Thursday, December 8, 2011

BR1M RM 500 ...bantuan ringan beban Isi Rumah

Kementerian jelas status BR1M RM500
Oleh : Bernama
Tarikh : December 8, 2011
KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan semalam menjelaskan bahawa isi rumah yang layak memohon pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500, merujuk kepada seorang lelaki atau wanita yang menjadi ketua kepada anggota keluarga yang tinggal serumah, dan mempunyai pendapatan kasar isi rumah RM3,000 dan ke bawah.
“Ini merangkumi individu yang berkahwin; ibu/bapa tunggal yang mempunyai tanggungan; bujang yang mempunyai tanggungan; dan warga emas (berumur 60 tahun dan ke atas) sebatang kara,” kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam satu kenyataan semalam.
 
Katanya, setiap anak berkahwin yang mempunyai pendapatan kasar isi rumah RM3,000 dan ke bawah tetapi tinggal serumah dengan ibu bapa, dikira sebagai satu isi rumah berlainan.
“Pendapatan kasar isi rumah merujuk kepada pendapatan suami, isteri dan tanggungan yang masih bujang,” katanya dan menekankan ‘hanya ketua isi rumah sahaja yang layak memohon’.
 
Kementerian Kewangan telah membuka Bilik Gerakan untuk operasi Talian Hotline BR1M 1-800-222-500 bermula semalam bagi memudahkan orang ramai mendapat penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan BR1M.
 
Talian Hotline ini beroperasi setiap hari bekerja, mulai 9 pagi hingga 5 petang.
 
Kementerian itu mengingatkan bahawa pendaftaran permohonan BR1M akan bermula pada 10 Disember ini hingga 10 Januari 2012.
 
Borang pendaftaran boleh didapati secara percuma di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Penerangan Malaysia, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), serta akhbar tempatan, katanya.
 
Borang yang lengkap diisi hendaklah disertakan salinan kad pengenalan dan slip gaji (jika berkenaan) dan diserahkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri, Jabatan Penerangan, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat LHDNM.
 
Kementerian juga akan membuka pendaftaran di sekolah terpilih, dewan komuniti serta orang ramai yang berdekatan, dengan dibantu oleh petugas sambilan bagi mempastikan kelancaran proses pendaftaran.
 
Untuk tujuan ini, kerajaan melantik seramai 2,000 petugas sambilan bagi membantu dalam urusan pendaftaran permohonan di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment