hoax.html) Kiamat 2012 Satu Cerita Fantasi Barat (http://mrbelia.pun.bz/kiamat-2012-satu-cerita-fantasi-barat.xhtml) Pembohongan Tentang Kiamat 2012, Suku Maya Sendiri Tidak Tertarik (http://vco-milanisti.blogspot.com/2009/11/pembohongan-tentang-kiamat-2012-suku.html) 21 Disember 2012 bukan tarikh Kiamat (http://www.kalamnurani.com/2009/11/25/21-disember-2012-bukan-tarikh-kiamat/) 2012, Bukan Kiamat Sobat….. (http://berita.disuka.com/blog/2012-bukan-kiamat-sobat/)

No comments:

Post a Comment