Tuesday, August 9, 2011

politician hav no period of time...


Kolumnis

Mismah, kita dah tahu anda di mana

oleh FARUSH KHAN
8/10/2011 7:58:11 AM
Sehari sebelum puasa pada 1 Ogos lalu, Datuk Seri Najib Razak, meminta semua pihak hormati kesucian Ramadan dengan mengetepikan politik.
UMNO, kata Presiden parti pemerintah itu, akan tumpu kepada program berbentuk ibadah dan sumbangan kepada mereka memerlukan sepanjang bulan mulia ini, meskipun pembangkang “dalam kepalanya semua politik”.
Tidak sampai beberapa jam selepas nasihat Najib itu, negara dikejutkan dengan kemunculan Mismah, wanita mistri, yang didakwa mendapat taraf warganegara dalam tempoh empat jam. Pembangkang tidak melepaskan peluang - puasa atau tidak - untuk mempertikaikan pendaftaran 1,597 pengundi dalam draf daftar pemilih tambahan bagi pemilih berdaftar, yang Mismah termasuk di dalamnya, sehingga akhir bulan Jun, yang disenaraikan di laman sesawang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai penduduk tetap.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu adalah ‘kecuaian teknikal’, manakala JPN menjelaskan rekod JPN menunjukkan Mismah sebenarnya telah dapat taraf penduduk tetap pada 17 Julai 1982.
Menurut JPN, taraf Mismah sebagai warganegara Malaysia telah diluluskan pada 31 Januari 2011 selepas 29 tahun memegang taraf penduduk tetap.
Kini saya sudah tahu Mismah di mana dan sedang cuba merungkai kekusutan yang ada. Masalahnya di negara ini, apa sahaja isu yang timbul tidak mudah dinafikan. Di negara ini dan barangkali di mana sahaja, khabar angin dianggap benar, sehingga terbukti sebaliknya.
Sama ada penjelasan JPN dan SPR boleh diterima atau tidak, bergantung kepada dari sudut mana yang anda hendak lihat, tetapi yang pasti nama Mismah - termasuk beberapa lagi; yang terkini, pemilih bernama ‘Kampung Baru’ - akan terus diarak merata-rata hingga kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), yang tarikh terakhirnya adalah 7 Mac, 2013, tetapi dipercayai akan diadakan seawal November atau selewat-lewatnya Mac depan.
Barangkali lega dengan hasil Wacana ‘Apa selepas Julai 9?’ anjuran Sinar Harian baru-baru ini, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar sudah kurang bertegang leher dengan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk S Ambiga melalui media mengenai lapan tuntutan, termasuk penggunaan biometrik dan dakwat kekal, tetapi ramai geli hati dengan cerita pengundi di Pulau Ketam, Selangor, yang menempa sejarah mengguna inai di jari selepas memilih ketua masyarakat mereka bulan lalu.
“Ia berjaya. Tidak perlu bazirkan wang guna biometrik,” kata seorang pemimpin di situ. Itu satu isu; yang lain banyak lagi.
Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim membuat Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hampir hilang sabar dengan cabarannya supaya Mursyidul Am Pas itu jangan sembunyikan kebenaran beliau mengadakan pertemuan sulit berhubung dengan cadangan pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, bagi menggantikan tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Lawak jenaka,” komen Nik Aziz, yang menegaskan beliau tidak pernah sembunyi rahsia apa pun dan mengingatkan media guna Ramadan tulis yang benar.
“Ingatlah, apa yang ditulis dan diucap akan menjadi bahan untuk dihisab oleh Allah di akhirat,” katanya melalui Facebook.
Membaca isu demi isu dan perdebatan politik membuatkan saya terfikir apa perlunya tuntutan Bersih 2.0 untuk dibenarkan kempen pilihan raya diadakan hingga 21 hari.
Anda tidak perlu menjadi penganalisis politik untuk menyedari di Malaysia kempen pilihan raya berjalan sepanjang masa.
Ia bermula sebaik sahaja PRU-12 tamat pada 8 Mac 2008; tiap-tiap hari, melalui risalah, media, ceramah, laman sesawang dan apa sahaja yang boleh dijadikan alat berkempen. Dan maaf cakap, setiap kali ada wakil rakyat meninggal dunia, sebelum selesai urusan pengebumian, siapa penggantinya sudah ligat dibahaskan.
Patutlah pilihan raya dianggap pesta.
Akhir kata, saya perlu beri kepujian kepada Sinar Harian, akhbar muda yang muncul hanya enam tahun lalu di bawah Kumpulan Media Karangkraf, kerana telah berjaya mengadakan lima wacana, satu setiap bulan. Program ini, termasuk yang terakhir bertajuk ‘Apa Selepas Julai 9?’ turut berjaya menyuntik harapan baru kepada perkembangan minda rakyat dan masa depan negara.
Di sinilah tempat yang dirasai paling selesa setakat ini oleh banyak pihak untuk duduk dan berbincang apa sahaja isu dan mencapai apa yang dihajati tanpa ragu-ragu; tidak apa kalau terdapat sedikit keriuhan dan sindir menyindir. Ia tetap sihat dan menggalakkan.
Yang penting, ada sinar harapan untuk rakyat di negara yang kita cintai ini.
Alangkah baiknya jika wacana seperti ini dapat dianjurkan sejak dahulu lagi. Tentu banyak daripada matlamat kita sudah tercapai.

No comments:

Post a Comment