Friday, December 19, 2014

Hernset Dewan Rakyat 17 Dec 2014, Plan Panduan Pembangunan Kawasan Kampung Tradisional oleh Tmb Menteri WP

DN 17.12.2014 1
MALAYSIA
DEWAN NEGARA PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL KEDUA MESYUARAT KETIGA
Rabu, 17 Disember 2014
Mesyuarat dimulakan pada pukul 10.00 pagi
DOA
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]

JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN

Tuan Yang di-Pertua:
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan selamat pagi. Semua Ahli Yang Berhormat. Pertama sekali saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana dapat kita meluluskan Belanjawan 2015 malam tadi sungguhpun sampai tengah malam.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak- kementerian dan juga Ahli-ahli Yang Berhormat semua.
Tanpa membuang masa saya silakan pertanyaan nombor 1, Yang Berhormat Datuk Megat Zulkarnain

1. Datuk Megat Zulkarnain bin Tan Sri Omardin minta Menteri Wilayah Persekutuan
menyatakan, apakah usaha, perancangan dan tindakan kementerian mewajahkan Kuala Lumpur
sebagai sebuah bandar raya yang mempunyai jiwa dan sentuhan yang mencerminkan keberadapan
Melayu..

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan [Dato’ Dr. Loga Bala Mohan a/l Jaganathan]:
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat Senator, Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (PSKL 2020) telah mengenal pasti kawasan khusus terdiri dari kawasan rizab Melayu, kampung tradisi dan kampung-kampung baru yang memerlukan perhatian khas dari segi pelaksanaan, perancangan dan pembangunan dan memastikan ianya tidak ketinggalan jauh dari arus Pembangunan.
Kawasan rizab Melayu diwujudkan di bawah Enakmen Rizab Melayu 1913 dan Enakmen
Tanah 1987 untuk memastikan orang Melayu berupaya memiliki tanah terutama di kawasan bandar.
Kementerian Wilayah Persekutuan juga menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampong
Bharu bertujuan untuk menyelaraskan perancangan, pembangunan dan pengurusan serta
mengoptimumkan penggunaan tanah khususnya di Kampung Baru.
Antara tujuan lain adalah untuk menggalakkan penglibatan kaum bumiputera dalam aktiviti ekonomi bandar raya melalui pembangunan yang terancang di kawasan rizab Melayu.

Selain daripada perancangan pembangunan Kampung Baru, satu Pelan Panduan Pembangunan Kawasan Kampung Tradisional telah dihasilkan bagi tujuan menentukan hala tuju pembangunan kawasan kampung tradisional selain dari Kampung Baru.
Pelan panduan ini merangkumi aspek kawalan zon guna tanah, kepadatan serta garis panduan pembangunan yang perlu dipatuhi dalam memastikan persekitaran yang berkualiti di samping mengekalkan dan memelihara identiti tradisional sedia ada.

Kampung tradisional yang terlibat adalah seperti Kampung Padang Balang, Kampung Bandar
Dalam, Kampung Chubadak Hulu, Kampung Sungai Mulia, Kampong Sungai Merali dan Kampung Puah dengan jumlah kawasan keseluruhan seluas 584.90 ekar.
Semua perancangan ini bertujuan untuk mengekalkan nilai kebudayaan, kesenian dan seni
bina bangunan warisan Melayu di kawasan yang telah dikenal pasti dan dengan ini secara langsung
dapat memastikan nilai peradaban Melayu akan terus kekal di Kuala Lumpur.
Sekian, terima kasih.

Datuk Megat Zulkarnain bin Tan Sri Omardin: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya juga hendak mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang disampaikan di Dewan yang mulia ini dan kita juga hendak menghargai usaha yang dibuat oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dari segi untuk meningkatkan taraf dan juga meningkatkan perkampungan-perkampungan penempatan Melayu.
Cuma Yang Berhormat Timbalan Menteri, yang disebut tadi ialah penempatan-penempatan
Melayu. Mungkin ada cadangan-cadangan daripada kementerian bagaimana peradaban Melayu ini
dapat dilaksanakan, antara contohnya mungkin boleh mewajahkan Bandaraya Kuala Lumpur ini
dengan tulisan-tulisan menggunakan Bahasa Melayu contohnya, supaya tidak timbul soal kekeliruan.
Hari ini kalau kita lihat Yang Berhormat Timbalan Menteri, sebab itu generasi muda ini kadang-kadang keliru dengan status dan sebagainya sebab kita tidak mewajahkan Bandaraya Kuala Lumpur ini sebagai sebuah bandar yang ada peradabannya.
Saya hendak bagi contoh Tuan Yang di-Pertua. Hari ini orang Cina boleh berbangga- kita
ucapkan tahniah, ada pusat komersial Chinatown contohnya, orang India ada dengan Little India. Akan tetapi, di mana tempat ada satu centre yang boleh mengatakan inilah wajah Melayu?
Ada keseniannya di situ, ada kebudayaannya, ada seni kraf orang Melayunya, ada rumah-rumah Melayunya.
Penempatan Melayu kita setuju tetapi satu pusat komersial yang boleh kita katakan kepunyaan dan berwajah peradaban Melayu.
Mungkin ada perancangan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri ataupun kementerian
sendiri bagaimana ianya dapat dilaksanakan supaya ianya nanti boleh memberi manfaat yang cukup
besar kepada generasi akan datang supaya tidak lupa asal usul mereka, tidak lupa kepada sejarah
mereka.
Ini yang kita khuatir ianya akan berlaku pada masa-masa akan datang dan akhirnya orang lupa sejarah dan asal usul. Jadi saya mohon penjelas         an Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Terima kasih.

Dato’ Dr. Loga Bala Mohan a/l Jaganathan: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua,
terima kasih Yang Berhormat Senator. Pandangan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh Yang Berhormat diambil kira. 
Akan tetapi untuk makluman Yang Berhormat, memang kita ada suatu kawasan iaitu kawasan
Kampung Bharu yang telah pun diadakan sebagai satu kampung peradaban Melayu di mana abad dan segala tradisi dan kebudayaan Melayu memang dipelihara di kawasan itu.
Kawasan itu memang telah pun diuruskan oleh satu perbadanan iaitu Perbadanan Kampung Bharu untuk memastikan nilai dan ciri-ciri Melayu tidak hilang dari Kuala Lumpur.
Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat. Saya mohon kerjasama semua Ahli Yang Berhormat, saya ada dapat maklum daripada Yang Berhormat yang dia tidak begitu sihat. Kalau sekiranya apa-apa, saya ingat Yang Berhormat boleh jumpa dia di luarlah. Minta kerjasama sikit kerana Yang Berhormat sebelah itu dia...

Datuk Seri Haji Abd. Halim bin Abd. Samad: Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Yang di-Pertua: Ya, Yang Berhormat. Saya lihat, kalau boleh kita terus ke pertanyaan

nombor 2, Yang Berhormat, ada masalah sikit.