السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
PENDAHULUAN
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT. Kisah ini hanya cerita rekaan. Saya tulis semula dengan olahan saya sendiri untuk renungan saya sendiri dan sesiapa saja yang berminat. Selamat membaca. Semoga bermanfaat.
ORANG GILA MENGAIL DI PADANG
Hospital Harapan memuatkan agak ramai pesakit mental. Ada seorang nenek bernama Saerah sudah berada di situ sejak berpuluh tahun lampau dan kini menjadi ketua pesakit mental. Bila ada pesakit baru ditempatkan di wad hospital, maka Saerah ketua pesakit mental inilah yang akan memberi penerangan mengenai kemudahan yang ada di situ serta membekalkan cadar, selimut dan sarung bantal kepada pesakit berkaitan.
Pada satu hari, seorang pesakit mental dimasukkan ke Hospital Harapan. Dia adalah seorang pemuda. Saerah yang jadi ketua pesakit mental itu pun menyambutnya sambil bertanya:
"Siapa nama awak? Nampak macam putera raja je...?".
Maka pemuda itu menjawab: "Eh, mana makcik tahu hamba ni putera raja? Memang nama hamba Putero bin Rajol.. Datuk hamba namanya Solitan. Maka bolehlah panggil hamba sebagai anak Rajol, atau cucu Solitan..!"
Saerah berkata: "Boleh tahan juga gila kau ni ya.. Tapi kau tak boleh lawan Nenek sebab Nenek dah ada sijil PhD kat sini...!"
Jawab pemuda itu: "Gila hamba dah tak boleh tahan Nek, sebab itulah hamba masuk Hospital Harapan. Mudah-mudahan ada harapan..!"
Kedua-duanya ketawa.
"Kita serupa Nek...! Mereka kata kita ini gila memanjang... Sebenarnya kita ni kadang-kadang je gila bahasa...!" Orang kampung hamba kata hamba ini gila isim, sebab hamba selalu cakap bahawa hamba ini Putera Raja. Sebenarnya mereka yang tak faham fasal isim-isim ni...! Itulah.. orang suruh sekolah tak nak.. Bila besar menyusahkan orang.." kata Putero. Tak tahulah kenapa Putero tiba-tiba berleter fasal sekolah.
Tapi Saerah tiba-tiba serius, entah kenapa.. Mungkin Saerah berharap dirinya akan berada di Hospital Harapan selagi hayatnya masih ada. Dia akan teruskan tugasnya sebagai ketua pesakit mental selagi terdaya. Biarlah dia terus gila dan jadi ketua pesakit mental. Walaupun tugas itu berat, dia akan memikul tanggungjawab itu dengan siuman dan waras sekali...
"Kalau mereka tidak suka pun tidak mengapa. Mereka semuanya gila.. Aku faham mereka dan aku maafkan mereka.. Mereka kata aku pun gila juga...! Sebab mereka kata aku gilalah maka aku dapat terus pegang jawatan ketua pesakit mental.. Jawatan akulah paling berprestij..." fikir Saerah.
"Di sini ada joran pancing ke Nek...?" tiba-tiba Putero bertanya.
"Ada.. bot nelayan pun ada.. Orang yang tahu, tahulah... Orang yang tak tahu, tunjuk depan muka dia pun dia tak nampak...!" jawab nenek itu.
"Wah, baguslah tu.. Hamba memang minat memancing, di darat.. di laut.. di udara...!" nampak berseri wajah Putera bila tahu di situ ada joran pancing.
Esoknya, pagi-pagi lagi Putero sudah menemui nenek ketua pesakit mental. Nenek itu pun pergilah ke stor untuk mengambil joran kail yang dikehendaki oleh Putero. Stor itu besar. Hospital Harapan ibarat hotel lima bintang. Macam-macam ada kemudahan untuk pesakit di sini. Orang tak gila rugilah kerana tak dapat kemudahan macam ini di luar sana..
Kemudian Putero bergegas keluar. Dilihatnya di depannya ada sebuah padang rumput yang agak luas. Dia pun mencari tempat duduk yang sesuai lalu melontarkan mata pancingnya.. Dia menunggu dan menunggu..
Sekitar jam 10.00 pagi, doktor pesakit mental pun datang ke wad tersebut untuk mencari Putero, pesakit barunya. Saerah ketua pesakit mental menyatakan bahawa Putero sedang memancing di luar. Doktor tersenyum dan pergi ke arah padang untuk mencari Putero.
"Putero? Saya doktor awak di sini...!" kata doktor.
"Yalah tu..!" jawab Putero ringkas.
"Banyak dapat ikan?" tanya doktor pesakit mental.
Mendengar pertanyaan itu, Putero pun berkata:
"Apa doktor dah gila ke? Atas padang mana ada ikan..?"
Doktor itu pun terdiam.
"Betul juga jawapan dia.. Atas padang mana ada ikan..... Hehe.." fikir doktor.
"Kalau aku tanya: Habis kalau tahu tak ada ikan, kenapa awak memancing atas padang...? Tentu dia kata aku bodoh pula.. Maka lebih baiklah aku tak bertanya.." fikir doktor.
"Tapi dia ni gila.. Jawapan betul, tapi tetap gila juga..." doktor menguatkan semangatnya dan mengingatkan ilmu doktor jiwa yang dipelajarinya selama ini di luar negara.
"Doktor tau tak..?" tiba-tiba Putero bertanya.
"Tak tahu.." lurus saja jawab doktor.
"Kalau doktor tak tahu, macam mana nak jadi doktor, nak ubat saya..?"
"Doktor kenalah tahu apa yang saya nak cakap sebelum saya cakap...!"
"Kenalah doktor belajar ilmu 'clairvoyance', orang kita panggil ilmu kasyaf.."
Panjang Putero berleter.
Doktor terdiam, dalam fikirannya berkata:
"Orang gila, walau banyak ilmu tapi tetap gila juga..."
Itulah ilmu jiwa yang dia belajar dulu.
"Saya sebenarnya mengail cacing... Itulah sebabnya saya mengail di atas padang..!" Putero menerangkan.
"Oh.. Begitu rupanya..! Awak gunakan umpan apa..?" doktor benar-benar mahu tahu.
"Kesian hamba tengok doktor ni..! Nak mengail cacing tak payahlah pakai umpan...! Bukankah cacing itu sendiri jadi umpan...?" Putera menjelaskan.
Doktor termenung. "Kalau tak ada umpan, macam mana pula cacing itu nak makan mata kail...?" tiba-tiba terpancut kata-kata itu dari mulut seorang doktor sakit jiwa.
Doktor jadi pening lalat.
Lama juga doktor termenung. Kemudian dia tersentak, sedar pada kebodohannya sendiri.
"Mana ada cacing boleh dipancing..! Bebal juga aku ni...!" fikirnya.
"Hahaha...! Hahaha.. Hahaha...!" tiba-tiba doktor ketawa sambil menekan perutnya.
Terperanjat Putero. Dia tidak sangka doktor itu boleh ketawa tiba-tiba.
"Doktor ni dah gila kot... Aku kena hati-hati..." fikir Putero.
"Kalau dah gila tu gila jugak.. Tak reti den nak menolong..!" fikir doktor. Dia lupa sekejap bahawa dia seorang doktor. Tapi dia tidak berani hendak menyatakan itu kuat-kuat kepada Putero, sebab dia masih tidak tahu sejauh manakah gilanya Putero ini. Manalah tahu, tiba-tiba Putero jadi agresif.. Nanti satu padang dikejarnya dengan joran pancing..!
Doktor fikir eloklah dia biarkan dulu Putero mencapai cita-citanya untuk mendapatkan cacing menggunakan mata kail.. Mungkin selepas itu, Putera akan menggunakan cacing itu sebagai umpan dan terus mengail di padang yang sama.. Dapat ikan atau tidak, tidak perlulah difikirkan.. Nanti gila jadinya..!
Maka berkatalah doktor: "OK, Putera.. teruskanlah tugas awak. Mudah-mudahan banyak dapat cacing...!".
Mendengar hal itu, Putera pun berkata:
"Bukan macam tu doktor..! Cacing hanya perantaraan.. Tujuan saya ikan...!"
"Tengahari ini tentu saya dapat ikan. Sekurang-kurangnya seekor. Siap dengan kuah sekali..!"
Doktor fikir tak perlulah dia bertanya atau beri jawapan macam mana pula ikan yang dipancing di padang rumput boleh siap ada kuah... "Nanti Putero akan kata aku gila dan bodoh pulak.. Tak larat aku asyik kena kutuk je..." fikirnya.
Saerah memerhatikan dari jauh. Entah berapa lama Putero akan memancing di daratan.. Saerah pun tidak tahu sebab doktor kata Saerah masih gila. Jauh dalam hatinya, Saerah pun berfikir bahawa doktor itu juga gila sebab dia melayan orang gila seperti orang siuman, dan layan orang siuman seperti orang gila... Dan Saerah fikir, kalau doktor ditanya sama ada doktor gila ataupun tidak, tentulah doktor itu jawab tidak gila...! Saerah tahu bahawa semua orang gila akan menafikan bahawa mereka gila...! Saerah menggeleng-gelengkan kepala, kasihan memikirkan nasib mereka semua. Kerana itulah dia mahu terus jadi ketua pesakit mental, agar dia boleh jaga semua orang di Hospital Harapan, termasuk doktor itu.
Satu hari nanti, Saerah berharap akan ada seorang gila yang menulis kisah Putero memancing di padang rumput. "Tentulah orang itu lebih gila berbanding semua orang yang ada di Hospital Harapan.." fikir Saerah sambil berjalan masuk ke dalam.
MORAL KISAH INI
Dalam kehidupan ini walaupun kita anggap diri kita siuman, namun kita mungkin dianggap gila oleh oranglain. Ada sebab-sebab anggapan begitu timbul. Mungkin kita lakukan perkara yang menongkah arus, maka kita dianggap gila. Contoh mudah, jika kita berada dalam kelompok yang mahu ke hilir tapi kita mahu mudik ke hulu, mungkin kita dianggap gila apatah lagi jika kita kata mereka semuanya gila!
Hikmah adalah sesuatu yang tersembunyi di sebalik kisah-kisah yang berlaku di atas muka bumi ini. Andai kita sudah masuk ke dalam sebuah rumah yang teguh dan menginap di situ beberapa lama, kemudian seorang budak kecil datang memberitahu bahawa rumah itu hampir roboh, sebaik-baiknya janganlah kita tolak kata-kata budak itu hanya kerana kita fikir budak itu sendiri tidak pernah masuk atau duduk dalam rumah itu. Mungkin budak itu lebih tahu walaupun kita lebih berpengalaman. Itulah hikmah, dan ia berada di mana-mana, di sekeliling kita.
والله اعلم بالصواب
Nukilan Hibatullah Yusof Al-Haj.
No comments:
Post a Comment